Sila log masuk terlebih dahulu.

Kazakhstan dulu aman kini bergolak

09 Januari 2022 | Masa membaca: 4 minit
Bangunan Datuk Bandar Almaty dibakar dalam tunjuk perasaan membantah kenaikan harga LPG baru-baru ini. - Agensi
Bangunan Datuk Bandar Almaty dibakar dalam tunjuk perasaan membantah kenaikan harga LPG baru-baru ini. - Agensi
A
A
A

ALMATY - Kazakhstan yang kaya dengan sumber minyak dan gas serta berpopulasi lebih 18 juta pernah dikenali sebagai negara paling stabil di Asia Tengah suatu ketika dahulu.

Ia juga pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet yang berfahaman komunis dan diperintah secara kuku besi oleh Nursultan Nazarbayev sejak tahun 1990 sebelum pengundurannya daripada tampuk kepimpinan di Almaty pada 2019.

Selepas mengetuai negara berkenaan selama lebih 28 tahun, beliau menyerahkan jawatannya kepada penggantinya yang setia, Kassym-Jomart Tokyev yang kini menerajui pentadbiran di Kazakhstan.

Kassym-Jomart Tokyev
Kassym-Jomart Tokyev

Kassym-Jomart pernah menjadi Perdana Menteri dan berkhidmat di Kedutaan bekas Kesatuan Soviet di Singapura dan China ketika Beijing sedang berdepan siri protes dan pembunuhan beramai-ramai di Dataran Tiananmen pada tahun 1989.

Ketegangan yang semakin meningkatkan menyebabkan Nursultan yang berusia 81 tahun pada Rabu lalu terpaksa akur untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Majlis Keselamatan Kazakhstan susulan keganasan jalanan yang tercetus dek kenaikan harga gas petroleum cecair (LPG) pada 1 Januari lalu dan ia kini diambil alih oleh Kassym-Jomart.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Rusuhan ganas dan situasi di Kazakhstan menjadi semakin buruk selepas berlaku protes di bandar Zhanaozen di wilayah kaya dengan minyak dan gas sejak awal tahun lalu.

Harga LPG itu dinaikkan kepada 120 tenge (RM1.16) untuk seliter berbanding 50 hingga 60 tenge (RM0.48 hingga RM0.58) pada tahun lalu.

Penduduk berang dengan kenaikan harga bahan api itu berikutan sebanyak 90 peratus kenderaan di negara itu menggunakan LPG malah gas petroleum cecair tersebut juga digunakan secara meluas untuk memasak dan memanaskan badan di negara yang menetapkan gaji minimum berjumlah kira-kira 42,500 tenge (RM410.78).

Tunjuk perasaan itu kemudiannya merebak ke bandar Aktau di pantai Laut Kaspia di negara bekas Soviet itu dan situasi menjadi semakin tidak terkawal apabila mereka turut berarak di jalan utama di Almaty hingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Vladimir Putin
Vladimir Putin

Mereka dilaporkan bertindak ganas membakar bangunan dan memecah masuk kedai.

Susulan krisis yang semakin meruncing, Kassym-Jomart mengumumkan perintah darurat di Almaty dan di barat negara berkenaan dan berkata beliau akan mengurangkan harga LPG dalam usaha untuk meredakan tunjuk perasaan.

Namun, ramai yang melaungkan slogan menolak campur tangan Nursultan yang didakwa masih memegang kuasa walaupun sudah berundur.

Meskipun bahagian barat Kazakhstan kaya dengan sumber minyak dan gas namun diakui bahawa taraf hidup di Kazakhstan secara amnya lebih rendah daripada ibu kota negara berkenaan, iaitu Nur-Sultan serta bandar raya Almaty.

Jalan raya dan kemudahan awamnya tidak setaraf dengan keadaan di ibu kota Nur-Sultan dan Almaty manakala bekalan makanan perlu dibawa masuk ke bahagian barat pada jarak yang jauh sekali gus menelan kos tinggi.

Justeru kenaikan harga LPG itu sudah tentu menimbulkan kemarahan penduduk.

Ekoran keadaan yang semakin tidak stabil itu, Kassym-Jomart terpaksa meminta bantuan keselamatan daripada Rusia yang dipimpin oleh Presiden Vladimir Putin serta Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) iaitu pertubuhan dianggotai bekas-bekas negara Kesatuan Soviet.

Kassym-Jomart turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Putin selepas pakatan tentera yang diketuai Moscow menghantar pasukan keselamatan mereka ke Kazakhstan untuk membantu meredakan keganasan akibat siri protes itu.

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun sejak akhir minggu lalu.
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun sejak akhir minggu lalu.

Pada Jumaat, beliau juga dengan angkuh menolak untuk mengadakan rundingan bersama penunjuk perasaan malah telah memberi arahan tembak dan bunuh tanpa amaran terhadap ‘perusuh bersenjata’ yang didakwa sengaja mencetuskan huru-hara di negara tersebut.

Kassym-Jomart yang menolak desakan negara antarabangsa untuk mengadakan rundingan berpendapat usaha berdialog itu kononnya sebagai tidak masuk akal kerana Almaty telah diserang oleh ‘20,000 penyamun’ dengan pelan serangan yang jelas, penyelarasan tindakan dan kesediaan bertempur yang tinggi.

Ketika ini, Kazakhstan sewajarnya mengambil pengajaran daripada keputusan menaikkan harga LPG itu yang telah membangkitkan kemarahan penduduk berikutan sebahagian besar populasinya masih bergelut dengan kemiskinan.

INFO:

- Lebih 17 orang maut manakala lebih 700 lagi cedera dan lebih 2,000 orang ditahan dalam siri protes yang membantah kenaikan harga LPG di Kazakhstan.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Sokongan satu majoriti ADUN Bebas cetus ketidakstabilan
  2. Yang aneh-aneh siasatan di Malaysia
  3. 'Kegilaan PRN' berterusan andai tuntutan reset politik pasif
  4. 'Bersatu Johor percaya tuduhan itu fitnah, serah kepada polis siasat kes gangguan seksual'
  5. Jangan malu hantar penagih ke pusat pemulihan