Sila log masuk terlebih dahulu.

Ada apa dengan Zulhijah

01 Julai 2022 07:00am | Masa membaca: 4 minit
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PETANG Rabu lalu kita sekali lagi melihat anak bulan bagi menentukan tarikh Hari Raya Aidiladha. Tidak seperti peristiwa ‘raya mengejut’ semasa melihat anak bulan Syawal, pengumuman Hari Raya Korban yang jatuh pada 10 Zulhijah, Ahad minggu depan disambut tenang-tenang sahaja oleh orang ramai.

Umumnya umat Islam melihat anak bulan sebanyak tiga kali dalam setahun iaitu hari ke-29 Syaaban untuk menentukan 1 Ramadan bagi memulakan puasa; 29 Ramadan untuk menetapkan tarikh Hari Raya Aidilfitri; dan 29 Zulkaedah untuk memastikan permulaan 1 Zulhijah sekali gus tarikh Hari Raya Aidiladha.

Zulhijah adalah bulan terakhir dalam kalendar Hijrah serta kemuncak ibadah haji. Biarpun Aidiladha disambut pada 10 Zulhijah, sembilan hari pertama bulan ini dianggap masa keemasan untuk menambah ibadah seperti puasa sunat dan bersedekah.

Ini diikuti sambutan Aidiladha dan hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah di mana umat Islam di seluruh dunia berlumba-lumba untuk menunaikan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing semata-mata untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Setiap individu yang berkemampuan disunatkan melaksanakan ibadah korban sebagai simbol memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail demi mentaati perintah ALLAH SWT.

Seimbas pandang bukan semua orang mampu melaksanakan ibadah korban, apatah lagi sekarang satu bahagian lembu sahaja sudah berharga RM750.

Harga haiwan korban di luar negara pula berbeza-beza. Di Syria misalnya, seekor kambing korban berharga kira-kira RM1,200 manakala RM1,350 untuk satu bahagian lembu.

Khabarnya bahagian korban di Syria lebih mahal berbanding Malaysia kerana lembunya bersaiz lebih besar. Rata-rata berat lembu korban di Malaysia adalah antara 180 kilogram (kg) hingga 230kg dengan harga sekitar RM5,000.

Tetapi menurut NGO yang biasa membuat urusan korban di luar negara, lembu korban di Syria dua kali ganda lebih besar iaitu 450kg hingga 500kg. Di Gaza pula lebih mahal lagi iaitu RM1,900 satu bahagian lembu kerana faktor kejatuhan nilai mata wang dan bilangan haiwan yang terhad di sana.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Sebaliknya di negara-negara Afrika atau Asia Tenggara seperti Kemboja, harganya lebih murah iaitu bermula RM320 satu bahagian lembu.

Sungguhpun ada kos yang perlu dibayar lebih-lebih lagi pada musim semua barang naik harga sekarang, namun inilah yang dinamakan pengorbanan.

Dari sisi yang lebih halus, ibadah korban ini mendidik kita menabung supaya dapat melakukannya setiap tahun.

Salah satu cara, sebagaimana diberitahu pakar-pakar pengurusan kewangan ialah menyediakan satu tabung khas sama macam kita menabung untuk pendidikan anak-anak.

Kalau dulu-dulu orang menyimpan duit dalam tabung buluh tetapi kini kita boleh mewujudkan ‘tabung’ khas menggunakan aplikasi seperti MAE Maybank. Aplikasi ini membantu memudahkan pengguna khususnya pelanggan Maybank menabung dan menguruskan kewangan peribadi.

Sebagai contoh, jika satu bahagian lembu berharga RM750, jumlah wang bulanan yang perlu diasingkan daripada gaji ke akaun MAE adalah RM62.50 sebulan selama 12 bulan atau RM2.08 sen sehari.

Tetapi kalau kita bukan jenis orang yang berdisiplin dalam menabung secara sukarela, maka buatlah potongan gaji secara tetap setiap bulan.

Satu lagi cara mudah untuk menyimpan wang bagi melaksanakan ibadah korban setiap tahun adalah dengan menjadikannya sebagai wajib dalam bajet tahunan.

Kalau sebelum ini kita memperuntukkan wang untuk memperbaharui insurans dan cukai jalan kereta, zakat atau duit yuran sekolah anak sahaja, inilah masanya untuk kita menambah satu lagi item dalam senarai bajet tahunan iaitu ibadah korban.

Kalau kena caranya kita bukan sahaja boleh beli satu bahagian bahkan seekor lembu untuk dibuat korban. Berdikit-dikit lama-lama jadi bukit.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Apa kata MaraFood?
  2. Serangan di Gaza demi survival politik PM Israel?
  3. Belum ada kajian makan hidangan eksotik baik untuk kesihatan
  4. Ini kapal Ahmad Albab yang punya!
  5. Apa nasib KD Mat Kilau?