Sila log masuk terlebih dahulu.

Ratu Elizabeth II, monarki paling lama memerintah Britain

30 Mei 2022 08:30am | Masa membaca: 4 minit
Ratu Elizabeth II
Ratu Elizabeth II
A
A
A

LONDON - Ratu Elizabeth II menaiki takhta ketika berusia 25 tahun dan pada Khamis ini menandakan sambutan Jubli Platinum ke-70 yang menyaksikan baginda mencipta rekod bersejarah sebagai pemerintah paling lama dalam kalangan kerabat diraja di Britain sejak tahun 1952.Sambutan yang berlangsung selama empat hari tersebut adalah yang kesembilan sejak pemerintahan Raja George III pada 1908 dan akan dimeriahkan dengan pelbagai acara hiburan menarik bersama rakyat termasuk perarakan yang akan menjadikan negara itu seperti lautan merah, biru dan putih sempena warna bendera kebangsaan.

Sebelum ini, moyangnya, Ratu Victoria yang memerintah pada 1837 hingga 1901 pernah memegang rekod menjadi permaisuri paling lama memegang takhta iaitu selama 60 tahun.

Keadaan fizikalnya yang sukar untuk berjalan dan berdiri untuk tempoh yang lama pada usia 96 tahun telah mengehadkan penampilan baginda di khalayak umum sejak beberapa tahun lalu.

Putera sulungnya, Putera Charles, 73, kini mula memikul tanggungjawab mewakili bondanya dalam beberapa acara rasmi kerajaan sebagai persediaan untuk mengambil alih takhta.

Populariti baginda dalam kalangan umum masih tinggi walaupun sokongan sesetengah pihak terhadap monarki mula berubah sejak beberapa dekad lalu.

Ketika sambutan Jubli Perak pada 1977, baginda menyifatkan langkah menyertai komuniti Eropah sebagai perintis Kesatuan Eropah (EU) merupakan keputusan paling penting pernah dibuat di bawah tampuk pemerintahannya selain kemajuan memberangsangkan dalam dunia perubatan, sains dan teknologi serta televisyen pada masa tersebut.

Ketika masih di bawah pemerintahannya juga menyaksikan Britain meninggalkan blok tersebut di bawah langkah Brexit berkuat kuasa pada 1 Februari 2020.

Kemangkatan suami baginda, Putera Philip pada April tahun lalu setelah melayari bahtera perkahwinan bersama selama 73 tahun sedikit sebanyak turut memberi kesan yang amat mendalam kepadanya.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Ketika ini, puak republikan di negara itu berharap Elizabeth II akan menjadi permaisuri terakhir, namun pakar percaya monarki akan masih mampu bertahan mengikut peredaran zaman.

“Kami tidak menjangkakan sistem monarki akan dimansuhkan. Tetapi, ini adalah monarki terakhir yang akan menerima sokongan popular seperti yang diberikan kepada baginda.

“Sebaik sahaja Putera Charles menaiki takhta, kita boleh mencapai matlamat untuk menyingkirkan monarki,” kata Ketua Gerakan Republik, Graham Smith yang mahu Britain mempunyai presiden yang dilantik dalam kalangan bukan partisan sebagai ketua negara tersebut.

TUAH

Elizabeth Alexandra Mary Windsor atau Lilibet diputerikan pada 21 April 1926 di London dan menjadi permaisuri ‘secara tidak sengaja’ yang tercatat dalam sejarah negara itu.

Ayahandanya, Raja George VI menaiki takhta pada 1936 setelah kakanda sulungnya, Edward VIII turun takhta dan mengahwini warga Amerika, Wallis Simpson.

Hal itu yang menjadikan ‘tuah’ berpihak kepada Lilibet untuk menjadi pewaris sah takhta Britain.

Ketika London dihujani bom yang digugurkan tentera Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua tercetus, baginda bersama adik bongsunya, Margaret dipindahkan ke Windsor.

Pada usia 19 tahun, baginda menjadi mekanik tentera dan pemandu di Home Front yang menjadi sebahagian kerja amalnya ketika negara itu masih dilanda peperangan.

Kira-kira dua tahun kemudian, baginda melangsungkan perkahwinan dengan putera Greece, Philip Mountbatten dan majlis itu membawa semula kemasyhuran Britain pada era pasca perang.

Ratu Elizabeth II bersama suaminya, Putera Philip ketika melangsungkan hari bahagia mereka pada 20 November 1947.
Ratu Elizabeth II bersama suaminya, Putera Philip ketika melangsungkan hari bahagia mereka pada 20 November 1947.

Pasangan romantik itu berada di Kenya ketika menerima berita sedih kemangkatan ayahandanya pada 6 Februari 1952 yang menjadikan baginda sebagai pemerintah baharu Britain.

Pada 2 Jun 1953, Ratu Elizabeth II ditabalkan di Westminster Abbey sebagai Permaisuri United Kingdom (UK), Australia, Kanada, New Zealand, Afrika Selatan, Pakistan dan Ceylon (Sri Lanka).

Pada masa tersebut, baginda merupakan ketua negara UK dan 14 negara Komanwel lain.

Rasa tanggungjawab yang dipupuk sejak dari kecil menyebabkan baginda sentiasa menjalankan tugasnya pada usia emas termasuk menerima kunjungan delegasi asing, memberi pingat kepada orang awam dan tentera serta melakukan lawatan diraja ke seluruh dunia.

Baginda yang sentiasa tampil dengan gaya elegan dan glamor dengan pemilihan warna terang menjadikannya sebagai ikon fesyen yang turut menjadi ikutan Kate Middleton, isteri kepada cucunya, Putera William. - AFP

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Persefahaman Muafakat Nasional harus diwujudkan
  2. Minyak masak ditukar dengan rokok
  3. ‘Saya buka pintu pejabat kepada orang ramai’
  4. Zaman Edan
  5. Skandal LCS ancam negara