BARU-BARU ini, jalan raya di ibu kota cukup sesak sekali, meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat. Kini, ramai yang kembali mengimarahkan masjid dan surau.
Ramai juga yang sibuk dengan persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma dan pastinya teruja untuk pulang ke kampung selepas hampir dua tahun tidak bertemu dengan keluarga tersayang akibat pandemik Covid-19.
Kegembiraan ini adalah berkat kejayaan pelbagai usaha dan pengorbanan ahli Keluarga Malaysia, terutamanya mereka di barisan hadapan, serta pelaksanaan sistematik Pelan Pemulihan Negara dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Kes Covid-19 harian semasa juga telah menurun kepada kurang dari 4,000 sehari, berbanding lebih dari 30,000 sehari pada suatu ketika dahulu. Kita kini berjaya beranjak ke fasa peralihan ke endemik, di mana hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan, dan sempadan negara dibuka sepenuhnya.
Baru-baru ini juga, Kementerian Kesihatan telah mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta protokol Covid-19 baharu yang terus dilonggarkan bermula 1 Mei nanti.
Cabaran besar menangani pandemik Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021, serta musibah banjir yang luar biasa tahun lepas pastinya akan terpahat di ingatan Keluarga Malaysia.
Syukur Alhamdulillah, kerajaan bertindak responsif melalui lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi, serta Belanjawan 2021 dan Bajet 2022 yang terus mengembang.
Buat pertama kalinya, kita juga telah melaksanakan pakej bantuan banjir bagi membantu Keluarga Malaysia yang terkesan untuk membina semula kehidupan masing-masing.
Hasilnya, ekonomi negara berkembang 3.1 peratus pada tahun 2021, berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020. Malah semenjak suku keempat 2021 sehinggalah kini, pelbagai indikator ekonomi jelas menggambarkan tanda-tanda pemulihan.
Sebagai contoh, jumlah perdagangan luar negara telah mencecah lebih dari RM2 trilion, pelaburan langsung asing bersih berjaya merekodkan nilai hampir RM55 bilion dan kadar pengangguran terus berkurangan kepada 4.1 peratus pada Februari 2022 berikutan pelaksanaan subsidi upah bernilai lebih RM20 bilion serta hasil dari program JanaKerja, berbanding kadar tertinggi sebanyak 5.3 peratus pada Mei 2020.
KETIDAK TENTUAN GEOPOLITIK CABAR PEMULIHAN EKONOMI
Namun, kita perlulah sentiasa berwaspada kerana munculnya ketegangan geopolitik disebabkan konflik Ukraine-Rusia. Akibatnya, setelah ekonomi dunia berkembang 6.1 peratus pada tahun 2021, baru-baru ini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan kepada 3.6 peratus bagi tahun 2022, berbanding unjuran asal 4.4 peratus.
Konflik tersebut juga telah mengganggu rantaian bekalan dunia serta meningkatkan harga bahan api dan makanan.
Lebih mengeruhkan keadaan adalah prospek penutupan ekonomi di China melalui strategi sifar COVID mereka, yang bakal mengakibatkan gangguan berterusan kepada rantaian bekalan dunia dan meningkatkan lagi harga barangan.
Setelah berkembang sebanyak 8.1 peratus pada tahun 2021, IMF juga telah mengurangkan prospek pertumbuhan negara China kepada 4.4 peratus untuk tahun ini, iaitu kadar terendah semenjak tahun 1992 (tidak termasuk tempoh pandemik). Isu-isu ini hangat dibincangkan sepanjang Mesyuarat-Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia-IMF yang saya hadiri di Washington baru-baru ini.
Akibat daripada harga bahan api yang lebih tinggi, IMF juga telah mengunjurkan peningkatan kadar inflasi tahun ini sebanyak 5.7 peratus bagi negara-negara maju dan 8.7 peratus bagi negara-negara membangun.
Secara keseluruhan, sebagai sebuah ekonomi yang terbuka di mana aktiviti perdagangan luar merangkumi hampir 120 peratus dari KDNK, Malaysia turut terkesan akibat ketegangan geopolitik terkini, pertumbuhan ekonomi negara China yang semakin perlahan, serta gangguan rantaian bekalan yang telah meningkatkan harga barang.
Ini telah dicerminkan oleh penyemakan semula pertumbuhan KDNK kita tahun ini kepada 5.3 - 6.3 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM), berbanding unjuran asal, iaitu 5.5 - 6.5 peratus.
Sekiranya tidak di kawal, kadar inflasi yang terus meningkat secara mendadak boleh mempengaruhi jangkaan inflasi, lantas mengurangkan perbelanjaan serta permintaan orang ramai, dan seterusnya, pertumbuhan ekonomi.
