Sila log masuk terlebih dahulu.

‘MPN bukan mahu saingi, ambil alih tugas kementerian’

26 Jun 2022 09:00am | Masa membaca: 4 minit
Raduan
Raduan
A
A
A

[WAWANCARA] Penubuhan Majlis Profesor Negara (MPN) bukan bertujuan menyaingi atau mengambil alih tugas mana-mana kementerian, sebaliknya untuk menambah nilai dalam program kemajuan dan pembangunan negara.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, penjelasan itu perlu dibuat bagi memastikan semua pihak dapat menerima kewujudan majlis itu dengan selesa tanpa rasa terancam.

Ini kerana katanya, ada pihak melihat kehadiran MPN yang ditubuhkan pada 1 April 2010 itu sebagai pesaing mereka.

Selain penjelasan mengenai fungsi dan peranan majlis itu, Raduan turut menyentuh beberapa isu lain termasuklah pelbagai syor kepada kerajaan dalam memastikan pembangunan negara bergerak di landasan yang betul.

Ikuti wawancara eksklusif bersama Raduan yang dikendalikan wartawan, Nurul Huda Husain di Pejabat MPN, di Kajang baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Boleh Datuk kongsikan berapakah keanggotaan MPN ketika ini?

RADUAN: Semasa awal penubuhan MPN pada tahun 2010, kita mempunyai keahlian seramai 1,420 sahaja tetapi sekarang ini kita mempunyai 3,080 profesor yang terdiri daripada profesor dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan juga profesor yang telah pencen sebab di dalam perlembagaan yang kita tubuhkan majlis ini (MPN), orang yang pencen pun dianggap sebagai ahli sebab kita percaya bahawa keprofesoran individu itu adalah di dalam keilmuannya, bukan dari segi skim perkhidmatannya.

Jadi, kita menganggap dia tidak akan hilang walaupun orang itu sudah pencen dan saya juga ingin berkongsi bahawa profesor ini adalah kurang daripada lima peratus daripada jumlah keseluruhan ahli akademik dalam negara. Kalau kita ikut tingkat-tingkat atau skim perkhidmatan (tetapi) saya tidak suka hendak pakai skim perkhidmatan sebab kita akan berfikiran salah kerana itu bukan pemikiran kita. Pemikiran kita, saya boleh bahagikan kepada tiga tahap orang akademik ini.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Raduan ketika sesi Wawancara Eksklusif Bersama Sinar Harian di Pejabat MPN baru-baru ini.
Raduan ketika sesi Wawancara Eksklusif Bersama Sinar Harian di Pejabat MPN baru-baru ini.

Tahap satu, dia sebagai ahli akademik biasa, membina kerjaya akademik. Tahap kedua adalah kemahiran atau kepakaran akademik itu digunakan untuk tujuan kebajikan masyarakat dan ini telah sampai ke tahap apa yang kita panggil sebagai intelektual awam, itu yang kita anggap. Selain daripada kepakaran sendiri, ia juga boleh diguna pakai kepada kehidupan masyarakat dan juga negara. Tahap ketiga pula, yang ini kurang orang ada di mana tahap tiga ini seseorang profesor itu menjadi ikon yang bukan sahaja pakar dalam bidang sendiri tetapi boleh guna kearifan, kewibawaannya untuk menjawab persoalan kehidupan dalam masyarakat dan juga negara.

Jadi, itulah tahap-tahap profesor dan saya percaya dalam kalangan yang lima peratus ini, sudah bersedia menjadi intelektual awam untuk memberikan perkhidmatan kepada negara.

Adakah ditetapkan kriteria tertentu untuk ahli akademik menyertai MPN?

Perlembagaan MPN dengan sengaja kita letakkan semua profesor secara automatik, bukan eksklusif menjadi ahli MPN dan kita juga menjemput secara bersekutu profesor-profesor madya yang jumlahnya sekarang lebih 5,000. Jadi, ditambah dengan jumlah 3,000 keahlian (profesor) sedia ada. Jadi (keseluruhan) kita ada 8,000 kekuatan (keanggotaan) yang kita anggap sebagai tenaga intelektual yang boleh membantu atau membuat input kepakaran kepada apa sahaja yang dilakukan oleh negara.

