Sila log masuk terlebih dahulu.

‘Betulkan yang biasa dan membiasakan yang betul’

10 Mac 2022 07:13am | Masa membaca: 4 minit
AMBRIN
AMBRIN
A
A
A

[MUKADIMAH] Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menegaskan selama 11 tahun memegang jawatan itu sejak dari pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, ia memberi satu signifikan kerana tugas audit ini adalah tugas yang mulia, membetulkan keadaan yang tidak betul.

Menurutnya, Jabatan Audit Negara dipandang sebagai satu badan yang bebas untuk memeriksa, melihat, menyemak fakta-fakta dan kemudian memberi pandangan.

Ambrin berkata, tiada usaha ‘menutup mulut’ beliau daripada mendedahkan kepincangan dalam kerajaan menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahunan kerana laporan audit itu sendiri melalui dua proses iaitu menerusi perundingan dan pengumpulan maklumat sekali gus menjadikan ia satu laporan yang seimbang.

Ikuti wawancara Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar bersama Ambrin yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam yang turut disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

'Laporan audit itu mengandungi banyak perkara sebagai titik pembelajaran. Jadi timbul isu kalau mereka tak baca macam mana nak belajar'
'Laporan audit itu mengandungi banyak perkara sebagai titik pembelajaran. Jadi timbul isu kalau mereka tak baca macam mana nak belajar'

JOHAN: Tan Sri berkhidmat lebih 46 tahun sebagai penjawat awam dan dalam tempoh itu Tan Sri memegang jawatan selama 11 tahun sebagai Ketua Audit Negara. Dengan reputasi atas nama Tan Sri Ambrin Buang, sekiranya mewujudkan sebuah firma audit mungkin akan membuat wang dengan mudah. Mengapa Tan Sri memilih untuk terus berkhidmat dalam perkhidmatan awam?

AMBRIN: Selepas berkhidmat begitu lama, umur saya sudah hampir 70 tahun. Jadi mungkin sudah terlambat untuk masuk ke dalam bidang perniagaan atau korporat kerana saya juga tiada ada pengalaman yang banyak. Saya juga dapat tawaran untuk duduk dalam satu dua lembaga pengarah. Misalnya, saya dilantik sebagai Pengerusi Bank Islam Holdings selama tiga tahun. Tapi kalau untuk keluarkan duit, ceburi bisnes, saya rasa dah tak larat.

Tan Sri mula berkhidmat pada 18 Februari 1971 sebagai pegawai pelatih dengan gaji RM501 pada ketika itu. Apa Tan Sri fikirkan tentang laluan kerjaya Tan Sri untuk akan datang?

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Pada masa itu saya amat gembira sebab sebaik sahaja saya habis duduki peperiksaan di universiti, saya ditawarkan kerja dengan kerajaan. Orang kata tak payah pergi temu duga dan ditawarkan kerja sebagai pelatih. Kemudian diserap sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Jadi dari situ saya menyesuaikan diri dan pada masa itu mungkin terlalu awal untuk memikirkan tentang laluan kerjaya.

Kemudian saya dapat kerja dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), satu kementerian yang penting dalam konteks pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pada ketika itu. Jadi pada masa itu saya tidak terfikir tentang karier. Cuma saya kata syukur alhamdulillah saya diterima sebagai seorang PTD.

Merujuk kepada buku yang sangat menarik bertajuk Dari AS ke AG – Kenangan Seorang Pegawai PTD, dalam buku ini Tan Sri ada menyebut satu peristiwa iaitu Tan Sri sepatutnya mendapat tempat kerja di Selangor pada ketika itu tetapi kekosongan itu telah diisi oleh orang yang mempunyai hubungan. Ertinya Tan Sri terdedah kepada perkara yang pada hari ini disebut ‘nepotisme’. Apa pengajaran daripada peristiwa itu?

Pada masa itu tidak timbul (nepotisme) dan kita pun tak tahu sebab kemudian (ia ditimbulkan). Tapi orang kata, karier saya dah ditentukan dengan MITI. Saya bertahan selama 11 tahun dengan MITI dalam pelbagai kapasiti.

Tan Sri terlibat dalam banyak kementerian, malah pernah menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Tan Sri pernah berkhidmat dengan MITI, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ketua Audit Negara. Ertinya banyak pendedahan yang diperoleh Tan Sri dalam pelbagai bidang yang berbeza. Jadi adakah posisi tertentu yang Tan Sri rasa cukup puas, bahagia dan istimewa?

Khidmat saya dengan Jabatan Audit Negara selama 11 tahun memberi satu signifikan kerana tugas audit ini adalah tugas yang mulia, membetulkan keadaan yang tak betul. Masa mula-mula saya jadi Ketua Audit Negara, saya perkenalkan kepada orang tugas saya membantu kementerian dan jabatan membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul. Yang biasa itu adalah kelemahan-kelemahan. Jadi berdasarkan perkara itu sebenarnya soal audit ini ramai yang tidak tahu bahawa ia adalah satu institusi dalam Perlembagaan Malaysia.

Ambrin berkata, tugas audit ini adalah tugas yang mulia, membetulkan keadaan yang tidak betul.
Ambrin berkata, tugas audit ini adalah tugas yang mulia, membetulkan keadaan yang tidak betul.

Ia dipandang sebagai satu badan yang bebas untuk memeriksa, melihat, menyemak fakta-fakta dan kemudian memberi pandangan. Tetapi di sebalik itu, kita harapkan dapatan-dapatan audit disusuli dengan tindakan pembetulan. Mana-mana kes yang melibatkan jenayah macam rasuah dan penipuan, kita harapkan ada tindakan punitif.

Pada saya, tidak ada guna kita buat banyak-banyak audit tetapi lepas itu simpan dan tak ada apa-apa tindakan. Ia juga bermusim sebab laporan audit ini orang ramai tahu hanya bila dibentangkan di Parlimen dan lepas itu dapat liputan media. Kemudian ia senyap.

Tan Sri tadi ada sebut pendedahan yang dibuat Jabatan Audit Negara tahun demi tahun tetapi tetap berulang perkara itu. Apa cara untuk atasi masalah ini?

Kalau kita tahu ada kelemahan berlaku di satu-satu jabatan, kalau kita tidak ada dorongan untuk tahu apa masalahnya kita tak akan buat apa-apa. Laporan audit itu mengandungi banyak perkara sebagai titik pembelajaran. Jadi timbul isu kalau mereka tak baca macam mana nak belajar. Timbul juga isu siapa yang nak belajar? Cuma bila media paparkan beberapa kes yang besar, berprofil tinggi dan laporan itu dibentangkan di Parlimen barulah sibuk.

Tan Sri menjadi Ketua Audit Negara pada zaman Tun Abdullah dan kemudian diteruskan pada zaman Datuk Seri Najib dan nampaknya tahun demi tahun Tan Sri juga menimbulkan masalah kepada pimpinan politik dan juga kerajaan akibat pendedahan yang Tan Sri buat. Adakah wujud usaha untuk menutup mulut Tan Sri daripada highlight benda-benda seperti itu?

Tidak ada, sebab dalam sudut proses audit itu sendiri mempunyai dua cara proses. Bukan kita buat sendiri-sendiri. Kita buat perundingan, kita tanya kita kumpulkan (maklumat). Jadi pihak audit itu beri peluang untuk beri penjelasan. Kalau penjelasan itu munasabah, kita terima. Jadi objektif laporan audit itu adalah laporan yang seimbang. Satu laporan yang seimbang tetapi malangnya bila media khususnya, maaf cakap kadang-kadang (hanya) tumpu kepada benda yang tidak elok. Benda yang elok dia tidak fokuskan.

Jadi, orang dapat persepsi laporan audit ini banyak kes tetapi kalau orang itu betul-betul baca laporan audit yang kita boleh dapat dalam talian pun sekarang, banyak yang baik sebenarnya. Jadi, itu persepsi yang timbul kerana mereka tidak baca laporan itu secara sepenuhnya.

Pada zaman Tan Sri menjadi Ketua Audit Negara, berlaku beberapa kes yang besar atau skandal besar antaranya projek Zon Bebas Port Klang (PKFZ), National Feedlot Corporation (NFC) dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Apa pengajaran daripada semua ini Tan Sri?

Pengajaran kepada saya, nombor satu di atas kertas semuanya nampak cantik tetapi kadang-kadang struktur-struktur yang ada itu tidak berfungsi. Tiada semak dan imbang. Jadi, dalam kes-kes macam ini kita tengok banyak prosedur operasi standard (SOP) kerajaan yang kerajaan sendiri tidak ikut. Jadi benda itu yang kita fokuskan.

Macam 1MDB misalnya, kalau Tan Sri baca laporan akhir yang sekarang ini sudah tidak ada (kerana) sudah dibawa ke Akta Rahsia Rasmi (OSA) kita sudah menekankan beban yang besar (iaitu) berapa bilion. Kita tekankan kelemahan dari segi governans. Itu ada, tapi susulan itu terpulang kepada pihak penguatkuasaan sebab mungkin ada elemen yang tidak sihat dan sebagainya. Itu bukan kerja audit. Jadi, kita ada memikirkan dan kita jangka ada untuk dilakukan siasatan lebih lanjut.

Salah satu daripada skandal yang paling besar membabitkan negara, malah dianggap skandal kewangan terbesar di dunia ialah 1MDB. Apakah Tan Sri berasa bertanggungjawab sebahagiannya daripada apa yang berlaku sewaktu di bawah tanggungjawab Tan Sri?

Sebenarnya kita terlibat sudah lama dan penglibatan kita berdasarkan arahan atau pun permintaan misalnya Kementerian Kewangan. Kita sudah buat laporan tetapi apa yang berlaku selepas itu kita tidak tahu. Jadi dalam kes ini seperti yang saya kata tadi kita tekankan kelemahan dan terpulang kepada agensi penguatkuasaan untuk buat susulan sebab benda ini kalau hendak bawa ke mahkamah mesti ada bukti dan sebagainya, itu maksud saya.

