Sila log masuk terlebih dahulu.

Kaitan buru ikan 'raksasa' dengan bisnes dadah

23 Jun 2022 07:50am | Masa membaca: 4 minit
Ikan pirarucu boleh mencapai berat sehingga 200 kilogram. - Foto AFP
Ikan pirarucu boleh mencapai berat sehingga 200 kilogram. - Foto AFP
A
A
A

PIRARUCU ialah seekor ikan yang mengagumkan dan ia seperti 'raksasa' yang besar dan mempunyai sisik merah-hitam dari sungai di Amazon, Amerika Selatan.

Sehubungan itu, bagaimanakah ia boleh menyebabkan wartawan British, Dom Phillips, 57, dan pakar Orang Asli Brazil, Bruno Pereira, 41, mati ditembak pada 5 Jun lalu?

Dom Phillips - Foto AFP
Dom Phillips - Foto AFP

Polis berkata, kedua-dua mereka mati ditembak pada 5 Jun lalu ketika pulang dari lawatan penyelidikan di Lembah Javari yang terpencil di Brazil.

Bagaimanapun, pembunuhan mereka telah mendedahkan keganasan yang semakin meningkat di rantau Amazon yang didorong oleh penangkapan ikan secara haram, pembalakan, perlombongan dan pengedaran dadah.

Pereira sebelum ini telah menerima ugutan bunuh kerana kerjanya memerangi pemburuan haram di kawasan rizab yang melarang orang bukan asli daripada melakukan aktiviti memburu dan menangkap ikan.

Bruno Pereira - Foto AFP
Bruno Pereira - Foto AFP

"Dia melancarkan tindakan besar-besaran terhadap penangkapan ikan secara haram. Semua lelaki itu (pemburu haram) mengenali Pereira," kata Orlando Possuelo, 37, yang pernah bekerja dengannya, menyebabkan dia turut diancam bunuh seperti dilaporkan AFP.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Para penyiasat berkata, Pereira dan Phillips menyusuri Sungai Itaquai dengan sebuah bot kecil apabila sekumpulan orang yang turut menaiki bot telah menembak mereka.

Polis telah mengenal pasti lapan orang suspek tetapi berjaya menahan tiga daripada mereka setakat ini.

Salah seorang suspek itu mengaku membunuh mereka dan membawa anggota-anggota polis ke sebuah kawasan terpencil iaitu tempat di mana Pereira dan Phillips dikuburkan.

Penduduk tempatan di Atalaia do Norte iaitu sebuah bandar di tepi sungai berkata, ketiga-tiga suspek tersebut adalah pemburu haram yang menangkap ikan pirarucu di wilayah Orang Asli.

Ikan itu merupakan spesies dilindungi dan lazat untuk dimakan manakala panjangnya boleh mencecah 4.5 meter serta beratnya mampu mencapai 200 kilogram (kg).

Ia merupakan ikan air tawar yang terbesar di Amerika Selatan dan penjualannya boleh mendatangkan pendapatan sebanyak beratus-ratus dolar.

Nelayan-nelayan di Atalaia do Norte berkata, pemburuan haram ikan pirarucu merupakan perniagaan wang besar yang dikaitkan dengan pengedar dadah yang beroperasi di Peru dan Colombia.

CUCI WANG DADAH

Para penyeludup narkotik didakwa menggunakan bisnes ikan di pasaran gelap untuk mencuci wang dadah.

Ia merupakan sebahagian daripada apa yang disebut oleh Forum Keselamatan Awam Brazil baru-baru ini sebagai rantaian jenayah nasional dan transnasional yang kompleks yang beroperasi merentasi ekonomi berbeza di Amazon.

"Apa yang berlaku kepada Pereira dan Phillips adalah hasil daripada peningkatan jenayah terancang," kata Antenor Vaz iaitu bekas Ketua Operasi Agensi Hal Ehwal Orang Asli Brazil FUNAI di Lembah Javari.

Pemburuan ikan pirarucu banyak dilakukan secara haram di Brazil. - Foto AFP
Pemburuan ikan pirarucu banyak dilakukan secara haram di Brazil. - Foto AFP

Di pasar ikan Atalaia do Norte yang dipenuhi kebisingan dengan lantai konkrit dan gerai jubin putih, penjualan pirarucu tidak lagi dilakukan sejak Phillips dan Pereira hilang.

Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi mendapati 83 peratus daripada ikan haram yang dirampas di Brazil dari tahun 2012 hingga 2019 adalah ikan pirarucu.

Sebenarnya, sebahagian jualan ikan pirarucu adalah sah kerana terdapat enam tasik tempatan di luar kawasan rizab Orang Asli yang membenarkan penangkapan ikan tersebut tetapi dalam jumlah terhad.

Namun, kebanyakan ikan pirarucu yang dijual di pasaran berkemungkinan dilakukan secara haram.

Ekoran kejadian pembunuhan itu, nelayan-nelayan takut untuk keluar menangkap ikan.

“Nelayan-nelayan yang sah takut untuk keluar sekarang dengan tentera berada di sini dan semua orang menyalahkan kami di atas kekejaman ini.

"Nelayan yang sah dianiaya secara tidak adil," kata Roberto Pereira da Costa, 49, iaitu presiden sebuah persatuan nelayan tempatan.

“Anda boleh lihat perbezaan antara nelayan haram dengan kami. Mereka (nelayan haram) mempunyai bot besar, motor laju dan bukan sekadar menangkap 15 kilogram ikan untuk menyara keluarga.

"Mereka (nelayan haram) cuba mengambil segala-galanya yang boleh," tambahnya lagi. - Agensi

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Terbukti! Minyak masak peket Malaysia berlambak di Thailand
  2. Membesar dengan minyak masak subsidi dari Malaysia
  3. Di bawah jagaan gengster?
  4. Arab Saudi, UAE dengar rintihan rakyat jelata
  5. Mat Kilau dan pemimpin Melayu