Jadi, saya percaya kalau kita boleh menggembleng 8,000 ini, kita boleh lakukan lebih banyak keajaiban.

Tadi Datuk sebut profesor yang telah berpencen pun boleh menjadi ahli, jadi dari segi penglibatan mereka ini macam mana?

Saya punya tag line sangat mudah, profesor atau ahli akademik tidak pernah bersara atau pencen. Pencen itu dari segi perkhidmatan sahaja tetapi keilmuan, kepakaran dan keupayaannya akan kekal. Hak milik kekal individu untuk beliau menyumbang atau menyertai masyarakat. Kalau profesor pencen, saya tidak anggap dia akan duduk dekat surau atau kedai kopi sahaja, dia juga akan menjadi ikon yang dirujuk, yang sentiasa relevan kepakarannya dan juga kearifannya untuk membantu orang lain.

Apakah bidang kepakaran yang ada pada MPN yang boleh ditawarkan untuk membantu membangun negara?

Kalau kita profilkan semua profesor yang 3,000 lebih tadi. Ia ada pelbagai, sebab profesor ini dia naik atau meningkatkan kerjaya profesornya berdasarkan bidang kepakaran masing-masing.

Tetapi apa yang saya katakan tadi, intelektual awam, dia kena keluar dari bidang sendiri dan menyertai atau menyumbang kepada masyarakat. Jadi, yang itu kita percaya kedudukan profesor itu.

Berbalik kepada bidang-bidang kepakaran yang boleh disumbangkan kepada masyarakat, saya rasa pelbagai. Dalam konteks itu, MPN dengan strateginya kita bahagikan kepada 12 kluster tertentu. Kalau masa mula-mula kita tubuhkan 1 April 2010 dahulu, kita ada 12 sahaja kluster, kemudian selepas 2014, kita wujudkan 14 kluster dan sekarang ini kita balik kepada 12 kluster yang refleks kepada bidang-bidang tujahan tumpuan ekonomi negara.

Setiap apa yang kita klusterkan itu menggambarkan bidang kepakaran dan sumbangan kita berdasarkan kepakaran, kearifan profesor dalam tiap-tiap kluster yang kita wujudkan dan menjadi kebiasaan, kita akan bekerjasama dengan pihak kerajaan, agensi kerajaan, industri dan juga pihak antarabangsa yang saya rasa kita gunakan kepakaran itu untuk sama-sama menyumbang kepada negara.

Tetapi perlu diingat, saya perlu berkongsi dengan masyarakat awam bahawa profesor ini bukan tujuan untuk mengambil alih peranan kementerian atau agensi lain. Tidak sebegitu, kita hanya menambah nilai kepada apa yang sedang dilakukan oleh pihak lain melalui kepakaran dan input-input keilmuan yang kita ada.

Kalau perkara itu jelas, saya rasa semua orang selesa untuk menerima kita dan tidak rasa terancam atau pun berasa ada persaingan dengan MPN ini. Setiap orang yang berada dalam MPN yang hanya jumlahnya lima peratus daripada keseluruhan ahli akademik, mereka telah sampai satu tahap di mana mereka ingin memberi balik kepada pihak yang memerlukan seperti kerajaan, masyarakat, industri dan sebagainya. Ini masanya untuk mereka beri balik sebab saya profilkan setiap profesor itu, mereka membina kerjaya mereka bukan dengan duit sendiri tetapi mereka adalah hasil daripada pelaburan kerajaan.

Dalam konteks ini semasa mereka menjadi tutor, pensyarah dan seterusnya melalui peningkatan sehingga menjadi profesor. Itu semua pelaburan negara yang seharusnya profesor itu mencari jalan untuk memulangkan semua. Jadi, dengan falsafah, prinsip dan semangat untuk memberi balik, saya percaya semua orang akan berasa selesa dengan apa yang ingin dilakukan. Ia melangkaui duit atau faedah yang mereka dapat.

