SHAH ALAM – Sistem pendidikan perlu ditambah baik bagi memastikan generasi akan datang mempunyai ilmu sara hidup.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, banyak perkara yang tidak betul dalam sistem pendidikan negara.
“Ketika bersekolah dulu, saya diajar untuk bercucuk tanam dalam sekolah, tetapi sekarang tak boleh. Jadi, generasi sekarang tidak tahu untuk menggunakan tanah,” katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus: Mengapa Melayu Jual Tanah yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian.
"Murid sekolah hari ini tidak diajar cara mengurus. Bagi orang Melayu wang perlu digunakan untuk beli barang bukan dijadikan modal, Jadi, perkara ini tidak diajar dalam sekolah.
“Sebab itu anak kita ada ilmu belajar sejarah, belajar geografi tetapi bagaimana nak guna ilmu itu untuk sara hidup tiada,” katanya
Tambah beliau, tanah di Malaysia subur dan rakyat boleh dapat menjana pendapatan melalui pertanian.
“Bercucuk tanam boleh tambah pendapatan, jadi tak perlu jual tanah kerana walaupun tanah kita kecil ada cara untuk besarkan tanah itu. Sebagai contoh, jika ada koperasi, kita boleh cantum tanah-tanah yang dimiliki oleh ahli koperasi menjadikannya tanah besar dan boleh dirikan sebuah estet,” katanya.
Kata beliau lagi, dahulu British boleh dapat 25 ekar tanah dengan harga satu ekar RM5 dan mereka guna tanah yang luas itu untuk tanam getah, kelapa sawit dan mereka dapat pulangan daripada pemilik.
“Orang Melayu mempunyai satu ekar, cuba tanam kelapa sawit tapi tanah tak cukup besar akhirnya fikir lebih mudah, jual tanah," ujar beliau dengan maksud tersirat.