KITA kini di ambang tahun ketiga krisis Covid-19 dan ekonomi sedang menunjukkan tanda-tanda menggalakkan, juga membimbangkan. Ekonomi global kini berdepan ancaman varian baharu, peningkatan kadar inflasi, tahap hutang yang meningkat dan ketidaksamaan agihan pendapatan.
Selain itu, dengan permintaan terpendam mula mereda dan pengurangan sokongan fiskal oleh kerajaan di serata dunia, IMF dan Bank Dunia telah meramalkan pertumbuhan global akan menyederhana dari 5.9 - 5.5 peratus pada 2021 kepada 4.4 - 4.1 peratus pada 2022.
Namun, berdasarkan petunjuk ekonomi memberangsangkan baru-baru ini, unjuran pertumbuhan Malaysia kekal antara 5.5 - 6.5 peratus, didorong oleh Bajet 2022 yang bersifat mengembang. Prospek cerah itu turut didorong oleh langkah kerajaan yang telah berulang kali meningkatkan usaha dan mengatasi pelbagai rintangan demi membantu negara di saat paling getir.
Secara keseluruhan, kerajaan telah melaksanakan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion bagi membantu rakyat dan perniagaan, khususnya golongan B40 serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Saya juga telah berpeluang membentangkan bajet tahunan negara untuk dua tahun berturut-turut dengan peruntukan RM322.5 bilion bagi 2021 dan RM332.1 bilion untuk 2022.
Bagaimanapun, ketika negara baru sahaja melabuhkan tirai 2021 dengan sinar cerah susulan bilangan kes Covid-19 mula stabil dan ekonomi beransur pulih, kita telah diuji dengan musibah banjir luar biasa yang memerlukan bantuan tambahan RM2 bilion.
Susulan cabaran pandemik dan banjir, sudah tiba masanya untuk kita membina semula sumber serta hasil negara tetapi apakah tindakan susulan terbaik?
Mungkin kita harus mulakan dengan bertanya satu soalan mudah iaitu apakah bentuk tanah air yang kita mahu anak cucu kita warisi pada masa hadapan?
Jika kita prihatin masa depan mereka, kita perlu menggubal dasar yang akan memperkasakan rakyat menjadi makmur, bukannya miskin, diberi peluang, bukannya dihalang, diperkasa dan bukannya dianaktirikan di tanah air sendiri. Kita juga mahu mereka berupaya menikmati keindahan bumi Malaysia dan bukannya melarikan diri akibat bencana alam susulan perubahan iklim.
WARISI
Bagi menentukan masa depan cerah, bukan yang kelam untuk anak-anak, kita mesti pastikan kemampanan fiskal supaya mereka boleh mewarisi sebuah negara bebas hutang piutang yang amat membebankan. Pendek kata, kemampanan fiskal negara adalah penting bagi menjayakan inisiatif penyusunan semula dan pembaharuan ekonomi negara.
Walaupun Kementerian Kewangan (MOF) telah melakukan yang terbaik bagi memastikan perbelanjaan bajet berhemah, subsidi bersasar, pinjaman yang bertanggungjawab dan memastikan tiada pengurangan ketara bagi perbelanjaan pembangunan, tanggungjawab itu semakin mencabar akibat pandemik.
Kita perlu mengimbangi hasil dan keperluan perbelanjaan yang semakin bertambah sejak dua tahun lalu bagi menyokong ekonomi serta golongan rentan Keluarga Malaysia. Apa akibatnya jika satu lagi wabak melanda negara sebelum kita boleh membina semula sumber kewangan negara dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN)?
Adakah kita mempunyai sumber mencukupi untuk mempertahankan pengurusan kesihatan awam daripada hampir lumpuh sekali lagi? Mampukah kita melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat serta perniagaan sekiranya ekonomi terpaksa ditutup sekali lagi?