Apakah hala tuju atau perancangan MPN selepas ini?

Kita sentiasa bertekad untuk membuat perubahan, apatah lagi dalam keadaan negara sedang terhimpit dengan segala masalah. Kita ada Covid-19 dan dalam masa sama kita ada kemelesetan ekonomi. Sekarang ini rakyat terhimpit dan saya percaya sampai masanya para profesor yang kita panggil intelektual awam bersolidariti untuk dikumpulkan supaya mereka boleh membuat perubahan melalui input-input kepakaran intelektual mereka, datang dengan idea bernas untuk membantu kerajaan.

Raduan (duduk) bergambar bersama kru Sinar Harian.
Raduan (duduk) bergambar bersama kru Sinar Harian.

Saya rasa hala tuju kita tidak lari daripada itu, untuk memberi balik, menyumbang dan sebagai sebuah negara kita pun rasa tercabar, apatah lagi para ilmuwan ini, apabila 2020 dahulu kita telah gagal untuk mencapai taraf negara maju. Semua orang dan saya rasa profesor lebih-lebih lagi perlu berasa bertanggungjawab untuk menggalas kegagalan itu dan kita perlu bertekad dengan setinggi-tinggi niat untuk membangunkan negara menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang betul-betul membangun.

Saya percaya, kalau kita boleh lakukan ini dengan syarat kita ada kerajaan yang stabil, kita ada kedudukan politik yang stabil ia boleh dilakukan dan dalam tempoh lima tahun, saya jangka pada tahun 2025, kita sudah boleh capai apa yang kita cadangkan semasa 2020 dulu. Jadi, itu perlu digalas oleh semua ahli akademik yang kita panggil intelektual awam.

Apakah MPN mempunyai syor tertentu kepada kerajaan untuk tangani isu graduan bekerja di bawah kelayakan sebenar mereka?

Syor kepada kerajaan senang sahaja. Saya bercakap atas dasar rakyat, bukan melibatkan MPN sangat. Sebagai rakyat apa yang saya impikan pertama sekali, saya daripada kecil dahulu atau kita semua daripada kecil dahulu biar belajar, kenapa Malaysia maju sejak negara merdeka sampai sekarang? Jawapannya adalah kestabilan politik, yang itu sudah sedikit tergugat sejak 10 tahun kebelakangan ini atau tergelincir sedikit. Itu satu perkara.

Kedua, kita tidak ada perancangan besar untuk graduan dari segi kedudukan ekonomi, bermula kita daripada pertanian kemudian kepada pembuatan dan sebagainya dan ini tidak boleh bertahan lama. Kita perlu bergerak kepada sektor ekonomi yang berasaskan kepada kemahiran, inovasi dan yang betul-betul boleh menjana pendapatan lebih besar menggunakan graduan yang kita keluarkan tadi.

Kalau tidak, sampai bila-bila kita akan terperangkap dalam keadaan kesederhanaan dan kita terus bergantung kepada pekerja-pekerja asing yang menawarkan sama ada tanpa kemahiran atau separuh mahir. Saya rasa ia tidak bagus kepada negara.

Sebelum ini isu diaspora atau golongan profesional yang berkhidmat di luar negara hangat diperkatakan. Apakah perkembangan terkini dengan konsep ‘brain gain’?

Pertama sekali ia agak semula jadi kepada sesiapa sahaja pun yang mereka akan mencari peluang yang lebih baik dan selama ini kita ada sekumpulan yang mengaku rakyat Malaysia tetapi rasa tidak sesuai atau tidak mendapat tempat dalam negara kita. Mereka berhijrah, bukan secara kekal tetapi kadang-kadang mereka berhijrah, bekerja, ada yang kadang-kadang balik dan kadang-kadang ada yang terus berada di sana. Itu satu kumpulan.

