Sila log masuk terlebih dahulu.

Pulihkan trauma mangsa banjir

Seramai 1,500 kaunselor berdaftar digerakkan untuk bantu mangsa daripada sudut pemulihan psikososial

09 Januari 2022 07:58am | Masa membaca: 4 minit
Siti Zailah ketika ditemu bual secara eksklusif bersama Sinar Ahad di kementeriannya di Putrajaya baru-baru ini. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Siti Zailah ketika ditemu bual secara eksklusif bersama Sinar Ahad di kementeriannya di Putrajaya baru-baru ini. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

UMUM mengetahui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan antara ‘tonggak’ utama dan terpenting dalam menguruskan bantuan bencana yang melanda negara termasuklah banjir.

Bagaimanapun tragedi banjir luar biasa yang melanda beberapa negeri pada Disember lalu sememangnya memberi kesan psikologi cukup besar kepada mangsa yang mengalaminya, di mana bukan sahaja kemusnahan dan kerosakan harta benda, malah ada yang kehilangan ahli keluarga tersayang.

Justeru, menurut Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, seramai 1,500 kaunselor berdaftar di seluruh negara telah digerakkan untuk membantu mangsa daripada sudut pemulihan psikososial.

Ikuti temu bual eksklusif bersama wartawan Sinar Ahad, Nurul Huda Husain dan Muhammad Amnan Hibrahim di kementeriannya di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Apakah antara agenda KPWKM untuk tahun 2022 ini?

SITI ZAILAH: Bagi tahun 2022, KPWKM telah diperuntukkan sebanyak RM2.68 bilion. Daripada jumlah ini, sebanyak RM2.5 bilion adalah di bawah peruntukan mengurus, manakala RM175.42 juta di bawah peruntukan pembangunan.Alhamdulillah, tahun ini kita mendapat penambahan sebanyak 4.56 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jadi, dalam bajet ini (2022) banyak program dan perancangan yang kita buat terutamanya dalam memastikan kita mencapai sebuah Keluarga Malaysia yang makmur dan sejahtera.

Setakat ini kita telah memberi sumbangan kepada penerima bantuan yang mana di bawah KPWKM ada lapan kumpulan sasar, dan penerima bantuan bulanan tetap berjumlah 515,581 orang. Maknanya mereka yang lebih daripada setengah juta ini adalah penerima tetap setiap bulan daripada JKM di bawah kementerian kami yang melibatkan kos lebih RM2.04 bilion.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Jadi ini merupakan satu angka yang agak besar, boleh dikatakan majoriti peruntukan kita ini dijuruskan kepada bantuan kepada kumpulan sasar dan Insya-ALLAH untuk tahun hadapan ini, Alhamdulillah kerajaan telah meluluskan kenaikan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di mana sebelum ini kita menggunakan PGK RM980 tapi untuk tahun 2022 ini kerajaan telah meluluskan untuk kita menggunakan PGK RM1,169. Kita menganggarkan sehingga 30,000 kes baharu akan menerima manfaat daripada perubahan PGK ini.

Kita sangat memahami dengan situasi masyarakat yang berdepan pandemik Covid-19 dan kementerian telah mengkhususkan sebanyak 71 peratus atau RM1.772 bilion daripada jumlah peruntukan RM2.5 bilion ini untuk bantuan kebajikan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Tragedi banjir luar biasa yang melanda beberapa negeri pada Disember lalu sememangnya memberi kesan psikologi cukup besar kepada mangsa yang mengalaminya. - Foto Bernama
Tragedi banjir luar biasa yang melanda beberapa negeri pada Disember lalu sememangnya memberi kesan psikologi cukup besar kepada mangsa yang mengalaminya. - Foto Bernama

-- Dalam kejadian banjir besar yang melanda negara baru-baru ini, boleh Datuk ceritakan bagaimana KPWKM menyalurkan sumbangan?

Banjir yang melanda negara baru-baru ini adalah di luar jangkaan. Sebelum ini kebanyakan mangsa banjir adalah di negeri-negeri Pantai Timur dan persiapan kita adalah biasanya musim tengkujuh ini banjir besar melanda negeri-negeri di pantai timur tetapi sebaliknya apa yang berlaku kini adalah banjir besar berlaku di sebelah negeri-negeri pantai barat. Ini antara perkara di luar jangkaan kita. Mangsa-mangsa banjir ini bukan sahaja terdiri daripada rakyat biasa sahaja tetapi pegawai, kakitangan kami juga terlibat dengan banjir.

