Sila log masuk terlebih dahulu.

Nurul Izzah kalis dugaan politik

23 April 2022 07:00am | Masa membaca: 4 minit
Nurul Izzah masih belum mengalah dalam dunia politik
Nurul Izzah masih belum mengalah dalam dunia politik
A
A
A

MENEMUI susuk tubuh seorang pemimpin wanita muda bernama Nurul Izzah Anwar, penulis tidak menyangka Ahli Parlimen Permatang Pauh itu begitu ramah dan mesra sewaktu menyambut kedatangan kami untuk menemuramah beliau di pejabatnya minggu lalu.

NURUL IZZAH. FOTO: ROSLI TALIB
NURUL IZZAH. FOTO: ROSLI TALIB

Merupakan anak sulung kepada dua tokoh besar politik tanah air iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, umum mengetahui Puteri Reformasi itu sudah berkecimpung dalam bidang politik dan menggalas bebanan hidup berdepan masyarakat sejak berusia 18 tahun.

Sentiasa berketrampilan anggun dengan lebih selesa menyarung busana baju kurung dan menggayakan tudung bawal, Nurul Izzah bersama ibunya yang lebih dikenali Kak Wan terpaksa memberanikan diri terjun dalam kancah politik negara bagi mendepani pelbagai tuduhan demi tuduhan membabitkan bapa tercinta yang dipenjarakan pada tahun 1999.

Sudah pasti pengalaman perit Nurul Izzah menyaksikan bapanya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dipenjarakan sebanyak dua kali - kali pertama pada 14 April 1999 dan kedua bertarikh 7 Mac 2014 - selama 10 tahun, mematangkan beliau untuk menyedari liku-liku cabaran untuk mereformasikan politik tanah air adalah sangat besar.

Di sebalik pelbagai liku dan cabaran dihadapi Nurul Izzah dan ibunya sepanjang tempoh Anwar dipenjarakan, kedua-dua figura penting ini akhirnya berjaya mendukung PKR ke satu tahap tertinggi sehingga membolehkan parti itu dan PH menang PRU14.
Di sebalik pelbagai liku dan cabaran dihadapi Nurul Izzah dan ibunya sepanjang tempoh Anwar dipenjarakan, kedua-dua figura penting ini akhirnya berjaya mendukung PKR ke satu tahap tertinggi sehingga membolehkan parti itu dan PH menang PRU14.

Menyertai PKR bagi membantu ibunya sejurus menamatkan pengajian tinggi di Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat, aura kepimpinan politik diwarisi Nurul Izzah daripada bapanya terserlah apabila beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen pertama pada tahun 2008 di Lembah Pantai dengan menewaskan calon heavyweight UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Dan semenjak itu, Nurul Izzah tidak lagi menoleh ke belakang.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Menjadi anak kepada pemimpin politik tersohor negara mahupun di pentas dunia, Nurul Izzah tidak terlepas berdepan kritikan mahupun tohmahan dalam usaha menjatuhkan semangat juang ibu kepada dua orang anak ini.

Ini termasuklah tohmahan sebaik beliau kembali aktif berpolitik, mengatakan hubungannya bersama Anwar renggang namun Nurul Izzah menegaskan, selalu berjumpa bapanya dalam majlis-majlis penting termasuk berbuka puasa.

Nurul Izzah mengesahkan hubungan peribadi dan politik dengan Anwar kekal utuh dengan bapanya masih menjadi sumber inspirasi politik dan kajian beliau.
Nurul Izzah mengesahkan hubungan peribadi dan politik dengan Anwar kekal utuh dengan bapanya masih menjadi sumber inspirasi politik dan kajian beliau.

Mengakui Anwar masih lagi merupakan inspirasi utama kepada program dan kajian beliau, bekas Naib Presiden PKR itu mengakui bapanya banyak mengajar tentang soal idealisme dan kepentingan usaha mengurangkan jurang miskin dan kaya.

Bagaimanapun, Nurul Izzah mengakui beliau mempunyai pandangan sedikit berbeza dari sudut politik kerana bersikap 'tidak mahu menang sorak, kampung tergadai'.

"Dalam proses pemilihan parti, kalau sudah ada ramai pemimpin untuk bertanding (jawatan), itu petanda bagus. Tetapi saya sangat bimbang tentang pilihan raya umum (PRU).

"Saya merupakan seorang pragmatik, tetapi kadangkala turut bersikap pesimis. Kena ingat, Anwar dipenjara lama. Saya sendiri sudah biasa kena pergi lokap, kena pergi penjara. Bahkan sudah pernah masuk dan bermalam di lokap.

"Jadi itu memberi peringatan kepada saya untuk sentiasa berjaga-jaga walaupun (parti) sedang berada dalam keadaan baik. Itu karektor saya," ujar Nurul Izzah kepada Sinar Premium.

MISI MENANGI HATI RAKYAT

Menyedari semua rencana transformasi dan reformasi pentadbiran negara memerlukan keseriusan pemimpin politik, ibu kepada dua cahaya mata itu bertekad melancarkan sebuah kempen 'Ayuhlah Malaysia' bagi memenangi semula hati rakyat khususnya pengundi atas pagar, bersama dengan seorang lagi pemimpin popular PKR, Rafizi Ramli.