Ada satu juga trend yang paling baharu sekarang ini di mana rakyat Malaysia terus keluar mencari rezeki, peluang yang lebih baik di luar negara. Ini sebenarnya menjadi satu fenomena yang kita panggil sebagai ‘brain drain’ atau kehilangan kepakaran kepada penghijrahan ini. Ini satu perkara yang kita perlu perkatakan dan tangani dahulu, satu masa kerajaan memperkenalkan melalui TalentCorp yang mana memanggil pulang mereka ini untuk berkhidmat semula dan diberikan pelbagai insentif tetapi apa yang berlaku, kita belajar daripada pengajaran yang ‘sukar’. Apabila mereka balik ke sini dengan pelbagai insentif yang diberikan, mereka tidak mendapat sokongan sewajarnya sama ada dari segi gaji, persekitaran, kepakaran dan sebagainya dan mereka akhirnya pulang semula ke negara yang pernah mereka bekerja.

Satu perkara yang kita perlu fikirkan, tidak perlu kita tangisi orang yang hendak pergi bekerja. Sekarang ini kita bercakap tentang ekonomi global di mana sahaja orang boleh pergi tetapi sebagai sebuah negara kita perlu lebih strategik. Bagaimana umpamanya orang-orang kita atau bakat keluaran Malaysia ini yang bekerja di luar, boleh kita dapatkan sumbangan mereka. Jadi, saya percaya, apa yang kita cuba perkenalkan melalui program diaspora Malaysia sama ada melalui pasukan petugas maya, walau di mana pun mereka berada kita boleh gunakan kepakaran mereka tapi ini memerlukan satu perancangan yang betul-betul strategik, bukan kerja sosial.

Ini satu perkara yang perlu ditangani oleh kerajaan supaya kepakaran mereka itu bukan sahaja kepakaran yang mereka bawa keluar tetapi apabila mereka menceburkan diri dalam bidang industri yang mereka pilih di luar negara itu dengan segala pengalaman, segala konteks yang ada akan memberi peluang kepada kita untuk pertingkatkan kepakaran itu. Jadi, ini satu perkara yang perlu kita terokai dan jangan tunggu lama-lama tetapi kita perlu ada perancangan dalam masa yang terdekat ini dan diaspora ini kalau kita lihat banyak negara telah melakukannya.

Model yang saya nampak dalam dunia ini, di Ghana telah berjaya melakukannya, projek ‘brain gain’ melalui rangkaian diaspora ini telah ada model yang berjaya dan saya percaya melalui pengalaman negara lain, kita juga perlu melakukan dan saya tidak segan-silu akan mengangkat ini (program diaspora) kepada kerajaan terutama sekali kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apakah kesan sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan serius. Adakah negara bakal berdepan dengan kerugian besar pada masa akan datang?

Sangat rugi sebenarnya tetapi saya juga percaya ‘seluang yang pergi jauh akan pulang juga ke lubuk’ tetapi mungkin lama lagi sedangkan kita mahukan sekarang. Saya percaya kalau kita pun, kalau berhijrah ke luar negara terasa ingin balik dan sebenarnya (berada di luar negara) tidak seindah seperti yang disangka.

Pada pandangan Datuk, bilakah masa yang sesuai untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan?

Saya sudah katakan, pada Februari 2020. Itu sepatutnya tetapi ia sudah lepas. Tetapi sekarang ini apabila kita sudah ada kerajaan, dua kerajaan tertubuh dalam tempoh itu. Jadi, kita kena tunggulah sebab itu hak prerogatif Perdana Menteri, sebab walaupun pelbagai tafsiran dibuat, akhirnya kita kena terima hakikat bahawa melalui perlembagaan yang ada, adalah hak prerogatif Perdana Menteri. Walaupun disebut akan berbincang dengan ‘Top 5’ UMNO, dengan kabinet dan sebagainya, saya percaya kearifan Perdana Menteri yang akan menilai, apatah lagi apabila beliau telah dijanjikan akan dikekalkan sebagai ‘poster boy’ untuk PRU15 dan itu pun satu petanda yang baik, yang membuatkan beliau boleh umum PRU pada bila-bila masa sahaja dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Katakanlah PRU15 diumumkan akan diadakan dalam masa terdekat. Adakah ia sesuai memandangkan negara ketika ini masih berada dalam keadaan inflasi, ditambah dengan kejatuhan nilai ringgit?

