Sila log masuk terlebih dahulu.

Siapakah penerus legasi?

10 Mei 2022 08:45am | Masa membaca: 4 minit
Poster Berani Semuka Saifuddin dan Rafizi yang akan berlansung pada Rabu 11 Mei 2022
Poster Berani Semuka Saifuddin dan Rafizi yang akan berlansung pada Rabu 11 Mei 2022
A
A
A

[WAWANCARA EKSKLUSIF] Tarikh 11 Mei 2022 bakal menjadi sejarah penting politik negara apabila buat julung kalinya, dua calon jawatan kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia bersemuka di atas satu pentas bagi membentangkan penawaran idea dan strategi politik masing-masing.

Pentas Berani Semuka anjuran Sinar Harian yang menemukan dua calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli, juga merupakan kesinambungan daripada implikasi pemilihan PKR penggal 2022-2025.

Dilihat sebagai petunjuk kepada siapakah pemimpin terkanan paling layak mengambil alih teraju kepimpinan parti itu daripada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pentas debat berkenaan juga bakal menguji kredibiliti kedua-dua calon dalam mengemukakan formula.

Pemilihan siapa pemimpin nombor dua PKR dilihat sangat kritikal untuk mengembalikan kegemilangan PKR dan Pakatan Harapan yang semakin tenggelam setelah tewas dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) berturut-turut.

Bagi menyelami harapan dan tahap persiapan mereka, wartawan Khairil Anwar Mohd Amin dan Mohd Faizul Mat Khazi bersama pembantu penerbit, Mohammad Helmi Zulkefle serta jurugambar, Rosli Talib dan Asril Aswandi berkesempatan menemubual Saifuddin serta Rafizi di pejabat masing-masing di Kuala Lumpur baru-baru ini.

TEMUBUAL BERSAMA RAFIZI

SINAR PREMIUM: Bagaimana saudara melihat momentum kempen pemilihan PKR penggal tahun 2022-2025 setakat ini?

RAFIZI: Bila berkempen, kita melihat maklum balas berdasarkan program-program di media sosial dan Jelajah Yakini Rakyat yang diadakan sejak tiga minggu lalu. Kalau dari segi komen rakyat, saya ingat momentum kali ini adalah terbaik yang pernah saya terima sejak menyertai pemilihan parti pada tahun 2010.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Rafizi - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB
Rafizi - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

Itu memberikan rangsangan baik, tetapi pada masa sama motivasi dalam pemilihan PKR tidak sama sebagaimana kita berkempen sewaktu pilihan raya. Jadi kadangkala kita kena lihat faktor-faktor lain seperti strategi bagaimana yang cuba diatur oleh warlord ataupun pimpinan tertentu untuk memenangi pemilihan parti.

Namun saya berharap kita dapat menyampaikan mesej terus kepada pengundi biasa supaya mereka dapat buat keputusan tanpa berkiblatkan arahan ataupun pengaruh pimpinan-pimpinan yang berada di sekitar mereka.

Berapa negeri yang YB sudah jelajahi sepanjang kempen pemilihan kali ini dan berapa negeri yang masih berbaki?

Sejak tiga minggu lepas, kita telah menjelajah hingga 11 negeri, hanya berbaki tiga negeri. Selepas perayaan Aidilfitri, kami akan ke Sarawak, Sabah dan akan berakhir di Pahang.

Penerimaan akar umbi kali ini adalah yang terbaik pernah saya terima disebabkan dua perkara. Yang pertama, akar umbi sudah lama mahu menaikkan semula semangat melawan. Jadi bila kalah empat PRN berturut-turut, mereka perlu dibakar semangat.

Jadi pemilihan kali ini dan cara kami berkempen, kami tidak buat di hotel sebaliknya gunakan pendekatan berceramah sebagaimana berkempen dengan pengundi biasa.

Kaedah ini menaikkan semangat mereka. Kedua, saya ingat mesej kami cuba bawa adalah bertepatan dengan pandangan akar umbi. Mereka sangat sensitif untuk tidak menerima khemah besar pembangkang.

Apakah cabaran terbesar saudara sepanjang mengharungi kempen pemilihan PKR kali ini?

Bagi saya, cabaran atau perbezaan paling besar adalah saya tidak rasa timbul isu kesetiaan atau pun niat. Macam pemilihan tahun 2018, kita memang kenal bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada awal dan tahu niatnya dalam parti untuk menguasai parti.

Kali ini, tidak timbul soal peribadi. Baik saya atau Saifuddin, anggota parti di bawah tahu bahawa kesetiaan dan komitmen kami terhadap PKR sangat tinggi meskipun berlainan pandangan.

Cuma kali ini, perbezaan itu lebih kepada soal strategi yang cuba dibawa kami untuk membina kembali kekuatan parti. Ini kerana watak kami berbeza, Saifuddin lebih dikenali sebagai seorang perunding dan saya pula seorang yang tegas enggan memilih jalan singkat untuk mendapatkan sesuatu.

Bagaimana saudara melihat peluang kemenangan pada kali ini, menentang seorang calon dianggap lebih setia kepada institusi Presiden PKR?

Bagi saya konteks setia berbeza daripada pandangan setiap individu. Sebagai contoh, saya lebih dikenali sebagai seorang yang setia, tetapi tegas dengan pendirian sendiri.

Ada banyak keputusan besar parti dalam 10 tahun lepas, saya memang diketahui berbeza pandangan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi, itu tidak sedikit pun menjejaskan gerak kerja dan komitmen saya terhadap pembentukan idea perjuangan PKR yang ideal. Jadi, saya rasa anggota di bawah tidak melihat tahap kesetiaan saya dan Saifuddin terhadap Presiden PKR sebagai isu penting.

Bila kempen pemilihan berjalan, saya menerima maklum balas bahawa persoalan siapa lebih setia kepada Presiden PKR tidak bermain dalam fikiran akar umbi parti.

Jadi, bagi saya lebih penting adalah anggota parti menuntut untuk melihat siapa di antara kami yang boleh membentangkan pelan strategi kempen yang lebih baik untuk meyakinkan rakyat. Itu sepatutnya ditumpukan dalam pemilihan kali ini.

Bagaimana saudara melihat impak penganjuran program Berani Semuka di antara calon-calon Timbalan Presiden PKR oleh Sinar Harian mampu memberi manfaat kepada rakyat dan ahli-ahli PKR?

Saya ingat mungkin orang ramai tidak faham betapa signifikan penganjuran wacana ilmu sebegini.

Seingat saya, ini akan menjadi kali pertama dalam sejarah politik negara, dua pimpinan terkanan dalam sebuah parti politik utama di Malaysia berdebat dan berbahas untuk membentangkan idea dalam pemilihan parti.

Kalau ini boleh dijadikan amalan, ia akan menggalakkan dan menyuburkan demokrasi yang berasaskan idea di semua parti. Masalah Malaysia adalah kita sudah sampai ke peringkat masalah sistem. Tidak kira sistem kerajaan, urus tadbir dan ekonomi.

Jadi, masalah sistem tidak boleh diperbaiki dengan sekadar menukar batang tubuh, tetapi berbekalkan idea sama.

Perlu ditekankan kepada semua parti politik bahawa salah satu mutu dan kriteria paling utama untuk memimpin adalah percambahan idea.

Kalau itu berjaya dilakukan dengan baik oleh PKR, saya berharap akan dapat meyakinkan rakyat untuk menekan parti-parti lain terutama UMNO supaya turut serta membentangkan idea sebelum layak bergelar kerajaan.

TEMUBUAL BERSAMA SAIFUDDIN

SINAR PREMIUM: Bagaimanakah Datuk Seri melihat suasana pemilihan PKR 2022-2025 berbanding 2018?

SAIFUDDIN: Saya melihat pemilihan PKR kali ini jauh lebih tenang dan terkawal berbanding kehangatan ketika pertembungan Rafizi dan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada 2008. Malah, selepas hampir empat minggu saya tengok secara umumnya ‘mood’ dan proses pemilihan PKR kali ini berjalan dengan lebih tertib dan berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.

Sehingga kini Datuk Seri sudah selesai menjelajah dan berkempen ke berapa negeri?

Sehingga kini saya dan Rafizi hampir selesai menjelajah dan berkempen ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak kecuali beberapa negeri seperti Melaka, Selangor dan Perlis kerana belum berkesempatan.

Saifuddin  - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Saifuddin - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Justeru itu, saya akan meneruskan kempen ke Melaka, Perlis dan Selangor, dalam masa terdekat bagi menarik sokongan seramai mungkin ahli PKR untuk menyokong saya pada pemilihan nanti.

Sejauh manakah Datuk Seri melihat peluang untuk menang jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti PKR kali ini?