Apakah Tan Sri berasakan bahawa skandal kewangan seperti ini ada kesan atau implikasi, maksudnya cara kita mengendalikan kewangan kita dan dari situ kita sepatutnya belajar tetapi apakah Tan Sri rasa apa yang kita patut lakukan untuk perbaiki keadaan sekarang?

Saya ingat salah satu faktor yang signifikan kena pastikan ada elemen semak dan imbang, tidak ada dominasi apabila buat keputusan. Kalau syarikat itu anak syarikat kerajaan dan tugas pegawai kerajaan untuk memastikan semuanya teratur mengikut tadbir urus korporat yang baik.

Kedua, seperti yang saya kata tadi, kerajaan banyak SOP tetapi bila kita buat audit, banyak yang tidak ikut. Mungkin ada arahan atau tidak tahu buat kerja atau terlupa. Jadi, ini yang menimbulkan masalah. Takkanlah dalam laporan audit kita hendak tutup benda ini. Kita katakan, inilah apa yang berlaku, kita ada buktinya.

Apakah Tan Sri yakini penjawat awam sekarang ini memiliki integriti tadbir urus dan amalan baik?

Cabaran yang dihadapi dalam keadaan sekarang ini kita faham dengan pandemik dan sebagainya, dia kena laksanakan program atau dasar-dasar kerajaan. Jadi kita harapkan mereka buat dengan penuh integriti, dengan keikhlasan dan saya percaya ramai. Masalah jumlah yang kecil ini, bila dia buat benda yang tidak betul, kesannya agak besar. Jadi, kalau tiap-tiap tahun banyak ketirisan berlaku, kerajaan tiada duit hendak buat benda-benda lain untuk faedah rakyat dan ini akan membuatkan rakyat marah. (Sebagai contoh) saya (rakyat) minta projek hendak besarkan jalan kampung sudah 10 tahun dan sudah dua kali pilihan raya masih tidak dapat.

Itu satu, yang kedua soal OPEX (Perbelanjaan Mengurus) dengan CAPEX (Perbelanjaan Pembangunan), dulu-dulu OPEX ini dibiayai oleh hasil tapi akhir-akhir ini saya difahamkan sudah 'sipi-sipi', maknanya kalau satu hari nanti, gaji kakitangan kerajaan kena berhutang, kita kena bayar faedah. Kalau projek pembangunan itu fahamlah, dia ambil pinjaman dan bayar. Jadi kita kena ingat kalau kita hutang, kita kena bayar prinsipal, kita kena bayar faedah. Jadi, kalau kerajaan yang jamin, kerajaan yang kena bayar. Itu fakta.

Ambrin (kanan) ketika ditemu bual oleh Johan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. Foto: Asril Aswandi Shukor
Ambrin (kanan) ketika ditemu bual oleh Johan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. Foto: Asril Aswandi Shukor

Saya tahu ramai orang seperti Tan Sri dalam perkhidmatan awam, bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan dan sebagainya dan Tan Sri dianggap sebagai sangat tegas dari segi integriti dan macam mana kita hendak lahirkan lebih ramai Amrin Buang dalam sistem perkhidmatan awam?

Itu sukar untuk saya hendak komen, cuma saya ada prinsip tertentu yang saya pegang. Kita sebagai pegawai kerajaan yang paling senang buat kerja bersih, cekap, amanah (BCA), sentiasa ingat perkara itu. Malah perkara itu masih saya pegang sehingga kini. Masa dasar itu diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad (menjadi Perdana Menteri) dulu, saya masih di INTAN kami antara yang diberikan taklimat dalam perkara ini.

Lagi satu kepimpinan melalui tauladan, kalau kita hendak menjadi ketua yang efektif, disegani kita kena tunjuk contoh yang baik. Misalnya dari segi kita buat kerja ikut masa, mesra dengan orang bawah, orang atas dan hubungan adalah sangat penting.

Saya, banyak dapat faedah daripada segi hubungan, bila kita kenal orang, senang lah untuk kita komunikasi tetapi kalau kita duduk di pejabat dan tidak mahu mempunyai hubungan yang baik dengan orang, tidak mahu jumpa kontraktor dan sebagainya, jadi kita tidak tahu apa yang berlaku di luar dan hanya bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang diberikan oleh pegawai yang mungkin terlibat dalam skandal (tiada integriti) dan satu lagi perkara yang saya ingin sebutkan adalah kes-kes rasuah ini berlaku, tidak boleh berlaku dalam perkhidmatan awam tanpa penglibatan pegawai kerajaan.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Azhar, Hasnon calon Speaker Dewan Rakyat untuk PN Artikel percuma
  2. Kembalikan kebebasan Parlimen jika terpilih Speaker: Johari
  3. Mengurus sumber air secara lestari
  4. 'Rompakan terhormat'
  5. PRN dalam masa terdekat beri kelebihan kepada PN