Sila log masuk terlebih dahulu.

Pengalaman makan nasi RMT

21 Januari 2022 08:11am | Masa membaca: 4 minit
Dengan adanya RMT maka sekurang-kurangnya murid tidak berlapar di sekolah.(Gambar hiasan) - Foto internet
Dengan adanya RMT maka sekurang-kurangnya murid tidak berlapar di sekolah.(Gambar hiasan) - Foto internet
A
A
A

SAYA antara generasi yang sempat merasai nasi RMT (Rancangan Makanan Tambahan) ketika di sekolah rendah.

Oleh kerana bersekolah di kawasan luar bandar dan kebanyakan datang daripada keluarga susah, maka boleh dikatakan majoriti murid terpilih menerima RMT.

RMT juga amat membantu apabila musim hujan kerana rata-rata ibu bapa pada masa itu poketnya kering kerana tidak dapat menoreh.

Apabila tidak dapat ke kebun, maka terputus sumber pendapatan. Dengan adanya RMT maka sekurang-kurangnya murid tidak berlapar di sekolah. Ia juga meringankan beban ibu bapa yang mempunyai ramai anak.

Sepanjang mendapat nikmat peruntukan kerajaan itu, boleh dikatakan hari-hari saya berselera dengan masakan yang disediakan oleh pengusaha kantin.

Walaupun nama popular ketika itu nasi RMT, tapi ada juga disediakan mihun dan mi goreng. Saya juga tidak pernah merungut kerana pada waktu itu makanan yang disediakan mencukupi untuk keperluan murid.

Disediakan dalam pinggan plastik, dengan nasi yang suhunya suam-suam dan berasap. Ditambah dengan lauk ayam masak merah, berserta air Milo atau teh O dan buah, nikmat makanan pada masa itu tiada tandingan.

Menu makanan berbeza mengikut hari dan ditulis di atas kertas manila, ditampal di kantin. Kadangkala sambil melihat menu, otak sudah boleh membayangkan makanan yang berada di atas meja.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Cuma ada satu hari sahaja, apabila disediakan nasi berlauk daging masak hitam, saya rasa pekerja kantin tersalah anggap ketulan halia sebagai daging.

Oleh kerana seketul daging setiap pinggan, maka saya makan nasi dengan kuah sahaja. Saya pun tak kisah sangat, apabila lapar semua makanan jadi sedap.

TIDAK RELEVAN

Pada Oktober tahun lalu, Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) menyifatkan peruntukan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebanyak RM2.50 sudah tidak lagi relevan pada masa kini berikutan harga barang mentah yang semakin tinggi.

Seperti dilaporkan media, Timbalan Presiden PPKSM, Salmah Othman berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta untuk melakukan penilaian semula terhadap kadar bantuan tersebut dengan cadangan kenaikan kepada RM4.

Katanya, kadar RM2.50 untuk RMT sudah tidak sesuai pada masa sekarang lebih-lebih lagi harga barang mentah dan barang basah meningkat berkali-kali ganda.

Menurut Salmah lagi, pengusaha kantin mencadangkan harga baharu bagi mengelakkan pengusaha kantin tanggung kerugian manakala murid dan pelajar dapat menikmati makanan yang sihat, berkhasiat dan segar.

Saya sebenarnya setuju dengan cadangan pengusaha kantin kerana nilai RM2.50 ketika ini amatlah kecil, ditambah pula dengan harga bahan mentah yang mahal.

Saya pernah bertanya kepada pengusaha kantin mengenai hasil keuntungan daripada jualan RMT, rata-rata yang ditemui berkata penyediaan makanan itu sebenarnya dianggap sedekah mereka kepada murid yang kurang mampu.

Kata mereka, jika diukur dengan jumlah peruntukan, adalah amat sukar untuk menyediakan makanan seperti yang ditetapkan oleh pihak KPM.

Tambahan pula ketika ini dengan impak Covid-19, penggiliran murid yang menyebabkan hasil jualan merosot dengan drastik, mereka mengakui tidak lagi mampu ‘bersedekah’ dalam penyediaan RMT.

Oleh itu, memang wajar satu kajian dibuat untuk mengetahui sama ada menu yang disediakan itu sesuai pada masa sekarang atau tidak.

Adalah diharapkan agar hasil kajian itu nanti akan memberi faedah kepada pengusaha kantin, murid-murid dan juga pihak KPM.

Yang paling penting ialah anak-anak kita yang akan dapat manfaatnya nanti.

* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Henti sementara teroka bukit
  2. Mahu hukuman lebih tegas dikenakan
  3. Tidak memadai hanya nafi
  4. Impian tercapai dapat tunai haji tahun ini
  5. UMNO tanpa Najib