NURUL IZZAH. FOTO: ROSLI TALIB
NURUL IZZAH. FOTO: ROSLI TALIB

Baginya, apabila pemimpin politik bersedia mendengar denyut nadi rakyat dengan lebih ikhlas, tawaduk dan rendah diri, beliau yakin pengalaman itu akan dapat mendekatkan jurang hubungan di antara ahli politik dan golongan marhaen.

Hal ini kerana beliau berpandangan naratif politik yang PKR dan Pakatan Harapan (PH) cuba kemukakan kepada rakyat selama ini tidak sampai, sekali gus mengundang persepsi bahawa pemimpin pembangkang juga lebih mementingkan kuasa berbanding menjuarai isu rakyat.

Justeru, Nurul Izzah bersama rakan-rakan pimpinan lain merancang untuk mengadakan jelajah kempen 'Ayuhlah Malaysia' di seluruh negara kecuali Sarawak, dengan tema-tema utama untuk mendengar denyut nadi rakyat.

Nurul Izzah dan Rafizi kini giat melaksanakan kempen Ayuhlah Malaysia bagi membolehkan PKR dan PH memenangi semula hati pengundi atas pagar menjelang PRU15.
Nurul Izzah dan Rafizi kini giat melaksanakan kempen Ayuhlah Malaysia bagi membolehkan PKR dan PH memenangi semula hati pengundi atas pagar menjelang PRU15.

Antara intipati yang menjadi sasaran untuk disampaikan adalah mereka bersedia menjadi pembangkang bermaruah memandangkan cabaran mendepani PRU15 sangat sukar.

"Melalui kempen ini, kita akan sebut tentang sekuriti dan kedaulatan makanan, tenaga dan sumber boleh diperbaharui, isu pengupayaan dan pemerkasaan TVET bagi generasi muda, perumahan dan pemilikan mampan, pendemokrasian pendidikan dan pengupayaan wanita.

"Paling penting kita akan sampaikan mesej, pilih kami untuk menjaga kepentingan rakyat meskipun sebagai pembangkang. Saya rasa langkah itu tiada salah. Bila kerajaan takut dengan rakyat, barulah mereka akan penuhi kemahuan rakyat.

"Bila mereka rasa mereka selesa, mereka tidak akan melakukan apa-apa yang menggugat kedudukan mereka," tegasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Perkara paling penting adalah pihaknya mahu mewujudkan Malaysia yang kalis cabaran masa hadapan dan kalis PRU dengan pelaksanaan kempen Ayuhlah Malaysia yang giat direncana, haruslah melebihi atau melepasi garis waktu pilihan raya.

"Saya perlu lakukan yang terbaik supaya apabila anak-anak saya membesar kelak, mereka memiliki ekosistem kehidupan jauh lebih bermanfaat berbanding sekarang.

"Untuk membina naratif politik yang memacu wawasan negara, mana boleh kempen itu hanya dilaksanakan dalam tempoh singkat. Itu semangat kita hendak lahirkan bersama sukarelawan kempen Ayuhlah Malaysia. Takkanlah PRU sahaja penentu usaha dan masa hadapan kita?" tegasnya.

NILAI SECARA ADIL

Dengan isu permaslahatan rakyat terutama sewaktu negara mendepani tri-krisis politik, ekonomi dan kesihatan susulan pandemik Covid-19 yang lalu tidak pernah lekang dibicarakan dari bibir wanita besi blok pembangkang berkenaan, jelitawan berusia 42 tahun itu mengakui bukan sahaja rakyat menjadi trauma dengan episod pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun selepas PRU14, bahkan ahli-ahli politik seperti beliau sendiri turut muak dan mual dengan apa berlaku.

"Bila kita masuk gelanggang politik, kita hendak jadi wakil suara kepada rakyat bagi mengetengahkan isu dan jalan-jalan penyelesaian masalah ekonomi, pekerjaan dan pengangguran, kontrak tidak adil serta sewa premis dan kediaman kepada golongan B40 dan M40.

"Tetapi apabila perkara sedemikian tidak lagi menjadi keutamaan, termasuklah penyediaan khidmat insurans kepada pekerja sektor tidak formal, maka lagi ramai rasa muak dan mual, termasuk juga ahli politik sendiri.

"Bagi kami yang masih setia dengan perjuangan, kami seolah-olah bukan sahaja terkesan, tetapi berusaha mencari rasional mengapa berlakunya krisis tidak berkesudahan itu," tegasnya.

Berikutan itu, beliau berpandangan langkah terpenting untuk mengelakkan siri episod pertukaran kerajaan berulang adalah membendung budaya politik ekstrem berterusan melalui pengenalan dasar mana-mana kerajaan dipilih menerusi pilihan raya harus diberikan syarat memenuhi satu penggal pentadbiran.

Langkah itu baginya signifikan untuk membolehkan rakyat menilai prestasi kerajaan dipimpin sesebuah parti secara keseluruhan dan bukan bersandarkan tempoh terhad susulan kuasa kerajaan itu diambil alih di pertengahan jalan.

"Saya akui PH tidak sempurna dan sudah tentu ada cacat cela. Tetapi kalau kita hendak menilai secara adil, kena lihat perbandingan lima tahun kerajaan PH dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Lebih malang, banyak sepatutnya kerajaan BN boleh lakukan untuk rakyat susulan parti itu memerintah negara hampir enam dekad, tetapi perkara itu tidak berlaku.

"Yang bermasalah di Malaysia sewaktu krisis pandemik Covid-19 adalah kita bertukar tiga Perdana Menteri dalam tempoh itu. Jadi memang kita harapkan adalah supaya tidak berlaku lagi budaya politik ekstrem. Ini kerana senario inilah yang merompak dan mencuri perhatian pemimpin politik daripada proses pentadbiran negara," tegasnya.

KONGSI KISAH DENGAN ANAK

Dalam pertemuan yang berlangsung selama satu jam 10 minit itu, tidak lengkap hari wawancara kami andai tidak bertanyakan tentang dua permata hatinya, Raja Nur Safiyah dan Raja Harith, di kala Nurul Izzah berdepan tugas yang berat sepanjang bergelar ahli politik.

Nurul Izzah sentiasa menjadi buku-buku ilmiah sebagai sahabat sejati beliau setiap kali memiliki masa terluang. FOTO: ROSLI TALIB
Nurul Izzah sentiasa menjadi buku-buku ilmiah sebagai sahabat sejati beliau setiap kali memiliki masa terluang. FOTO: ROSLI TALIB

Tidak lokek berkongsi, secara asasnya Nurul Izzah menjelaskan paling penting sebagai seorang ibu adalah beliau dapat memastikan proses keberadaan bersama mereka tidak pernah kurang di sebalik kesibukan waktu sebagai seorang wakil rakyat.

Beliau sentiasa memastikan tumpuan dan perhatian penuh dapat diberikan kepada dua anaknya yang kini berusia 14 dan 12 tahun itu, setiap kali meluangkan masa bersama mereka.

"Sama ada mereka memahami kesibukan tugasan saya sebagai seorang ahli politik, saya fikir di sini pentingnya perkongsian kisah kehidupan seharian bersama mereka.

"Inisiatif perkongsian kisah hidup sesama ahli keluarga amat penting kalau kita hendak mereka memahami bidang tugas kita. Kita kena berkongsi kisah kehidupan masing-masing dengan cara yang terbaik. Mungkin mereka tidak faham 100 peratus.

"Saya rasa penerimaan baik anak-anak terhadap bidang pekerjaan saya amat disyukuri. Paling penting kena cari satu titik pertemuan," katanya.

Dan disebabkan itu juga Nurul Izzah yang lantang memperjuangkan inisiatif memperkasakan hak golongan wanita turut berharap isu berkenaan termasuk penyediaan ekosistem selamat buat anak-anak, harus menjadi isu arus perdana yang diangkat sebagai salah satu isu kanan negara.

Meskipun menyedari langkah itu memerlukan usaha dan masa yang panjang, beliau turut menyeru inisiatif itu tidak sekadar tertumpu kepada pemerkasaan peranan wanita di peringkat tertinggi, sebaliknya harus meliputi semua peringkat termasuk pekerja wanita dalam sektor tidak formal.

"Ini kerana dalam kajian indeks kemiskinan pelbagai dimensi tahun 2018, kita dapati dalam kalangan keluarga B40, yang paling terkesan secara negatif adalah ketua isi rumah wanita terdiri ibu tunggal. Jadi, anak-anak akan menyerap trauma kemiskinan secara inter-generasi.

"Anak sulung dikenal pasti jauh lebih elok dari segi potensi masa hadapan berbanding anak keempat. Jadi, bila kita membicarakan isu belanjawan gender, ia bukan konsep abstrak. Ia akan memberi pulangan apabila kita rancang belanjawan negara mengikut keperluan golongan sasaran dan jantina.

"Paling penting, jangan hanya fikir soal pemerkasaan wanita di peringkat tertinggi sahaja. Tetapi perlu fikir masa hadapan wanita di semua peringkat, semua harus kita suarakan perlindungan dan kebajikan kerana ia akhirnya memberi limpahan kepada anak-anak dan keluarga mereka sendiri. Sifatnya adalah simbiosis," luah Nurul Izzah mengakhiri bicara.

Kru wartawan dan penyiaran Sinar Premium berkesempatan bergambar bersama Nurul Izzah di pejabatnya di Kuala Lumpur pada Rabu. FOTO: ROSLI TALIB
Kru wartawan dan penyiaran Sinar Premium berkesempatan bergambar bersama Nurul Izzah di pejabatnya di Kuala Lumpur pada Rabu. FOTO: ROSLI TALIB

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Pembersihan UMNO dibimbangi jadi racun toksik
  2. Jangan biar rakyat sengsara
  3. Noh akui antara 4 MKT tidak bangun sokong usul PAU
  4. Syor baucar untuk orang kurang mampu
  5. Bank digesa bayar ganti rugi mangsa tipu TH