Sila log masuk terlebih dahulu.

Rundingan kerusi belum selesai, PKR Johor ajak Muda 'move on'

16 Februari 2022 09:38pm | Masa membaca: 4 minit
PKR mungkin tidak mengikut jejak langkah Amanah dan DAP untuk menyerahkan sebahagian kerusi PRN Johor kepada Muda.
PKR mungkin tidak mengikut jejak langkah Amanah dan DAP untuk menyerahkan sebahagian kerusi PRN Johor kepada Muda.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mengajak Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) untuk 'move on' atau tidak terlalu mengambil hati daripada isu kesukaran kedua-dua parti berkenaan memuktamadkan rundingan agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN Johor).

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, meskipun proses rundingan kerusi PRN antara PKR-Muda masih berjalan di peringkat kepimpinan tertinggi, pihaknya enggan menaruh harapan tinggi satu kata sepakat akan tercapai sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari ini.

Berikutan itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Johor itu mengakui partinya akan meneruskan agenda menyelesaikan proses pengumuman baki calon-calon PRN yang tertangguh, selewat-lewat pada hujung minggu ini.

"Kalau ikut (proses) pengumuman calon, kita sudah menetapkan calon berdasarkan jumlah 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi.

"Namun dengan adanya rundingan tertinggi di antara Muda dan pucuk kepimpinan PKR, maka keputusan lanjut terserah kepada mereka kerana sebarang perubahan boleh berlaku sehingga hari penamaan calon.

"Tetapi di peringkat negeri, tempoh rundingan PKR Johor dan Muda sudah tamat dan atas faktor itu kami perlu 'move on' daripada isu ini dan mengajak Muda membuat perkara sama," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas status terkini proses rundingan kerusi pilihan raya antara PKR dan Muda susulan kedua-dua parti itu sebelum ini mengakui satu keputusan muktamad belum tercapai.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PKR difahamkan menawarkan tiga kerusi iaitu DUN Semarang, Sri Medan dan Tanjung Surat - tiga kerusi yang merupakan kubu kuat UMNO - kepada Muda.

Bagaimanapun, Muda meminta untuk bertanding di dua kerusi DUN yang dianggap boleh menang oleh parti-parti pembangkang iaitu Gambir dan Larkin.

Sebelum ini ditetapkan bahawa syarat rundingan kerusi itu ialah mana-mana kerusi yang mahu ditandingi Muda bukan kerusi yang pernah ditandingi PKR pada pilihan raya umum lalu.

Untuk rekod, Muda sudah diberikan enam kerusi DUN berpotensi menang oleh Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam rundingan kerusi pilihan raya di antara ketiga-tiga parti berkenaan sebelum ini.

Kerusi-kerusi berkenaan adalah DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim mengakui isu rundingan kerusi itu bakal memberi implikasi negatif kepada jentera pilihan raya PKR negeri itu sekiranya ia berterusan tidak diselesaikan segera.

Bahkan, beliau turut membayangkan kemungkinan terdapat calon atau jentera parti yang akan kecewa sekiranya keputusan di peringkat Pusat kelak tidak memihak kepada mereka.

"Sudah tentu ada kesan (negatif). Jadi pandangan peribadi saya, Muda kena fokus kepada kerusi-kerusi yang sudah diperoleh kerana mereka tiada kekuatan jentera di kerusi-kerusi yang diminta daripada PKR kerana mereka parti baharu. PKR sudah memiliki cabang dan ranting sejak dahulu lagi.

"Bagaimanapun, jika terdapat campur tangan di peringkat tertinggi, saya akan dengar dan patuh dengan segala keputusan dibuat.

"Paling penting, PKR Johor akan sentiasa menyokong keputusan PH dan Muda dengan fokus kita untuk melawan musuh nyata pada PRN Johor iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN)," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Sakit yang tidak nampak sakit
  2. Bantuan senjata di Ukraine diseleweng?
  3. Makin berkurang waktu kerja
  4. ‘Tiada tawaran bulan dan bintang’
  5. Apa salah Shafiq?