SHAH ALAM - Pakar mendedahkan terdapat tujuh faktor yang menyumbang kepada perlakuan jenayah gangguan seksual di negara ini.
Antaranya adalah masalah kesihatan mental, gangguan personaliti, pengalaman lepas, persekitaran, kecenderungan rangsangan, tiada kawalan kepada kewujudan aplikasi media sosial serta pendedahan aktiviti mempromosikan diri melalui platform tersebut.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, kesihatan mental kebiasaannya berpunca daripada masalah ketagihan di mana pelaku gemar melakukan perkara yang tidak senonoh.
“Perkara ini mungkin disebabkan kecenderungan rangsangan di mana mereka selalu tengok bahan-bahan lucah sebelum ini.
“Selain itu apa yang menyebabkan mereka menjadi pengganggu seksual adalah kesihatan mental, pengalaman hitam zaman kanak-kanak, persekitaran buruk di mana mungkin cara dibesarkan atau pengaruh rakan-rakan.
“Ada juga gangguan personaliti narsis di mana mereka seronok melakukan gangguan, syok sendiri mengganggu orang lain sedangkan mangsa tidak suka pun,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Rabu lalu, Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual 2021 (AGS 2021) diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Rakyat.
RUU itu diluluskan selepas perbahasan melibatkan 26 ahli Parlimen pada Selasa dan Rabu selepas ia dibentangkan untuk bacaan kali ketiga.
Dalam pada itu, Pakar Kriminologi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin berkata, faktor menyumbang perlakuan gangguan seksual juga boleh dilihat dari segi kemudahan aplikasi media sosial.
Jelasnya, gangguan seksual menjurus kepada hampir 90 peratus kes jenayah seksual yang melibatkan mangsa berkenalan melalui aplikasi seperti WeChat, Facebook, Tinders dan MiChat.
ARTIKEL BERKAITAN: Diganggu dua kali di tempat kerja
“Aplikasi WeChat mempunyai jumlah pengguna tertinggi berbanding aplikasi yang lain.
“Pendedahan awal dalam kalangan kanak-kanak terhadap gajet dan komputer menyebabkan mereka mudah terjebak dengan masalah gangguan seksual.
“Punca lain ialah aktiviti golongan wanita muda dalam talian seperti di aplikasi Bigo dan TikTok yang menonjolkan tubuh badan yang seksi menerusi siaran langsung demi mendapatkan rating,” ujarnya.
Lelaki curi-curi rakam wanita dalam MRT
Kes 1 - Seorang pengguna pengangkutan awam, Transit Aliran Massa (MRT) mengakui gementar apabila pertama kali berdepan dengan situasi melihat tindakan seorang lelaki yang curi-curi merakam wanita lain di dalam tren baru-baru ini.
Gadis yang ingin dikenali sebagai Isya berkata, dia berasa curiga dengan tindakan lelaki berkenaan dan bertindak mengambil gambar sebagai bukti sebelum memaklumkan kepada wanita yang menjadi mangsa rakaman.
“Saya perasan ada seorang lelaki ini buka kamera di telefonnya, pada mulanya saya ingatkan mungkin dia tak sengaja membuka kamera berkenaan.
“Selepas itu, saya nampak melalui cermin belakang, dia tengah zoom (perbesar) kamera ke arah perempuan yang duduk bertentangan dengan dia.
“Bila dia perasan saya perhatikan dia, dia terus buka Facebook. Tetapi selepas itu, dia masih lagi zoom badan wanita tersebut,” katanya.
Ulas Isya yang berusia 22 tahun itu, dia membuat keputusan untuk memberitahu wanita berkenaan mengenai perbuatan lelaki tersebut.
“Wanita itu pada mulanya nak minta lelaki itu memadamkan gambar itu, tetapi kami tidak berani. Apabila sampai di stesen kawasan Damansara, wanita itu lari ke hujung tren dan lelaki itu mengekori saya dan adik saya.
“Saya bercadang nak buat aduan kepada polis bantuan yang kebetulan ada di kawasan itu tetapi apabila dia nampak, dia terus segera jumpa polis bantuan itu dan berpura-pura bertanya tentang laluan tren,” ujarnya.
Tambah Isya, dia kemudian bertindak membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
“Saya sempat beritahu staf MRT yang ada di situ, tetapi staf itu pun tidak boleh buat apa-apa sebab pintu tren dah tutup.
“Jadi saya buat laporan dekat MRT Sungai Buloh itu sahaja,” jelasnya.