Sebagai orang lama dalam parti, apabila saya membuat keputusan untuk masuk ke gelanggang dan bertanding, sudah pasti saya bermula dengan mempunyai keyakinan untuk menang jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR kali ini.

Bagaimanapun, saya bergantung kepada pecutan akhir dan undi ahli PKR dengan tempoh kempen pemilihan PKR masih berbaki kira-kira dua minggu lagi (pemilihan PKR bermula pada 13 hingga 22 Mei nanti).

Apakah strategi dan pendekatan yang akan digunakan oleh Datuk Seri untuk menarik sokongan ahli PKR pada pemilihan parti nanti?

Saya seorang yang low profile dan kalau dilihat kempen di sosial media memang berpihak kepada Rafizi yang jauh lebih ke hadapan, namun saya tiada masalah untuk memperkenalkan diri kepada ahli PKR.

Mereka memang mengenali saya dan tahu sumbangan, pengalaman dan kesetiaan saya kepada parti dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya juga membawa pendekatan kerja secara berpasukan dan menghormati semua orang. Itulah mesej saya kepada ahli dan pemimpin PKR di bawah sana dan langsung tidak membawa pendekatan menyerang atau mempertikaikan pihak lawan.

Namun, saya sedia memberikan penjelasan mengenai sesuatu isu misalnya kenapa Rafizi ‘menghilangkan diri’ dari parti. Ini kerana beliau memilih untuk bercuti selepas kalah pemilihan PKR pada 2018. Mungkin ramai rakan Rafizi berasa tersinggung dengan kenyataan itu namun ia adalah hakikat sebenarnya.

Adakah Datuk Seri berasa tergugat dan tercabar dengan publisiti dan liputan lebih meluas diberikan media massa kepada Rafizi yang membuat come back dalam PKR?

Saya tidak boleh berasa tercabar atau tergugat kerana media mempunyai sebab dan pilihan tersendiri untuk berbuat demikian.

Namun, apa yang pasti adalah orang yang akan mengundi dalam pemilihan parti nanti adalah kira-kira 300,000 hingga 400,000 ahli PKR bukannya rakyat Malaysia secara amnya.

Jadi saya lebih fokus kepada strategik kempen dengan pergi bertemu secara terus dengan ahli di cabang PKR di seluruh negara. Saya mungkin tidak popular dalam media arus perdana dan media sosial, namun saya boleh turun ke cabang dengan mudah dan mendapat sambutan baik daripada mereka. Jadi setakat ini saya tidak nampak penolakan ahli PKR di peringkat akar umbi selepas mengadakan dialog bersama cabang parti di seluruh negara.

Bagaimanakah hubungan Datuk Seri dan Rafizi sekarang selepas kedua-dua pihak merebut jawatan sama?

Setakat ini hubungan kami baik. Alhamdulillah kami mempunyai hubungan profesional yang baik, malah beberapa bulan lalu, saya ke pejabatnya untuk makan tengah hari bersamanya.

Hakikat saya boleh pergi ke pejabatnya dan makan tengah hari bersamanya menunjukkan kami mempunyai hubungan baik dan profesional biarpun mempunyai perbezaan dan persamaan pendapat. Cuma dalam pemilihan kali ini kami berebut satu kerusi sama iaitu jawatan Timbalan Presiden PKR. Jadi anggota PKR perlu membuat keputusan tepat.

Adakah Datuk Seri akan bertindak keluar dari PKR jika kalah dalam pemilihan parti nanti?

Saya tidak fikir tragedi 2018 akan berulang. Pada tahun 2018, Azmin menentang Rafizi, tetapi dia keluar parti walaupun menang. Rafizi yang kalah kemudian mengambil keputusan berehat sekejap dan sekarang patah balik.

Jadi sebagai kawan saya memang mengalu-alukan tindakan Rafizi kembali aktif dalam politik dan PKR. Saya yakin dia mempunyai banyak idea segar dan baharu serta memberikan kebaikan kepada parti.

Saya yakin bahawa sesiapa pun yang terpilih dan menang tidak akan keluar parti seperti Azmin dan yang kalah tidak akan berehat. Maknanya sama ada yang menang atau kalah pemilihan nanti Rafizi atau saya...kami tetap di dalam PKR dan tidak akan berehat.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Cari Speaker yang lain
  2. Masa untuk bekerja
  3. [INFOGRAFIK] Pemimpin Islam masih dominasi Kerajaan Perpaduan
  4. China akur desakan protes anti-lockdown
  5. Merealisasikan kabinet harmoni