Sila log masuk terlebih dahulu.

Buli bukan perkara biasa-biasa

08 Mei 2022 07:50am | Masa membaca: 4 minit
Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

BELALANG termenung​​​​​ sejenak apabila muncul isu berkenaan buli di hospital sehingga membawa kepada ancaman ke atas kesihatan mental bakal-bakal doktor, malah ada kes yang dikaitkan dengan insiden bunuh diri.

Bagi Belalang, isu buli ini bukan perkara biasa-biasa. Ia bermula sejak dari alam kanak-kanak sehingga membawa kepada alam remaja dari peringkat tadika menjurus kepada alam persekolahan.

Alam sekolah ini pula ada dua perjalanan yang panjang − enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.

Segelintir akan menyambung dua tahun lagi di peringkat menengah atas iaitu tingkatan enam sebelum membawa budaya buli yang di peringkat ini telah sebati dengan darah daging terus ke alam universiti dan selepas itu dibawa ke tempat kerja pula.

Di sinilah gejala buli menjadi barah langsung membunuh jiwa dan karakter generasi seterusnya.

Bayangkanlah, dalam kes doktor pelatih menjadi mangsa buli senior mereka, sepertimana yang sedang diperkatakan ramai sekarang, jika bakal-bakal doktor sendiri sudah berhadapan dengan tekanan mental gara-gara kerana menjadi mangsa, bagaimanalah agaknya mereka akan merawat orang ramai di bawah seliaan mereka nanti.

Apa yang kita dengar dalam kes terbaharu iaitu buli melibatkan doktor-doktor ke atas para doktor pelatih hanyalah secebis daripada kisah buli di tempat kerja.

Kitaran buli membuli ini adalah satu penyakit ‘turun temurun’ yang diwariskan oleh mereka yang pernah dibuli kepada mangsa buli.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Rantaian ini perlu diputuskan. Kita telah menyaksikan bagaimana kes buli di Universiti Pertahanan Malaysia membawa kepada kematian kadet pelatih dan mereka yang terlibat dan bersubahat dengan sang pembuli berakhir di dalam penjara.

Mereka yang terlibat ini semua sepatutnya menjadi bakal pegawai dan jeneral kepada Angkatan Tentera Malaysia 20 tahun dari sekarang.

Malangnya, perancangan ini terbantut di tengah jalan, semuanya angkara buli.

Bilakah ini semua akan berakhir? Apa yang sedang dan masih berlaku sekarang tidak menunjukkan yang ia akan berakhir.

Sebaliknya makin membimbangkan.

Sudah pastinya dalam kes terbaru ini kita semua tidak mahu melihat profesion perubatan mengalami kekurangan tenaga pelatih gara-gara isu buli ini.

Siapa yang nak jadi doktor kalau belum apa-apa dah hidup dalam keadaan tertekan dek kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai gangguan di tempat kerja.

Belalang - Hanya sanggup jadi ahli nujum negara....

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Henti sementara teroka bukit
  2. Mahu hukuman lebih tegas dikenakan
  3. Tidak memadai hanya nafi
  4. Impian tercapai dapat tunai haji tahun ini
  5. UMNO tanpa Najib