Kalau kakitangan di bawah JKM sahaja, kita ada lebih kurang 135 pegawai dan kakitangan yang menjadi mangsa banjir. Jadi, mereka juga bertugas di samping itu mereka juga adalah mangsa banjir dan kalau kita libatkan semua agensi yang lain di bawah KPWKM lebih kurang 150 yang menjadi mangsa banjir, dan ini antara cabaran-cabaran yang kita ada.

Alhamdulillah di bawah KPWKM kita ada sukarelawan terutamanya Skuad Waja yang ketika ini keahlian telah mencapai seramai 106,643 orang dan mereka ini banyak juga memberi sokongan bagi membantu mangsa banjir terutamanya sokongan emosi termasuk membantu membersihkan rumah dan sebagainya.

Kita juga ada 1,500 sukarelawan iaitu kaunselor yang berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Negara, di mana kaunselor-kaunselor ini juga turun padang untuk membantu memberi motivasi dan bimbingan sebab ramai dalam kalangan mereka yang trauma akibat banjir yang tidak dijangka terutamanya di negeri-negeri yang tidak biasa berhadapan dengan banjir.

Bagi mereka yang tidak biasa, banjir ini adalah satu kejutan, apatah lagi mereka yang berdepan dengan total lost, kehilangan hampir keseluruhan harta benda dan ada juga kehilangan nyawa dalam kalangan ahli keluarga. Sudah tentu ia amat terkesan.

Jadi sebab itulah kita bekerjasama dalam membantu mereka dengan seluruh kita gerakan di bawah KPWKM, bukan sahaja JKM tetapi semua.

Kalau kita tengok yang terbaru ini apa yang menyedihkan saya apabila mereka berdepan dengan kematian dan hilang tempat tinggal. Cuba kita bayangkan kalau kita berada di tempat mereka. Ada saya pergi ke Sungai Lui (Hulu Langat) baru-baru ini jumpa seorang ibu tunggal yang menangis kesedihan sebab katanya dia sudah hilang segala-galanya.

Sebab itulah pentingnya peranan kita, bukan sahaja kaunselor kita yang berdaftar, malah sukarelawan kita turun untuk menyantuni mereka sebab kita perlu bagi semangat kepada mereka untuk pulih, beri keyakinan kepada mereka. Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab kita bersama sebagai satu Keluarga Malaysia yang seharusnya kita mengambil tanggungjawab kepada saudara-saudara kita bukan semata-mata sumbangan makanan, pakaian tetapi mereka juga memerlukan bimbingan motivasi, semangat untuk mereka terus menjalani kehidupan.

Jadi itulah sebabnya saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua pihak sama ada daripada agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, begitu juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat, yayasan, orang perseorangan dan sebagainya. Rakyat Malaysia ini hebat, mereka sangat prihatin apabila berlakunya bencana semua turun tidak kira dalam keadaan apa juga mereka juga turun beri bantuan. Ini adalah satu budaya yang harus kita kekalkan bagaimana semangat kasih sayang, simpati yang harus kita sama-sama lakukan bagi membantu rakyat kita yang ditimpa kesusahan.

-- Kaunselor profesional yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Negara telah digerakkan untuk membantu memulihkan semula semangat mangsa-mangsa banjir. Boleh Datuk terangkan bagaimana mereka melakukan tugas tersebut?

Untuk peringkat awal, pendekatan kaunselor berdaftar ini lebih kepada bantuan sokongan psikologi untuk meredakan emosi dahulu. Jika mereka dilihat memerlukan bimbingan seterusnya, barulah pergi kepada sesi kaunseling.

Kita tahu mangsa banjir ketika ini mengalami trauma berikutan berdepan kemusnahan harta benda, malah ada yang kehilangan ahli keluarga. Jadi, inilah peranan kaunselor untuk membantu, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung mereka.

-- Datuk juga merupakan Pengerusi Khidmat Malaysia. Boleh ceritakan bagaimana organisasi ini berfungsi dan kordinasinya dengan agensi lain?

Khidmat Malaysia merupakan NGO yang menjalankan fungsi sebagai Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia secara rasminya adalah rakan strategik kementerian. Di bawahnya ada Jabatan Amal dan juga organisasi yang bersifat kesukarelawan.

Terdapat lebih 10,000 orang sukarelawan telah digerakkan bagi usaha membantu dari sudut penyelamatan, pembersihan, penyelarasan sumbangan dan juga memasak menerusi insiatif Dapur Rakyat.