Tiada siapa yang boleh jangkakan apa yang berlaku pada masa hadapan. Sama ada ia lebih baik atau lebih buruk.

Saya percaya Perdana Menteri yang merupakan orang parti akan melihat dari perspektif strategi parti juga. Ia bukan sahaja atas diri sendiri. Pelbagai perkara akan diambil kira, sebagai contoh kalau hendak adakan PRU tetapi kalau pada masa itu bacaan menunjukkan parti (BN) tidak boleh menang, dan beliau tidak boleh jadi Perdana Menteri lagi, pasti PRU tidak boleh diadakan lagi. Ini juga satu perkara yang beliau perlu fikir dan sudah tentu umpamanya beliau mengumumkan untuk adakan PRU, parti telah bersedia, partinya boleh menang besar untuk membentuk kerajaan yang kuat yang boleh membawa negara lebih maju lagi dan saya percaya tanyalah kepada mana-mana rakyat, mereka tidak terlalu taasub kepada parti yang berpolitik ini.

Lebih 60 peratus rakyat sebenarnya tidak berparti, mereka hanya mahukan sebuah kerajaan yang kuat untuk mengurus negara. Kerajaan yang bagus untuk memberi kesejahteraan kepada kehidupan mereka. Itu aspirasi mereka dan kita warga intelektual awam ini akan menentukan sama-sama, sesiapa sahaja jadi kerajaan, kita bantu supaya kita dapat faedahnya atau negara dapat nikmat daripada kehadiran ahli akademik.

Adakah MPN turut memainkan peranan atau mempunyai saluran untuk menyuarakan pandangan kepada kerajaan dalam isu-isu tertentu khususnya melibatkan kepentingan awam?

MPN ini sifatnya sebagai intelektual awam, kita boleh buat advokasi awam. Mana lebih kuat sama ada kita menulis kepada kementerian atau kita berkongsi kepada seluruh negara. Profesor ini boleh menulis, saya percaya profesor ada kesan penggandaan kepada sokongan. Apa sahaja yang terkeluar daripada buah fikiran mereka akan dianggap sebagai satu perkara yang besar oleh masyarakat, saya percaya itu.

Sebab kalau dibuat perbandingan, profesor dengan ahli politik, cakap siapa yang lebih laku? Politik akan taburkan segala janji dan sebagainya, sudah ramai orang yang tertipu dan tidak boleh lagi hendak terima janji. Sekarang ini orang dahagakan bagaimana negara ini boleh dipacu dengan keilmuan dan dengan perkara yang benar boleh diterjemahkan kepada tindakan dan sebagainya. Saya sangat percaya itu dan saya harap, semua profesor yang jumlahnya 8,000 lebih itu akan bersama-sama dengan saya dan kita juga akan libatkan kumpulan akademik yang lebih kurang 75,000 orang jumlahnya dalam sektor awam dan swasta. Ini satu perkara yang saya percaya boleh membuat perubahan kepada kerajaan dan juga negara.

Mungkin Datuk boleh kongsikan apa kajian yang pernah Datuk jalankan?

Lebih 160 kajian yang saya jalankan kebanyakannya tertumpu kepada pembangunan sumber manusia selari latar belakang akademik saya.

Saya juga ingin berkongsi kebanggaan saya terhadap rakan-rakan ahli akademik yang secara dasarnya mereka telah tamat perkhidmatan tetapi terus memberi sokongan kepada bidang akademik kerana dalam konteks keilmuan mereka tidak pernah bersara.

Saya sendiri juga ingin menyumbang dalam isu-isu yang ditangani negara tanpa sempadan.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Apa kata MaraFood?
  2. Serangan di Gaza demi survival politik PM Israel?
  3. Belum ada kajian makan hidangan eksotik baik untuk kesihatan
  4. Ini kapal Ahmad Albab yang punya!
  5. Apa nasib KD Mat Kilau?