Sila log masuk terlebih dahulu.

Hutan negara cuma tinggal 18 peratus

13 Januari 2022 06:53am | Masa membaca: 4 minit
Shariffa Sabrina ketika sesi wawancara bersama Sinar Harian yang dikendalikan Johan baru-baru ini.
Shariffa Sabrina ketika sesi wawancara bersama Sinar Harian yang dikendalikan Johan baru-baru ini.
A
A
A

HUTAN dalam negara mencatatkan kurang daripada 18 peratus saki baki yang tinggal termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menurut Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, sekiranya tidak dijaga maka ia akan menyebabkan berlakunya bala bencana setiap tahun malah lebih buruk akan terjadi.

Justeru, sudah sampai masanya rakyat Malaysia memperjuangkan khazanah alam yang perlu dijaga dan dipelihara.

Ikuti Wawancara Presiden Peka itu bersama Sinar Harian yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar baru-baru ini.

JOHAN: Kalau berdasarkan kepada skala daripada satu sampai sepuluh dari segi kerosakan alam sekitar dalam konteks Malaysia, di mana kita agaknya?

SHARIFFA SABRINA: Kita dah bawah lima lah pada saya, di peringkat yang sangat serius.

- Selama ini Peka dan Pertubuhan Alam Sekitar serta NGO yang ada kaitannya dengan alam sekitar ini telah banyak menyuarakan pandangan tetapi nampaknya kurang mendapat perhatian, tetapi sejak akhir-akhir ini sejak banjir besar melanda sebahagian negeri, tiba-tiba kesedaran terhadap alam sekitar agak menonjol dalam kalangan rakyat. Kenapa ini berlaku ?

Biasalah, manusia ini bila dah terhantuk baru nak tengadah. Itu masalahnya tetapi kita semua kena faham, bentuk muka bumi negara kita kena ada pokok-pokok yang mencengkam. Kita kena ada bukit bukau yang dipenuhi dengan pokok dan kami daripada NGO selalu berkata, adakah pembalakan besar-besaran yang memberi negara kita satu berkat. Tiada tetapi banyak yang memberi bala bencana. Saya selalu dalam hutan, saya tengok sendiri dengan kepala mata saya sendiri bila adanya berlaku pembukaan tanah yang luas, bukan kita katakan kita tidak boleh ada pembangunan (development) tetapi cara mereka buka sekarang ini seperti cuci mangkuk, (clear cutting) dan sekarang mereka tengah gilakan tanah Musang King terutama di tanah tinggi dan selalunya durian yang paling sedap selalunya di Pahang. Jadi terlampau banyak sangat pembukaan dan kita tengok banyak sangat merosakkan sungai-sungai kerana siapalah yang nak masuk tengok SOP pembalakan dalam hutan. Jadi saya dah pernah masuk dan tengok sendiri dengan mata kepala saya sendiri macam mana mereka melakukan pembalakan sampai di tepi-tepi sungai mereka potong. Ini perkara lama menjadi lebih parah pada alam. Sekarang kalau Tan Sri tengok, banyak orang bercakap tentang perubahan cuaca. Ini kerana buatan manusia, bahkan dalam al-Quran juga tertulis bahawa tangan-tangan manusia yang membinasakan alam. Jadi saya daripada Peka ini nak memberi kesedaran pada masyarakat dan kerajaan. Ya kita mahukan pembangunan tetapi kita mesti mempunyai kelestarian dan keseimbangan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

- Tetapi mahu tidak mahu dalam negara yang membangun, ‘deforestation’ terpaksa berlaku demi pembangunan tetapi kadang-kadang bila pembangunan yang melampau itu antaranya kerana soal pembalakan, syarikat-syarikat perladangan yang membuka hutan untuk ladang-ladang mereka begitu juga dengan pembangunan sebagainya. Bagaimana kita nak pastikan supaya ada perimbangan itu?

