Sila log masuk terlebih dahulu.

Trend beratur berjam-jam beli makanan di Cuba

12 Januari 2022 | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

CUBA - Penduduk Cuba tidak asing untuk beratur untuk membeli segala-galanya dari roti hingga kepada ubat gigi.

Mereka sering berdiri selama berjam-jam di bawah panas terik matahari tanpa akses untuk pergi ke tandas atau berpeluang meminum air minuman dan selalu dilanda perasaan takut untuk pulang dengan tangan kosong.

Ini adalah penderitaan harian buat rakyat Cuba yang berada dalam pemerintahan komunis selama kira-kira 60 tahun yang kini diperburukkan lagi dengan wabak Covid-19 dan kemerosotan ekonomi serta sekatan ketat daripada Amerika Syarikat (AS).

"Saya menghabiskan masa hampir sepanjang malam di sini hanya untuk membeli sesuatu. Ia tidak mudah. Ini adalah satu pengorbanan besar hanya untuk makan," kata seorang pembeli-belah, Edelvis Miranda, 47, kepada AFP di sebuah pasar di Havana baru-baru ini.

Dia mengambil tempat dalam barisan panjang kira-kira pada jam 1 pagi waktu tempatan dan akhirnya beredar sekitar 11 jam kemudian iaitu sebelum waktu tengah hari.

"Ia sangat berbaloi kerana saya mendapat semuanya. Sekarang rehat (sekejap) dan kemudian kembali ke dalam barisan lagi," katanya dalam perjalanan pulang dengan membawa dua liter minyak, dua bungkusan ayam, beberapa daging cincang dan bahan pencuci.

INFLASI 70 PERATUS

Cuba mencatatkan kadar inflasi rasmi sebanyak 70 peratus pada tahun 2021 ketika ekonomi pulih dua peratus setelah menjunam 11 peratus pada tahun 2020 sekali gus menunjukkan berlakunya krisis ekonomi terburuk di negara tersebut dalam tempoh hampir tiga dekad.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Dengan rizab pemerintah berkurangan, import makanan bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM8.38 bilion) setiap tahun iaitu ketika sebelum Covid-19 melanda perlu dikurangkan secara drastik di negara tersebut yang mempunyai penduduk berjumlah lebih 11 juta.

Pada Mei lalu, pihak pemerintah negara itu menyatakan import yang biasanya meliputi 80 peratus keperluan di pulau tersebut telah berada pada tahap terendah sejak tahun 2009.

Kekurangan itu menyebabkan semua lapisan masyarakat termasuk golongan wanita yang memakai kasut bertumit tinggi perlu beratur panjang walaupun kerap membayar sejumlah wang kepada orang lain untuk berdiri sekejap di tempat mereka dalam satu barisan.

Terdapat juga yang membawa makanan ringan, air, kopi atau bangku kayu untuk duduk ketika beratur panjang.

Pada kebiasaannya, polis bersedia untuk menjaga ketenteraman dalam satu barisan panjang sehingga ke beberapa blok bangunan.

Di sebuah pasar di ibu kota, satu pengumuman dibuat satu jam sebelum waktu pembukaan perniagaan bahawa terdapat lima produk yang tersedia untuk hari itu dan ia merupakan satu 'ganjaran' luar biasa sehingga menyebabkan tercetusnya perasaan gembira di dalam barisan melibatkan kira-kira 400 orang pembeli yang menaruh harapan.

PERJUANGAN HARIAN

Tetapi kemudian suasana itu dilanda kekecewaan apabila hanya 250 orang daripadanya yang boleh memasuki pasar tersebut.

"Ini tidak bermoral," kata Rolando Lopez iaitu seorang pesara berusia 66 tahun yang bukan antara yang bertuah dibenarkan untuk memasuki pasar itu.

Mereka yang bertuah di antara yang tidak bernasib baik itu dengan cepat membentuk barisan untuk membeli-belah pada hari berikutnya.

"Ini adalah perjuangan harian orang Cuba. Apa lagi yang boleh anda lakukan?" soal seorang suri rumah Maria Rosabal, 55.

Beberapa kedai di Cuba pada masa ini hanya menerima mata wang asing tetapi dolar AS tidak lagi menjadi mata wang yang sah dan hanya dapat diperoleh di pasaran gelap.

Kekurangan barangan bukanlah perkara yang baharu di Cuba.

Adalah sesuatu yang lazim apabila tindakan seorang penduduk Cuba yang memotong barisan tersebut ditegur oleh orang lain.

Namun, keadaan menjadi semakin buruk sejak bekas Presiden AS, Donald Trump menguatkan lagi sekatan yang sudah berlaku sejak tahun 1962 dan wabak Covid-19 pula membekukan sektor pelancongan dan ekonomi global di Cuba. - Agensi

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Sokongan satu majoriti ADUN Bebas cetus ketidakstabilan
  2. Yang aneh-aneh siasatan di Malaysia
  3. 'Kegilaan PRN' berterusan andai tuntutan reset politik pasif
  4. 'Bersatu Johor percaya tuduhan itu fitnah, serah kepada polis siasat kes gangguan seksual'
  5. Jangan malu hantar penagih ke pusat pemulihan