Hal ini juga bakal menjejaskan pasaran buruh, di mana ekonomi yang lemah boleh meningkatkan kadar pengangguran, lantas menyebabkan terhentinya aktiviti ekonomi. Situasi ini dipanggil ‘stagflasi’, iaitu kadar inflasi tinggi yang berlaku serentak dengan kelemahan aktiviti ekonomi.
Selain kesan kepada ekonomi secara menyeluruh (makro ekonomi), kerajaan juga akur akan kesan inflasi terhadap isi rumah. Oleh itu, apakah usaha kerajaan bagi membantu rakyat dalam menghadapi cabaran tersebut?
Salah satu usaha kerajaan adalah penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi memperincikan dasar yang menyeluruh dan bersepadu ke arah usaha menangani serta mengawal kenaikan harga barang keperluan dan kos sara hidup rakyat bagi jangka masa sederhana dan panjang.
Antara perkara yang dibincangkan ialah pergantungan kepada import, kos input makanan, isu buruh asing, skim subsidi, geran dan pinjaman mudah, teknologi pertanian serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Kerajaan juga telah melaksanakan dasar kawalan harga barangan seperti Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi melindungi orang ramai dari kenaikan harga yang melampau di kala permintaan yang meningkat.
Kerajaan juga terus memperuntukkan subsidi untuk bahan api dan pelbagai barangan makanan asas bagi menangani beban kenaikan harga. Bagi tahun ini sahaja, peruntukan subsidi berjumlah RM31 bilion melalui Bajet 2022 yang merangkumi pelbagai bantuan dijangka akan melonjak, terutamanya bagi subsidi minyak RON95.
a. Susulan peningkatan harga minyak Brent yang melonjak lebih dari 100 dolar AS setong, subsidi RON95 sahaja dijangka akan melebihi RM30 bilion tahun ini bagi mengekalkan harga pada RM2.05 seliter.
Hasil daripada ini, harga petrol kita adalah jauh lebih rendah berbanding negara pengeluar minyak atau negara-negara jiran seperti Arab Saudi (RM2.71 seliter), Emiriah Arab Bersatu (RM4.30 seliter), Indonesia (RM4.98 seliter), Thailand (RM5.99 seliter), Singapura (RM9.29 seliter), dan Norway (RM10.37 seliter).
Harga runcit bahan api yang meningkat di negara-negara lain telah meningkatkan harga barangan. Sebagai contoh, inflasi di Singapura dijangka meningkat antara 4.5 - 5.5 peratus tahun ini, jauh lebih tinggi berbanding unjuran inflasi Malaysia oleh BNM iaitu antara 2.3 - 3.2 peratus.
b. Bagi subsidi ayam dan telur pula, kerajaan telah memperuntukkan lebih dari RM500 juta dari Februari hingga Mei tahun ini. Harga runcit ayam bagi setiap kilogram di Malaysia pada kadar RM8.90 adalah lebih rendah berbanding di Indonesia (RM11.17), Thailand (RM11.35) dan Singapura (RM28.90).
c. Berhubung dengan kos penggunaan elektrik, untuk enam bulan pertama tahun ini, pengekalan kadar tarif elektrik telah melibatkan subsidi melebihi RM700 juta. Buat masa ini, 95 peratus dari penjanaan tenaga elektrik di negara kita adalah bersumberkan arang batu dan gas asli.
Akibat harga arang batu yang telah meningkat lebih dari 200 peratus dan gas asli yang meningkat hampir 100 peratus tahun ini, jumlah subsidi elektrik dijangka akan meningkat lagi bagi separuh tahun kedua.
Hasil daripada jumlah subsidi yang besar ini, kadar inflasi negara masih terkawal, iaitu 2.2 peratus bagi bulan Mac 2022, sama seperti bulan sebelumnya. Kadar ini adalah antara yang paling rendah berbanding negara-negara lain.
Kadar inflasi di AS bagi bulan Mac 2022 adalah 8.5 peratus, iaitu nilai yang tertinggi semenjak tahun 1981. Situasi yang sama turut dialami oleh United Kingdom (7 peratus, tertinggi semenjak 1992), Australia (4.5 peratus bagi suku pertama 2022), dan negara-negara jiran seperti Thailand (5.7 peratus), Singapura (5.4 peratus) dan Indonesia (2.6 peratus).
Namun, pelaksanaan subsidi secara menyeluruh ini sebenarnya lebih memanfaatkan golongan yang berkemampuan, kerana mereka inilah pengguna terbesar di dalam negara.