Mampukah kita wujudkan jaringan keselamatan untuk B40 dan sektor PMKS tanpa simpanan atau rizab negara mencukupi? Jelas, kita memerlukan penyelesaian lebih mampan bagi membina semula sumber kewangan negara termasuk tabung KWAN, di mana RM5 bilion daripadanya digunakan untuk membeli vaksin Covid-19.
Dalam kita menyambut kedatangan tahun harimau, banyak yang boleh kita pelajari daripada haiwan zodiak Cina itu. Harimau bersifat gagah dan berani. Dari perspektif dasar, kita juga mesti mempunyai kekuatan dan keberanian demi masa depan anak-anak serta kesejahteraan sosioekonomi negara tercinta.
Sebab itulah MOF telah memulakan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk membangunkan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi memastikan ruang fiskal yang amat diperlukan. Kepentingan pembaharuan fiskal itu sememangnya tidak boleh disangkal dan perlu dilakukan segera untuk memulihkan kesan sosioekonomi yang terjejas teruk.
Antara aspek utama MTRS adalah sasaran pendapatan yang jelas dan sistem cukai lebih saksama serta telus berlandaskan data raya serta sejajar dengan amalan global terbaik. Lebih penting, kita perlu mengimbangi usaha itu dengan prinsip pinjaman dan perbelanjaan berhemah.
Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan data ekonomi yang beransur pulih, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan defisit negara antara 3.0 - 3.5 peratus menjelang hujung 2025. Ia merangkumi pengurusan dua aspek penting kewangan negara iaitu hutang dan hasil.
Dari segi hasil, kita perlu mengelak situasi – sebahagian besar pendapatan negara digunakan untuk membayar hutang, sebagai contoh membayar faedah bagi hutang negara. Kita juga perlu sedar lebih banyak kita meminjam hari ini, lebih banyak hutang perlu ditanggung anak-anak dan cucu-cucu kita nanti.
FRA yang dirancang untuk diperkenalkan tahun ini juga merupakan kunci kepada strategi MOF bagi meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan fiskal negara. Ia termasuk kajian semula perbelanjaan awam untuk memastikan perbelanjaan lebih berkesan dan melaksanakan pembaharuan institusi serta tadbir urus berterusan.
Kesemua itu akan menyumbang kepada bajet lebih seimbang dan mampan serta pengurusan risiko fiskal dan hutang berhemah. September lalu, MOF telah menerbitkan kertas rundingan mengenai FRA dan disokong pelbagai pihak.
Bagi saya, ia adalah kesedaran bahawa sekiranya usaha untuk menambah baik tadbir urus fiskal tidak dilaksanakan secepat mungkin, negara akan berdepan kekangan hasil dalam masa terdekat.
Dari segi ketelusan, MOF telah berulang kali memaklumkan mengenai manfaat yang telah diterima rakyat dan perniagaan melalui pelbagai pakej bantuan, rangsangan ekonomi dan bajet tahunan. Ia telah dilaksanakan melalui laporan mingguan MOF yang telah mencapai 85 jilid sejak April 2020.
Tahun ini, usaha itu ditingkatkan melalui penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri. Ia mencerminkan komitmen kerajaan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif Bajet 2022.
Malaysia telah melalui sebuah perjalanan amat berliku, maka kita memerlukan pembaharuan fiskal bagi memperkasakan ekonomi untuk memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia.
Umpama seekor harimau betina yang akan mempertahankan anaknya daripada pemangsa yang menjadi ancaman di dalam hutan, kita haruslah meneladani keberanian sama untuk melaksanakan pembaharuan fiskal.
Anak-anak dan cucu-cucu kita hanya boleh dilindungi daripada kemusnahan kewangan masa depan jika kita bertindak awal berdasarkan dasar-dasar betul yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta berhemah.
"Anak-anak dan cucu-cucu kita hanya boleh dilindungi daripada kemusnahan kewangan masa depan jika kita bertindak awal.”
* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan