Sila log masuk terlebih dahulu.

Desakan segera adakan PRU15

14 Mac 2022 09:12am | Masa membaca: 4 minit
Pemimpin UMNO dan BN meraikan kejayaan mereka meraih kemenangan besar pada PRN Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri di Johor Bahru pada Sabtu.
Pemimpin UMNO dan BN meraikan kejayaan mereka meraih kemenangan besar pada PRN Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri di Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah selesai dan dengan laungan ‘bubar’ ‘bubar’ ‘bubar’ mengiringi kemasukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke dalam dewan utama Ibu Pejabat UMNO Johor Sabtu lalu.

Kini tumpuan seluruh negara terarah kepada kebarangkalian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pula akan diadakan dalam tempoh terdekat. Tarikh yang disebut-sebut ialah Julai ini.

Dengan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Johor dan Melaka yang membolehkan mereka membentuk kerajaan tanpa perlu berkongsi kuasa dengan mana-mana parti, tidak syak lagi langkah seterusnya adalah untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin.

Dalam situasi ini, UMNO tidak akan melihat soal kesihatan dan ekonomi pascapandemik Covid-19 sebagai satu keutamaan.

Untuk apa itu semua jika misi PRU15 itulah keutamaan UMNO kerana momentum yang mereka cipta dalam dua PRN memihak kepada mereka dalam kadar yang sangat memberangsangkan.

Sudah pasti Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada 16 Mac ini akan menjadi platform mendesak pucuk pimpinan menyegerakan pilihan raya.

Bagaimanapun, sebelum itu dapat direalisasikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempunyai kuasa mutlak membubarkan Parlimen atas perkenan Yang di-Pertuan Agong perlu membawa perkara tersebut ke meja rundingan bersama rakan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak bagi mendapatkan persetujuan.

Begitu juga dalam soal Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pembangkang.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Melainkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tewas teruk di Johor dan Melaka dan mengambil kira prestasi semasa, mereka tidak akan bersetuju dengan cadangan pembubaran tersebut dengan segera.

Dalam pada itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas keputusan PRN Johor memberi peringatan kepada Ismail bahawa apa jua keputusan yang bakal diambil, PN perlu dirujuk dan dibawa berbincang.

Jelasnya, Perdana Menteri perlu menghormati beberapa perkara yang dipersetujui antara PN dan BN termasuk soal pembubaran Parlimen.

Biarpun hanya memenangi tiga daripada keseluruhan kerusi yang ditandingi, prestasi PN adalah jauh lebih baik berbanding PKR dan Amanah kerana kini dari segi undi popular mereka dilihat sebagai alternatif kepada pengundi di kawasan majoriti Melayu selain UMNO.

Bagi Pas pula, fokus mereka hanya untuk mempertahankan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Sekiranya memenangi kerusi-kerusi di beberapa tempat di negeri lain ia merupakan satu bonus.

Beberapa pemimpin UMNO yang dihubungi menyatakan PRU-15 perlu disegerakan kerana momentum kemenangan dalam beberapa siri PRN berpihak kepada BN.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dalam soal tersebut, pucuk pimpinan parti perlu berunding sebaik mungkin bagi mengekalkan momentum kemenangan itu.

“Pandangan kita adalah, deretan kemenangan di Melaka, kemudian diikuti dengan Sarawak dan Johor merupakan momentum besar yang perlu dikekalkan.

“Jadi, saya kira pucuk pimpinan parti perlu betul-betul berunding untuk kekalkan momentum kemenangan itu,” ujarnya.


Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Kit Siang, Wan Azizah mungkin berehat?
  2. Syarat Puteri Gunung Ledang
  3. Bayangan laluan sukar buat PN
  4. Kenapa bertindak luar batas?
  5. Siapa dalang di sebalik letupan paip gas Nord Stream?