Sila log masuk terlebih dahulu.

Malaysia perlu lebih ramai pemimpin empati

01 Jun 2022 03:30pm | Masa membaca: 4 minit
Dian (kanan) pada Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian termasuk Facebook pada Rabu. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dian (kanan) pada Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian termasuk Facebook pada Rabu. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang mempunyai sifat empati iaitu yang berupaya menyelami dan memahami perasaan dan emosi rakyat ke arah membentuk satu budaya politik baharu di negara ini.

Aktivis sosial dan politik yang juga usahawan, Datin Dian Lee berkata, negara sangat mendambakan barisan pemimpin yang mementingkan suara rakyat dan bukan mementingkan diri sendiri seperti yang ditegaskan dalam buku tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Mohamad Kamal Hassan yang bertajuk ‘Rasuah dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu Islam’.

"Sub tajuk buku ini adalah ‘Keperluan Transformasi Moral-Etika’. Itu adalah yang paling penting dan apa yang kita perlukan di Malaysia hari ini.

“Buku yang banyak memetik kandungan al-Quran ini tegaskan tentang pentingnya karektor pemimpin yang baik. Sekarang ini kita perlukan pemimpin yang ada sifat terpuji, ada empati, pentingkan rakyat dahulu dan bukan diri sendiri.

"Kalau seorang pemimpin mementingkan diri sendiri, dia tidak ada ruang untuk empati. Jadi saya harap dalam politik baharu kita perlukan lebih ramai pemimpin yang ada empati,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku tetamu jemputan pada Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian termasuk Facebook pada Rabu.

Susulan itu, Dian menegaskan, keyakinan rakyat terhadap barisan pemimpin negara harus dikembalikan selepas kepercayaan itu musnah dengan insiden Langkah Sheraton yang menyaksikan ramai pemimpin melompat parti demi kepentingan diri sendiri.

“Ramai rakyat Malaysia sudah tidak ada keyakinan ini kerana mereka rasa dikhianati dan kecewa. Seramai 5.6 juta orang keluar dan memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi mandat itu tidak dapat dilaksanakan hingga habis penggal.

“Jadi macam mana kita nak memberi keyakinan itu adalah dengan memberi politik yang baharu. Bagi mereka satu pilihan yang baharu dan sebab itulah saya sertai Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerana saya harap Muda ini boleh jadi satu alternatif untuk rakyat Malaysia kerana kita memang nak membawa politik khidmat, politik bernilai dan politik dasar (kepada rakyat),” tegasnya.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Mengulas lanjut, Dian menjelaskan, prinsip politik berkhidmat yang diperjuangkan parti yang diasaskan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga sejajar dengan prinsip hidupnya sendiri.

Menurutnya, beliau berpegang pada keutamaan untuk saling tolong menolong sekiranya seseorang itu mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk berbuat demikian.

“Kita mesti wujudkan suasana politik berkhidmat kerana ia adalah satu tanggungjawab. Idea politik khidmat ini saya sangat suka. Bagaimana untuk sentiasa bersuara untuk rakyat? Prinsip Muda ini sejajar dengan prinsip saya.

"Selain prinsip politik khidmat, ia juga tentang politik yang bernilai kerana inilah yang diperlukan dalam politik baharu Malaysia,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Punca China alami cuaca terlampau panas
  2. Lima sindiket seleweng diesel tumpas di Johor
  3. Perlu ada mekanisme semak imbang lebih baik
  4. Jawatankuasa pilihan khas Parlimen harus pantau kementerian
  5. Genta telah berbunyi