Itu terpulang kepada penguatkuasaan kerajaan, mereka perlu pandai dan turun sebab apa yang saya tahu ini sebab banyak ada rasuah di situ jadi macam saya cakap tadi. Katakan sungai itu 10 meter dia punya pangkal ke hujung, jadi dia punya buffer zon sepatutnya kali dua iaitu 20 meter dan 20 meter. Jadi dia nak potong pun jangan sampai masuk ke sungai tetapi apa yang terjadi, mereka potong ambil balak-balak ada harga dan yang tiada harga itu semua ditinggalkan di tepi-tepi dan ada yang dibuang dalam sungai jadi tiada siapa nak semak semua ini. Dalam hutan tebal siapa je yang nak masuk dalam hutan. Jadi semua itu saya dah nampak dan saya dah bagi amaran pembukaan hutan kita terlampau ekstrim sepatutnya yang saya minta sangat lah apa salahnya kerajaan, mereka ini selalu berkata itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri jadi mereka macam nak cuci tangan tetapi tidak boleh ye sebab ini tentang kita bercakap tentang nadi kehidupan manusia. Hutan itu adalah nadi kehidupan manusia. Kita kena tahu betapa pentingnya hutan pada manusia bukan sahaja kepada manusia tetapi juga makhluk ALLAH semuanya. Sekarang kita tengok dengan orang asli semuanya bertaburan sampai dah tiada nak cari makan, kita tengok harimau sekarang dah keluar makan manusia ini semua sebab kita dah kacau eksosistem. Jadi kita kena faham semua ini tidak berguna kalau kita ada bangunan yang paling hebat, tinggi tetapi kita tiada air (air sungai) kita habis rosak.

- Pembalakan dikatakan menjadi punca banjir besar walaupun ada yang mengatakan fakta itu tidak betul dan Menteri Besar mengatakan pandangan netizen seperti ‘kutip fakta dari longkang’. Apa komen Puan Sri?

Menurut Shariffa Sabrina (gambar kecil), hutan dalam negara mencatatkan kurang daripada 18 peratus saki baki yang tinggal termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurut Shariffa Sabrina (gambar kecil), hutan dalam negara mencatatkan kurang daripada 18 peratus saki baki yang tinggal termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Saya terkilan kerana kita mempunyai pemimpin yang berfikiran macam itu, kita sebagai pemimpin kita sepatutnya menjaga rakyat dulu maknanya dia kalau kita nak apa-apa pembangunan kita kena ambil kira apa dia punya kesan sampingan negatif. Kalau misalnya dia nak buka hutan untuk pembalakan apa kesan buruk kepada masyarakat kampung kerana mereka banyak lagi bergantung kepada air daripada bukit. Jadi bila dah buka hutan-hutan itu semua, jadi air akan kotor. Dah lah kotor dan bila musim hujan semua air-air selut itu dah tiada pokok nak menahan, jadi air semua akan turun dan akan terjadi lah banjir dan ini lah yang sekarang berlaku di Malaysia.

- Banyak kerajaan negeri menganggap bahawa hasil daripada cukai pembalakan itu merupakan sumber pendapatan bagi negeri-negeri itu sampai ratusan juta. Macam mana kita nak pastikan kerajaan negeri tidak hilang pendapatan dan dalam masa sama pembalakan terkawal?

Sebab itu kerajaan Persekutuan perlu masuk campur. Kerajaan Persekutuan boleh bayar ganti rugi kepada negeri-negeri yang disuruh untuk tidak buat balak misalnya seperti negeri Pahang, kalau kita katakan hasil cukai daripada balak mungkin RM120 juta setahun. Apa salahnya kerajaan memberi pampasan (compensate) mungkin dua kali ganda. Pada saya nak seribu daya, dan sentiasa ada jalan untuk menyelesaikan masalah ini.

- Apa untung kepada negeri itu kalau elakkan pembalakan sebenarnya?

Sebenarnya pembalakan ini untungnya untuk orang tertentu sahaja bukan untuk rakyat, rakyat tidak dapat untung. Kerajaan sekarang dah banyak VVIP, bila VVIP ni kita tegur karang memasukkan kita dalam lokap. Itu yang terjadi pada saya, saya tegur orang kayangan lepas itu dia masukkan saya. Jadi dia letakkan ketakutan dalam kita. Kalau lah Puan Sri boleh masukkan dalam lokap, macam mana dengan kami yang rakyat biasa ini. Jadi ini salah. Sebelum ini saya pernah tegur di Johor pembukaan hutan yang sangat besar di mana tempat-tempat gajah buat pusingan U, mereka terlampau besar buka hutan itu untuk pembalakan dan mereka kata nak tanam kelapa sawit. Jadi saya sebagai Presiden PEKA saya bersuara kenapa sebagai seorang pemimpin besar boleh biarkan benda-benda ini berlaku kerana dia akan membawa impak yang sangat dahsyat pada manusia dan makhluk ALLAH.

