[MULTIMEDIA] BEBERAPA tahun kebelakangan ini, orang ramai, termasuk pemerhati politik mengharapkan landskap politik negara diisi dengan calon muda dalam pilihan raya.
Perkara tersebut akhirnya termakbul apabila tiga muka baharu berusia bawah 30 tahun diketengahkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Mereka ialah Young Syefura Othman atau Rara, Syed Saddiq Abdul Rahman dan P Parabakaran.
Lebih menarik, Young Syefura yang bertanding atas tiket DAP menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari manakala Syed Saddiq yang bertanding atas tiket Bersatu menang di Parlimen Muar dan Prabakaran pula yang bertanding atas tiket Bebas menang di Parlimen Batu.
Pada ketika itu, Rara mencecah usia 29 tahun manakala Syed Saddiq baru berusia 26 tahun dan Prabakaran pula berusia 22 tahun.
Kemenangan mereka itu menyebabkan lebih banyak parti politik mengambil langkah berani mengetengahkan ramai calon muda dalam pilihan raya yang didadakan di negara ini.
Perkara tersebut jelas terbukti sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November 2021 yang mana seramai sembilan calon muda dipertaruhkan bagi merebut kerusi dipertandingkan.
Sementara di Sarawak pula, PRN ke-12 yang berlangsung pada Disember tahun lalu menyaksikan lebih kurang 45 orang golongan muda diangkat sebagai calon.
Terkini, PRN Johor yang bakal berlangsung pada 12 Mac ini pula menyaksikan seramai lapan calon muda akan merebut kerusi yang dipertandingkan di DUN negeri itu.
Mereka terdiri daripada Muhammad Airel Zabridin dan Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal dari parti Pejuang; Fikri Musa, Amira Aisya Abd Aziz dan Rashid Abu Bakar (Muda), Omar Mokhtar A Manap (PKR), Kelly Chye Pei Yee (BN) dan Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (PBM).
Kesemua calon tersebut berusia tidak lebih daripada 30 tahun dan mempunyai profil pendidikan yang memberangsangkan.
Terdahulu, Persatuan Pengundi Muda (Undi18) menyarankan agar parti politik di Malaysia meletakkan lebih ramai calon muda dalam PRN Johor.
Ini kerana terdapat hampir 750,000 pengundi baharu, termasuk 175,000 yang berusia antara 18 hingga 20 tahun, kata persatuan tersebut.
“Parti politik yang bertanding disaran untuk menampilkan muka calon yang baharu, khususnya dalam kalangan anak muda kerana penyertaan golongan muda penting dalam penggubalan dasar kerajaan negeri memandangkan golongan ini memegang peratusan besar sebagai pengundi dalam pilihan raya kali ini,” tambah persatuan itu lagi.
Pada 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) diluluskan agar umur mengundi dan kelayakan menjadi wakil rakyat di Malaysia diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun.
Pindaan tersebut telah memperoleh sokongan 211 daripada 222 Ahli Parlimen selepas dua kali undian dilakukan.
Penurunan umur itu juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun.