Sila log masuk terlebih dahulu.

Penjawat awam depani cabaran

01 Mei 2022 09:40am | Masa membaca: 4 minit
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SAMBUTAN Hari Pekerja 1 Mei tahun ini diraikan ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut lebaran.

Lebih penting lagi ketika seluruh negara sedang melalui tempoh peralihan pandemik kepada endemik setelah lebih dua tahun melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penyebaran virus Covid-19.

Dalam usaha mengekang penyebaran wabak Covid-19 ini telah memperlihatkan betapa pentingnya kakitangan awam terutama pengorbanan barisan hadapan yang telah banyak membantu membendung wabak merbahaya ini.

Tanggungjawab tersebut bukan sahaja digalas oleh kakitangan perubatan yang bertungkus lumus merawat pesakit di hospital tetapi juga peranan pihak polis, tentera serta lain-lain jabatan yang bertugas 24 jam, tujuh hari seminggu secara bergilir.

Secara umumnya terdapat dua kesan besar Covid-19 kepada penjawat awam iaitu kesan yang pertama adalah tekanan hidup khususnya melibatkan golongan pekerja berpendapatan rendah B40.

Tekanan ini disebabkan peningkatan kos sara hidup serta beban hutang yang terpaksa ditanggung.

Ada sebahagiannya terjejas emosi mereka melalui tahap kesihatan mental yang agak membimbangkan. Justeru, kerajaan disarankan mempertimbangkan peningkatan gaji minimum RM1,800 untuk golongan ini.

Peningkatan gaji secara bersasar bertujuan membantu kira-kira 650,000 penjawat awam di negara ini yang tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada had pendapatan garis kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Kesan kedua Covid-19 ialah perubahan kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat oleh penjawat awam terutama ketika pelaksanaan PKP yang menyaksikan hampir keseluruhan sektor ekonomi ditutup.

Semasa permulaan PKP dilaksanakan, penjawat awam didedahkan dengan amalan norma kerja serba baharu yang menyaksikan pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Sebahagian besar tugas yang dulunya dilakukan secara manual telah dipindah kepada mod digital sehingga mengakibatkan ramai yang kekok ketika mula-mula dilaksanakan.

Kini bukanlah sesuatu yang janggal untuk kakitangan awam di Malaysia menyampaikan perkhidmatan secara dalam talian seperti pembelajaran, persidangan, peperiksaan dan pelbagai tugas lain.

Justeru, untuk sambutan hari pekerja tahun 2022, Cuepacs memilih tema ‘Kelestarian Pendigitalan Mendepani Cabaran’.

Tema ini dipilih bersandarkan realiti masa kini bagi memastikan kakitangan awam bersedia serta terus kekal relevan untuk membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Kesungguhan kerajaan melaksanakan inisiatif digital ini tercermin melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan pada 19 Februari 2021.

Perkara yang sama telah disentuh oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah ketika menyampaikan amanat sulungnya ketika baru menjawat jawatan tersebut.

Beliau memaklumkan perkhidmatan awam perlu dinamik, tidak rigid serta kalis masa hadapan dan perkara ini perlu dimanfaatkan oleh kakitangan awam melalui teknologi semasa seperti platform digital.

Salah satu solusi yang perlu diberi perhatian ialah pendigitalan proses kerja dipelbagai peringkat dan wawasan ini mampu dicapai dengan penglibatan kerajaan, ketua-ketua jabatan dan kakitangan awam itu sendiri.

Di peringkat kerajaan, komitmen perlu ditunjukkan melalui pelaburan modal seperti usaha membangunkan platform digital seperti inisiatif penyimpanan awan termasuk menyediakan kemudahan peralatan selaras dengan peredaran zaman.

Perhatian juga harus diberi kepada aspek keselamatan siber seperti risiko kebocoran maklumat, manakala ketua-ketua jabatan pula bertanggungjawab melakukan perancangan dan pemantauan yang jitu.

Pada masa sama kakitangan awam perlu bersedia mendepani cabaran ini melalui usaha melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran digital seperti menghadiri program-program latihan untuk meningkatkan kompetensi digital ini.

Pertimbangan kerajaan untuk meningkatkan ganjaran kewangan terutamanya isu gaji minimum seperti disarankan oleh Cuepacs akan mencerminkan kesungguhan kerajaan menjaga kebajikan kakitangan awam secara bersasar.

Kakitangan awam pula perlu berusaha untuk menyerapkan elemen digital dalam penyampaian perkhidmatan seperti mana tema sambutan hari pekerja Cuepacs tahun ini.

Selamat Hari Pekerja.

*Datuk Adnan Mat ialah Presiden Cuepacs

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Apa status sebenar permohonan batal Final Award?
  2. Daftar pemilih SPR jadi rujukan sampel kaji selidik
  3. Tingkatkan kebijaksanaan diplomasi
  4. WFH bukan lagi keutamaan
  5. Masih ramai tak tahu keperluan penjagaan paliatif