- Dalam satu video dan kemungkinan bukan video baru macam mana Puan Sri berdepan dengan seorang pegawai yang menyatakan ada hubungan baik termasuk kerabat. Dalam video itu, Puan Sri ada menyebutkan tentang hakikat bahawa kita tidak boleh bergantung kepada orang politik dan Puan Sri juga dalam keadaan merintih dan menangis mengharapkan sokongan daripada rakyat. Apa sebenarnya berlaku?

Sebenarnya masa itu saya dah rasa macam dah terdesak, yang mana negara kita ini dah tiada orang besar untuk kita bergantung lagi terutama dalam penjagaan alam kerana pada saya sesebuah negeri nak maju, alam mesti jaga dulu. Kalau kita tengok mana-mana negara maju, mereka menjaga alam mereka. Jadi mereka-mereka yang suka mengambil alam mereka menganggap hutan ini seperti bank mereka. Kerana mereka nak balak mereka balak. Mereka tidak kisah. Tetapi mereka ada hubungan dengan kerabat-kerabat selalunya. Itu yang kita tahu sebab banyak papan tanda terpampang nama-nama kerabat diraja. Jadi kita sebagai manusia kita menegurlah tidak semestinya ini betul. Jadi ini yang mereka guna nama-nama kerabat mungkin ada hubungan kat situ. Wallahuaklam kita tidak tahu. Pada saya negara ini kita dah tidak tahu mana nak bergantung sekarang sebab itu dengan sebak saya meminta rakyat bangun kerana ini adalah negara kita kerana kalau bukan kita yang menjaga negara kita siapa yang nak jaga lagi. Kita nak pembangunan tetapi kita perlu tengok macam negara jiran kita seperti Singapura dia bina setinggi-tinggi bangunan tetapi setiap penjuru dia tanam pokok. Kerana mereka tahu bila hujan pokok-pokok akar itu yang akan menyerap air, mana kita dengar sangat Singapura banjir dan sudah tentu tebatan banjir mereka bagus, jadi Malaysia sepatutnya belajar. Itu di selatan, kita tengok jiran kita di utara, Thailand mereka tidak benarkan lagi aktiviti pembalakan. Siapa yang balak mereka ditembak. Mereka tegas tentang pembalakan. Jadi kalau kita nak maju, kita pelihara khazanah alam kita. Ketika ini mereka perlu hentikan pembalakan sebab dah terlalu banyak. Pada ketika ini juga kita perlu letakkan moratorium atas pembalakan. Bermakna berhenti dulu mungkin untuk 20 tahun atau 30 tahun biar hutan kita hidup balik. Kita minta juga kerajaan Persekutuan gazetkan banjaran Titiwangsa sebab ia merupakan tulang belakang negara kita. Kalau mereka gazetkan sebagai warisan anak-anak kita, saya rasa Insya-Allah boleh diselamatkan sikit kita punya hutan. Selain itu, dari segi politik, akta itu kita perlu tukar dan terpulang kepada ahli Parlimen untuk tukar akta perhutanan kita yang tidak pernah ditukar sejak tahun 1984 dan saya minta sangat ini saranan untuk kebaikan masa hadapan Malaysia yang perhutanan semua di bawah kerajaan Persekutuan. Selagi mereka (kerajaan Negeri) masih berkuasa pada hutan dan tanah susahlah pada saya nak jaga dan simpan hutan.

- Bagaimana dengan kuasa advokasi Puan Sri dan NGO. Apa yang patut dilakukan bukan sahaja untuk kesedaran rakyat tetapi juga kepada pimpinan politik dan sebagainya?

Politik sekarang kita dah huru-hara. Cuma kita harapkan kepada rakyat sahaja. Rakyat jaga rakyat.Rakyat yang boleh memilih pemimpin-pemimpin yang berani kehadapan dan bercakap dan peka untuk menyayangi alam sebab sekarang ini mereka lebih kepada projek tetapi dari segi penjagaan alam itu kurang. Contohnya di Selangor dulu mereka mengimport banyak sampah-sampah plastik. Itu sepatutnya kejadian yang tidak boleh seorang pemimpin itu buat.

- Kalau tentang eko-Pelancongan ini pula orang selalu katakan macam di Thailand kena tumpukan kepada sistem ini sebagai ganti kepada kerja-kerja pembalakan dan sebagainya, Apakah dari segi pendapatan akan seimbang atau lebih?

Eko-pelancongan ini adalah untuk sustainable. Ia pada jangka masa panjang untuk kesejahteraan negara tersebut. Tetapi dalam pembalakan ini, ia untuk jangka masa pendek. Memang cepat dapat duit, tetapi pada masa jangka panjang itu, ia akan memberi kerosakan. Jadi apa yang kita tengok eko-pelancongan di Malaysia ini mungkin akan pupus suatu hari. Kerana saya tahu, saya salah satu daripada pemain dalam eko-pelancongan dan nak jaga sungai sahaja supaya jangan kotor dan jangan ditebang pokok punyalah seksa sampai terpaksa pergi mahkamah untuk pertahankan satu sungai itu sebab kita tahu bila ada pembukaan hutan di hulu sungai, kat bawah-bawah itu semua akan rosak.

- Misal kata kegiatan pembalakan begitu teruk sehingga menyebabkan haiwan seperti proboscis monkey terpaksa diberikan tempat perlindungan seperti Sabah kerana sudah tidak ada tempat lagi untuknya. Begitu juga dengan hidupan liar yang lain. Jadi apa komen?

Kita sudah kehilangan gajah, harimau sebab harimau bila dia serang manusia, mereka terpaksa akan ditembak mati. Itu yang rasa sedih sangat. Jadi kempen-kempen yang kerajaan buat semua itu pada saya gagal. Selepas itu, kita akan kehilangan semua binatang-binatang yang sangat berharga. Bukan sahaja binatang tetapi tanaman-tanaman, pokok dan ubat-ubatan. Kita punya hutan ini adalah gedung perubatan. Banyak ubat-ubatan yang boleh kita dapat daripada hutan.Sepatutnya kita belajar daripada orang asli sebab mereka dah berkurun-kurun hidup di dalam hutan dan ubat mereka adalah daripada hutan. Maknanya, hutan itu adalah satu khazanah yang sepatutnya kita jaga. Bukannya kita minta semua satu Malaysia jadi hutan tetapi kita mesti ada sekurang-kurangnya 50 peratus hutan. Jadi yang tinggal sekarang mungkin Banjaran Titiwangsa yang telah dibalak. Jadi kalau kita tidak hentikan semua itu, negara kita akan menuju kemusnahan.

Shariffa Sabrina minta kerajaan tukar akta yang ada, letakkan moratorium untuk pembalakan dan juga gazetkan banjaran Titiwangsa serta bayar sahaja kepada negeri-negeri yang menggalakkan pembalakan sebagai ekonomi mereka.
Shariffa Sabrina minta kerajaan tukar akta yang ada, letakkan moratorium untuk pembalakan dan juga gazetkan banjaran Titiwangsa serta bayar sahaja kepada negeri-negeri yang menggalakkan pembalakan sebagai ekonomi mereka.

- Berapakah peratusan hutan yang berbaki di negara ini?

Kurang daripada 18 peratus dan ia melibatkan seluruh negeri.

- Apa yang akan berlaku sekiranya peratusan hutan semakin berkurang daripada 18 peratus itu?

Macam hari itu, kerajaan kata akan tanam berjuta-juta pokok, tetapi saya tidak tahu kat mana berjuta-juta pokok itu. Apa yang akan berlaku macam ini lah tiap-tiap tahun kita akan berdepan dengan bala bencana.

- Salah satu daripada hasil daripada kesedaran baru mengenai soal alam sekitar akibat daripada banjir ini dan kesedaran tentang kesan pembalakan itu adalah tanda tangan yang digerakkan oleh ABIM dan PEKA dan sekarang sudah mencecah 200,000 tanda tangan. Apa maknanya Puan Sri?

Walaupun tanda tangan dibuat tetapi nampak gaya kerajaan masih lagi berdiam diri dan tidak mahu berkata apa-apa sepatutnya mereka boleh letakkan moratorium macam mana mereka meletakkan moratorium untuk bauksit di Kuantan dahulu. Tetapi kenapa sampai sekarang mereka tidak mahu cari jalan dan punca masalah itu. Apa yang saya tengok sekarang ini mereka lebih bercakap tentang memberi bantuan. Kita tidak mahu selalu bercakap tentang bantuan-bantuan. Kita tidak mahu rakyat jadi pengemis. Jadi sudah sampai masanya kerajaan hentikan punca kepada masalah tersebut. Itu yang patut mereka cari.

- Akar daripada semua ini adalah sikap rakyat juga, kesedaran mereka tentang ini menjaga alam sekitar sebagainya, bagi pandangan Puan Sri, Apakah rakyat kita sudah cukup sedar hal seperti ini. Apa yang patut mereka lakukan?

Belum, mereka masih tidak sedar kerana mereka masih merasakan kami duduk di bandar dan tidak teruk sangat seperti di kampung tetapi mereka tidak faham masalahnya asal daripada hulu datang ke hilir dan bandar banyak di hilir. Jadi masyarakat kita masih lagi tidur sebab kita masih dapat bantuan tetapi masyarakat kita patut disalahkan juga kerana tiada yang berani datang ke hadapan sebab mereka dah ditanam dengan ketakutan oleh kerajaan. Jadi sudah sampai masanya rakyat maju ke hadapan ini untuk menjaga. Kalau kita cakap tentang patriotik, ini patriotik yang sebenarnya iaitu menjaga khazanah alam negara kita.

SUNGAI DI BANDAR LUAR NEGARA BOLEH MANDI

- Bagaimana tentang situasi keadaan tentang sungai-sungai kita. Salah satu daripada masalah besar ialah kerana sumber sungai banyak kegunaan untuk semua. Kadang-kadang paip tiada air, Apa pandangan Puan Sri?

Macam yang saya cakap bila kita dah merosakkan banyak hutan-hutan kita, jadi secara automatik sungai kita akan rosak. Jadi apabila sungai dan lumpur terlampau banyak serta industri-industri yang buat dia punya kimia dalam sungai jadi banyak sungai kita yang dah mati dan tidak boleh pakai lagi. Jadi ini sangat menyedihkan. Kalau kita tengok di negara Eropah, sungai-sungai mereka di bandar boleh mandi, jernih dan bersih. Macam di Switzerland saya tengok sendiri budak-budak lompat dan mandi sungai dalam dia punya bandar (capital). Jadi Malaysia ini kita nak letakkan kaki dalam sungai pun kita dah takut kerana daripada dulu lagi kita tidak tahu menilai sungai itu yang sebenarnya memberi kita kehidupan. Kita tidak boleh hidup tanpa air.

- Adakah Puan Sri rasakan banyak mengenai NGO alam sekitar khazanah alam tetapi tidak ada koordinasi antara NGO yang wujud yang menyebabkan tidak ada satu suara yang lantang dalam hal ini? Apa komen Puan Sri ?

Ya betul Tan Sri, banyak NGO tidak berani ke hadapan kerana mereka takut disabotaj, diugut dan tidak mendapat duit. Jadi tidak ramai yang berani sebab bila kita cakap tentang kemusnahan hutan, ia ada kena mengena dengan orang atas, kayangan, Menteri Besar. Exco dan kerajaan. Jika mereka bersuara sahaja mereka akan dapat ugutan. Saya berani pun sebab saya tengok banyak kemusnahan akibat tangan-tangan mereka

- Satu perkara yang sangat menyedihkan Puan Sri ada menyebut tentang budaya korupsi yang menjadi punca walaupun pembalakan dibenarkan tetapi kita tahu syarikat balak tidak ikut SOP pun dan salah satu punca adalah kurang pemantauan dan berpunca daripada rasuah. Apa komen Puan Sri ?

Kebanyakan banyak rasuah di situ, dan mereka mungkin minta bagi bukti ada rasuah tetapi kita tahu ada rasuah di situ. Buktinya kalau kita nak buka pasukan memang banyak cacing dalam itu.

- Kalau Puan Sri diberi kesempatan untuk bercakap kepada Perdana Menteri lah kan tentang isu ini apa yang Puan Sri nak sebutkan ?

Saya nak minta sangat Perdana Menteri cari jalan untuk hentikan unethical deforestation kerana Malaysia dah hilang banyak sangat khazanah alam, sumber semulajadi dan banyak orang besar yang mengatakan itu hak mereka. Jadi Perdana Menteri kena berani dalam tukar akta yang ada, letakkan moratorium untuk pembalakan dan juga gazetkan banjaran Titiwangsa serta bayar sahaja kepada negeri-negeri yang menggalakkan pembalakan sebagai ekonomi mereka.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Biden terlanjur kata dasar luar Amerika
  2. Pendedahan partisipasi politik belia
  3. Bazir duit dan masa atas jalan
  4. Kura-kura eksotik sampai RM2,000
  5. Padi IS21 tangani ancaman kebuluran