Sila log masuk terlebih dahulu.

[MULTIMEDIA] Bangsa Johor pilih BN

Beri mandat kepada parti berkenaan untuk tadbir negeri itu bagi tempoh lima tahun

[MULTIMEDIA] MAJORITI bangsa Johor akhirnya memilih Barisan Nasional (BN) sebagai parti untuk mentadbir negeri itu dalam tempoh lima tahun.

Tahniah diucapkan kepada parti berkenaan kerana sebahagian besar calon-calon yang diketengahkan berjaya meraih keyakinan bangsa Johor.

Dengan ini, BN dipertanggungjawabkan untuk mentadbir negeri itu, sekali gus menjaga dan menjamin kebajikan bangsa Johor supaya tiada yang tercicir.

Kejayaan diraih itu juga menunjukkan Johor kini mempunyai sebuah kerajaan negeri yang stabil dengan majoriti kerusi pemerintah yang cukup mantap.

Justeru, calon yang memenangi PRN Johor itu hendaklah menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah, jujur dan adil agar bangsa Johor dapat menikmati kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Semoga Johor terus menjadi sebuah negeri yang mampan, teguh dan berkembang pesat dari segi politik, sosial dan ekonomi.

Dalam PRN Johor pada Sabtu, BN berjaya meraih 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Sementara kerusi yang gagal ditawan oleh parti itu dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) iaitu sebanyak 11, Perikatan Nasional (PN) meraih tiga kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing memenangi satu kerusi.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Pada 9 Februari lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRN Johor berlangsung pada 12 Mac 2022.

PRN tersebut diadakan selepas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat memaklumkan pembubaran DUN negeri itu kepada SPR pada 23 Januari 2022.

Pembubaran tersebut diperkenankan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari 2022 bagi memberi laluan kepada PRN di negeri itu.

Terdahulu, Johor sedia mempertimbangkan PRN susulan kedudukan kerajaan negeri sedia ada hanya mempunyai kelebihan tipis dengan satu majoriti kerusi.

Perkara tersebut disuarakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember 2021.