Biasanya apabila berlaku bencana lebih daripada tiga negeri, maka kita akan buka bilik operasi Khidmat Malaysia.

Alhamdulillah setakat ini bilik operasi Khidmat Malaysia kita buka di seluruh negeri yang berdepan dengan banjir.

Setakat hari ini, kita telah turun setiap hari dan bukan setakat untuk membantu pasukan keselamatan, agensi kerajaan, kita juga membantu dari sudut bantuan kepada mangsa banjir termasuk kita beri bantuan makanan terutamanya kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Kalau mangsa di PPS mereka akan dikendali oleh JKM tetapi bagi mereka yang terkepung banjir dan tidak pindah ke PPS maka kita berusaha untuk salurkan bantuan makanan kepada mereka.

-- Bagaimanakah Datuk melihat kerjasama antara rakyat dan NGO dalam membantu agensi-agensi penyelamat kerajaan pada musibah banjir itu?

Banjir baru ini merupakan satu ujian untuk kita bersama. Kami di KPWKM melalui JKM telah berusaha sedaya upaya.

Alhamdulillah saya sangat bersyukur dan berterima kasih di mana kita melihat kerjasama yang sangat erat antara agensi kerajaan, kerajaan negeri dan termasuk NGO.

Walaupun kadang-kadang sesuatu tempat ini tidak pernah berlaku banjir dan tidak pernah ada PPS di situ, tapi komuniti memainkan peranan dan di sini kita sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri terutama pihak berkuasa tempatan serta pegawai daerah yang menjadi pengerusi kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk memantau dan memastikan keselamatan di tempat yang berisiko tinggi.

Hasil daripada kerjasama yang mantap ini, maka kita lihat walaupun mungkin hari pertama dan kedua berlaku sedikit kekalutan kerana tidak ada persiapan awal disebabkan ini adalah perkara yang tidak dijangka, tapi Alhamdulillah biasanya hari kedua, ketiga dan keempat itu kita dapat selaraskan dan ini menunjukkan bagaimana pentingnya kerjasama.

Saya juga melihat dermawan dari seluruh negara malah di luar negara juga datang membantu mangsa banjir kita dan saya sangat menghargai.

Walaupun kadang-kadang di depoh simpanan bekalan kita di JKM habis dan kita kena buat pesanan baru serta perlu masa untuk sampai, tapi bantuan daripada NGO datang mencurah-curah.

Bagi saya, paling penting dalam kita berdepan dengan apa jua bantuan tidak kira daripada mana-mana pihak, kita lakukan tugas ini dengan penuh ikhlas, tatatertib dan mengikut SOP. Sebab kita masih lagi belum selesai isu Covid-19. Jadi saya harapkan Insya-ALLAH kita teruskan kerjasama erat ini di samping kita patuhi arahan kerajaan dan SOP ditetapkan.

-- Ramai mangsa banjir terdiri daripada kaum wanita yang baru bersalin, bayi-bayi kecil yang baru dilahirkan. Bagaimana KPWKM memastikan keadaan mereka terjaga di PPS?

Alhamdulillah di setiap PPS kita menggabungkan beberapa agensi untuk membantu mangsa banjir.

Selain kerjasama daripada pihak sekolah yang menyediakan bilik khusus, biasanya untuk mereka yang baru bersalin atau baru keluar daripada hospital kita adakan bilik yang hampir dengan bilik air di sekolah itu. Malah di setiap PPS itu kita ada pegawai kesihatan yang kita tetapkan untuk sentiasa memantau tentang kesihatan mangsa banjir.

Di situ juga kita ada petugas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sentiasa memantau dari sudut keselamatan dan kita ada ambulans sekiranya berlaku kecemasan yang memerlukan. Begitu juga ubat-ubatan yang diperlukan oleh mangsa banjir, kita akan jaga.

Jadi Alhamdulillah jalinan antara pelbagai agensi, kementerian dan termasuk juga daripada pihak komuniti pimpinan tempatan sangat memudahkan urusan kita dan menguruskan mangsa banjir.

-- Berkenaan dapatan kajian KPWKM berkaitan kemiskinan haid yang menunjukkan bahawa 13.1 peratus daripada golongan B40 tidak mampu beli tuala wanita, apakah langkah yang diambil kementerian untuk isu berkenaan?

Kita dapati dalam negara kita ada 3.2 juta remaja yang berumur antara 12 hingga 17 tahun di mana 1.28 juta daripada remaja ini adalah terdiri daripada golongan keluarga berpendapatan rendah B40.

Alhamdulillah di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) iaitu salah satu agensi di bawah KPWKM, kita ada satu program dipanggil KafeTEEN di mana program ini kita laksanakan satu kajian rintis terhadap remaja.

Melalui kajian tersebut, kita dapati 13.1 peratus remaja dalam kumpulan tersebut mengatakan harga produk pengurusan haid di pasaran tidak berpatutan iaitu maknanya harga itu agak tinggi bagi mereka dan 16.4 peratus pula menyatakan pernah mengalami kesulitan untuk mendapatkan produk pengurusan haid terutama di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jadi hasil daripada itu kita telah buat satu program untuk memberi sumbangan kit kebersihan dan kita menyasarkan kepada 130,000 remaja B40 berumur antara 13-17 tahun. Program ini kita lakukan secara kolaborasi dengan beberapa agensi kerajaan.

Program ini turut akan melibatkan sekolah terutama sekolah yang ramai penduduk B40. Kita akan melibatkan sebanyak 1,105 sekolah menengah terpilih sebagai platform program berkenaan. Program ini bukan semata-mata kita bagi kit kebersihan sahaja, tetapi yang paling penting ialah program bagaimana kita nak didik remaja supaya peka tentang kesihatan dan kebersihan serta memberi pendidikan budi pekerti, akhlak dan motivasi.

Sebab kadang-kadang ada remaja B40 ini mereka tidak berminat dengan pelajaran kerana kemiskinan. Mereka lebih suka kerja sedangkan masa depan mereka lebih jauh. Jadi kita melihat program pembinaan sahsiah remaja dan jati diri remaja untuk meningkatkan dari sudut keilmuan ini sangat penting. Bukan semata-mata untuk isu masalah haid, tetapi bagaimana kita nak bina jati diri remaja golongan ini supaya mereka menjadi insan yang berjaya di masa hadapan, insya-ALLAH.

-- Bagaimana dengan perkembangan rang undang-undang berkaitan gangguan seksual?

Berkaitan Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual 2021 yang telah kita bentangkan di Parlimen pada 15 Disember lalu, Alhamdulillah kita telah berjaya bentang bacaan kali pertama dan kita tidak sempat untuk bacaan kali kedua di Parlimen baru-baru ini sebab masa yang tidak mencukupi.

Dijangka insya-ALLAH kita akan bentangkan untuk bacaan kali kedua dalam sesi tahun ini iaitu mungkin Mac ini. Untuk tujuan penggubalan RUU ini, kita telah menubuhkan satu pasukan projek khas terdiri daripada agensi kerajaan, ahli akademik termasuk NGO yang mempunyai bidang kepakaran, pengetahuan dan pengalaman terutama dalam isu-isu berkaitan gangguan seksual ini. Kita telah mengadakan pelbagai konsultasi dengan pelbagai pihak dalam penggubalan ini termasuk dengan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF). Ini kerana dalam pelaksanaan nanti kita kena melibatkan pelbagai pihak. Jadi kita mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk wakil pelajar, institusi, kementerian dan jabatan yang boleh membantu untuk kita menyempurnakan RUU ini.

Ini mungkin RUU pertama yang dibuat mengenai gangguan seksual dalam negara. Sebab itu kita mengharapkan banyak pandangan positif untuk kita tambah baik. Saya harapkan supaya apabila RUU ini kita dapat bentangkan pada bacaan kali kedua dan diluluskan di Dewan Rakyat dan ketika bacaan kali ketiga, isu gangguan seksual ini dapat ditangani.

Bukan itu sahaja, sebenarnya dalam perancangan kita, adalah tidak cukup dengan akta dan undang-undang sahaja. Dalam kita menangani sesuatu perkara, kita kena ada kempen dan program. Jadi kita akan sekalikan dengan pelan tindakan strategik bagaimana bukan semata-mata dengan undang-undang, tetapi mungkin juga program kesedaran supaya masyarakat sedar gangguan seksual ini satu perkara yang seharusnya tidak berlaku, tidak kira terhadap lelaki mahupun wanita.

Insya-ALLAH kita doakan semoga dengan berjayanya RUU ini dan program serta kempen yang kita buat di samping kerjasama daripada semua pihak, saya harapkan perkara ini dapat kita tangani bersama.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. HFMD makin membimbangkan
  2. Hubungan yang tidak putus
  3. ‘Era baharu’ AS-ASEAN
  4. Ancaman stagflasi mula dirasai
  5. Tingkat kawalan sempadan negara