Contohnya, golongan yang berkemampuan lazimnya memiliki lebih dari satu kenderaan, termasuk jenama mewah, maka subsidi RON95 lebih menguntungkan mereka. Begitu juga bagi subsidi ayam dan elektrik.
KAITAN NILAI RINGGIT DENGAN KADAR FAEDAH
Seterusnya, kita juga perlu sedar bahawa naik turunnya nilai mata wang mana-mana negara, termasuk Ringgit, amat berkait rapat dengan kadar inflasi dan dasar monetari masing-masing. Contohnya, bagi mengawal kenaikan kadar inflasi, pelbagai ekonomi dunia telah pun atau akan mengetatkan dasar monetari mereka.
Bank Pusat di AS dijangka akan menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 50 mata asas pada bulan Mei. Singapura telah pun meningkatkan kadar faedah mereka sebanyak tiga kali sepanjang tempoh enam bulan yang lalu, manakala Korea Selatan pula sebanyak dua kali tahun ini.
United Kingdom, Kanada, Australia dan Kesatuan Eropah turut memberi gambaran bahawa mereka akan meningkatkan lagi kadar faedah dalam masa terdekat bagi mengekang inflasi.
Susulan pendirian monetari Bank Pusat di AS yang lebih agresif ini, mata wang Baht telah menurun sebanyak 3.4 peratus, dolar Singapura sebanyak 2.2 peratus dan Rupiah sebanyak 1.1 peratus. Mata wang lain, termasuk Ringgit turut mencatatkan penurunan ketara berbanding tahun-tahun terdahulu.
Ini termasuklah Yen yang telah menurun sebanyak 9.9 peratus (nilai terendah semenjak 20 tahun yang lalu), disusuli oleh Euro sebanyak 6.6 peratus (nilai terendah semenjak tahun 2017). Bagi Pound Sterling, Won Korea dan Yuan China, masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 7.1 peratus, 6 peratus dan 3.1 peratus.
Susulan kejatuhan nilai Yuan, Ringgit turut terkesan kerana China merupakan antara rakan dagangan utama negara.
Nilai eksport Malaysia ke China adalah 12.4 peratus kepada KDNK, berbanding nilai eksport ke China oleh Indonesia (3.8 peratus kepada KDNK) dan Thailand (0.7 peratus kepada KDNK).
Selain itu, kadar faedah negara kita yang telah kekal semenjak September 2020 berbanding negara lain yang mula menaikkan kadar faedah mereka telah meningkatkan jurang perbezaan dari segi nilai aset Malaysia berbanding negara-negara lain.
Perbezaan kadar faedah semasa antara Penerbitan Sekuriti Kerajaan (MGS) bertempoh matang 10 tahun berbanding bil perbendaharaan AS dengan tempoh yang sama telah berkurangan kepada 148 mata asas, berbanding 207 mata asas pada akhir 2021.
Ini menyebabkan risiko-ganjaran atau risk-reward untuk melabur di AS dilihat sebagai lebih menarik kerana apabila keadaan ekonomi dunia tidak menentu, komuniti pelabur dunia akan lebih berwaspada.
Ini akan mendorong mereka untuk beralih kepada aset yang kurang berisiko seperti emas dan aset yang dinilai dalam dolar AS, yang menyebabkan tekanan berterusan terhadap nilai pelbagai mata wang di dunia, termasuklah Ringgit.
Berdasarkan pertimbangan mengenai kedudukan semasa pasaran kewangan negara dan ekonomi, serta jurang perbezaan kadar faedah yang terus mengecil dengan kadar yang lebih pantas di antara aset AS dan aset Ringgit, Jawatankuasa Dasar Monetari BNM (Monetary Policy Committee, MPC), yang merupakan jawatankuasa bebas dalam menentukan kadar faedah bagi negara, akan terpaksa mengambil langkah untuk mengetatkan dasar monetari secara drastik.
Dari segi kesan penurunan nilai Ringgit kepada inflasi, ini dijangka terkawal bagi tahun ini berikutan pelbagai bentuk subsidi oleh kerajaan, terutamanya RON95. Sebagai contoh, naik turun nilai mata wang asing lazimnya akan memberi impak secara langsung kepada kadar inflasi jika harga bahan api ditetapkan berdasarkan harga pasaran.
Tetapi, disebabkan subsidi RON95 adalah melalui penetapan harga siling runcit, ini telah membendung kesan naik turun Ringgit terhadap kadar inflasi negara.
Baru-baru ini terdapat pelbagai laporan, kebimbangan dan pertanyaan berkenaan kedudukan nilai mata wang Ringgit.
Tidak kira para penganalisis, pakar ekonomi, komuniti perniagaan, mahupun Keluarga Malaysia dari pelbagai latar belakang, telah menyuarakan kedua-dua kebaikan dan keburukan turun naik nilai Ringgit.
Secara amnya, bagi setiap penyusutan nilai Ringgit terhadap dolar AS sebanyak 10 sen:
a. KDNK dijangka meningkat sehingga 0.05 mata peratusan;
b. Eksport dan lebihan akaun semasa masing-masing dijangka meningkat sebanyak RM30.5 bilion dan RM800 juta;
c. Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang mempunyai pelaburan di luar negara akan menerima manfaat dari segi keuntungan pertukaran, atau translation gains sehingga RM7 bilion, di mana Ringgit yang menyusut akan bertindak sebagai penampan bagi pulangan portfolio pelaburan asing mereka.
Namun, pada masa yang sama, kerajaan sedar akan kesan dan keburukan kejatuhan nilai Ringgit yang berpanjangan.
Walaupun ia memberi manfaat kepada pengeksport dan memberi impak positif kepada KDNK, nilai Ringgit yang terlalu rendah boleh meningkatkan kos serta input atau komponen barangan yang diimport. Ini boleh memburukkan lagi situasi semasa yang dihadapi oleh kedua-dua pengguna dan pengeluar barangan yang terpaksa menanggung beban peningkatan harga barangan.
Namun, input yang diimport hanyalah salah satu dari pelbagai perkara yang merangkumi jumlah kos pengeluaran.
Lain-lain kos yang perlu diambil kira termasuklah kos tenaga kerja dan pengangkutan yang turut dipengaruhi oleh naik turun nilai mata wang asing, termasuklah Ringgit.
Selain itu, harga pengeluaran juga lazimnya dipengaruhi oleh margin keuntungan, struktur pasaran, serta dasar dan peraturan yang mengawal selia sesebuah industri.
Antara kesan buruk yang lain akibat nilai Ringgit yang terus menyusut termasuklah peningkatan harga barangan sebanyak 0.5 peratus atau sekitar RM20 secara purata untuk setiap isi rumah sekiranya penyusutan adalah sebanyak 5 peratus.
NILAI RINGGIT BOLEH DIPERKUKUHKAN, TETAPI ...
Ada beberapa pihak yang menggesa supaya Bank Negara meningkatkan kadar faedah, atau mengetatkan dasar monetari untuk mengekang inflasi dan mengukuhkan nilai Ringgit. Tetapi langkah sedemikian dilihat sebagai kurang berkesan di sebalik cabaran kekurangan bekalan sedunia akibat ketegangan geopolitik.
Dasar monetari yang lebih ketat tidak boleh menjamin lebih banyak bekalan barangan seperti minyak, petrol, cip komputer, mahupun lain-lain keperluan asas.
Menurut MPC, penetapan kadar faedah yang dikekalkan pada bulan Mac 2022 adalah wajar bagi mengimbangi antara keperluan untuk meneruskan momentum pemulihan ekonomi dengan memastikan harga barangan terus terkawal.
Peningkatan kadar faedah negara sememangnya boleh meningkatkan nilai Ringgit.
Walau bagaimanapun, saya ingin menekankan bahawa ia juga akan meningkatkan nilai bayaran balik pinjaman seperti pinjaman perumahan dan hartanah. Ini pastinya akan membebankan rakyat dan berisiko untuk membantutkan pemulihan ekonomi yang baharu sahaja berputik baru-baru ini.
Pendek kata, apa-apa dasar sekalipun mempunyai baik buruk (trade-off) masing-masing, dan ada pihak yang akan untung, dan ada yang akan rugi.
Sebab itulah Kerajaan sentiasa perlu meneliti impak setiap keputusan dasar secara teliti dan menyeluruh agar sebahagian besar Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan peningkatan kos secara mendadak.
Buat masa ini, apa yang lebih penting adalah kekukuhan asas-asas ekonomi kita yang mampu menyokong kestabilan Ringgit dari ancaman kejutan luaran. Faktor-faktor ini termasuk kedudukan luaran Malaysia yang teguh, seperti lebihan akaun semasa yang baik dan kedudukan pemiutang luaran bersih.
Kita juga jelas mempunyai pertumbuhan dan daya saing eksport yang konsisten, rizab antarabangsa yang mencukupi, serta kadar inflasi yang terkawal berdasarkan pelaksanaan dasar subsidi.
Akhir kata, yakinlah bahawa kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan akan sentiasa memantau pelbagai risiko terhadap ekonomi kita, dan sentiasa bersiap siaga bagi menangani sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
Kerajaan juga akan terus melaksanakan pelbagai langkah penyusunan semula dan pembaharuan dasar untuk membina daya tahan, serta memacu perkembangan ekonomi yang mampan dan inklusif bagi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.
* Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan