Sila log masuk terlebih dahulu.

Kisah kebangkitan rakyat Malaysia pasca pandemik
Artikel percuma

23 Julai 2022 08:15am | Masa membaca: 4 minit
Perintah berkurung pertama bermula 18 Mac 2020 serta sekatan perjalanan dan prosedur operasi standard (SOP) yang harus dilaksanakan telah melumpuhkan banyak perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Perintah berkurung pertama bermula 18 Mac 2020 serta sekatan perjalanan dan prosedur operasi standard (SOP) yang harus dilaksanakan telah melumpuhkan banyak perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
A
A
A

MUNGKIN tidak semua di antara kita boleh benar-benar faham betapa besarnya impak Covid-19 kepada negara dan langkah yang telah diambil untuk mengharungi salah satu tempoh paling getir dalam sejarah Malaysia.

Perintah berkurung pertama bermula 18 Mac 2020 serta sekatan perjalanan dan prosedur operasi standard (SOP) yang harus dilaksanakan telah melumpuhkan banyak perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Walaupun pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk moratorium selama enam bulan, subsidi upah dan pinjaman mudah, masih ada perusahaan terpaksa gulung tikar.

Banyak juga yang terjejas pendapatan, dipotong gaji atau lebih teruk lagi memberhentikan pekerja. Paling terkesan sudah tentu golongan berpendapatan rendah serta mereka yang bergantung kepada pendapatan harian kerana tidak mempunyai simpanan yang mencukupi. Dalam sekelip mata, banyak keluarga yang terpaksa mengikat perut.

Bagi rakyat Malaysia yang berkemampuan, Covid-19 ini mungkin hanya kesan sementara dalam hidup mereka. Melangkah ke hari ini, kita dapat lihat di media sosial sesi makan-makan dan percutian kerana ramai berbelanja seolah-olah ‘membalas dendam’ setelah sekian lama tidak dapat berbelanja.

Trend ini dicerminkan dengan pertumbuhan 29.9 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit untuk Mei 2022.

Ya, kini semuanya telah berubah: Orang ramai berpusu-pusu ke pusat membeli-belah atau ‘berebut’ meja di restoran popular menggambarkan betapa ekonomi kita kembali rancak. Ramai juga yang bersungut kerana terpaksa menempah dua minggu lebih awal untuk makan dim sum di hotel terkemuka di hujung minggu!

Jika dibandingkan dengan zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, keadaan kini amat berbeza, tetapi sangat dialu-alukan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Dengan ekonomi yang telah dibuka semula sepenuhnya dan kembali kepada kehidupan ‘normal’ prapandemik, tempoh suram pandemik beransur-ansur kabur dalam ingatan.

Tetapi bagi Kementerian Kewangan (MOF) dan saya sendiri, pengajaran tempoh perit tersebut masih jelas. Izinkan saya berkongsi tiga pengajaran utama dari tempoh pandemik:

Pertama adalah penting untuk memastikan bahawa tindak balas dasar kerajaan berjaya melindungi rakyat dan perniagaan mereka dan di mana yang boleh, membantu meneruskan kelangsungan hidup supaya mereka dapat merancang dengan baik untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan kemerosotan ekonomi di masa hadapan.

Kedua, tidak kira berapa bilion yang telah kita belanjakan, yang paling penting adalah sama ada bantuan tersebut sampai kepada golongan yang disasarkan. Bagi MOF, bukan hanya penyaluran dan langkah-langkah bantuan, malah yang lebih penting adalah bagaimana rakyat dan perniagaan dapat bertahan. Agensi MOF, Laksana juga memainkan peranan penting dalam memantau serta membantu MOF memperhalusi tindak balas dan intervensi dasar kerajaan.

Ketiga walaupun dari awal lagi MOF bersikap responsif dari segi memperkasakan sosioekonomi negara dan aspek kelestarian, MOF juga harus bersikap bertanggungjawab dan reformis dalam menangani isu struktur. Sejak saya dilantik sebagai Menteri Kewangan, saya menyedari bahawa kita perlu membina ekonomi dan masyarakat lebih berdaya tahan, yang menyediakan akses saksama untuk rakyat bukan sahaja untuk bangun kembali, tetapi juga untuk terus maju ke hadapan.

Bagi poin kedua di atas, malam-malam di mana kita bersengkang mata bagi menyiapkan pakej rangsangan dan bantuan tidak penting. Yang paling penting adalah sama ada bantuan-bantuan tersebut telah mencapai keberhasilan yang disasarkan bagi golongan yang ingin dibantu.

Susulan dengan penerima

Sehubungan itu, MOF telah membuat susulan dengan pelbagai penerima manfaat dan 20 daripadanya dikongsikan melalui 20 video di pautan YouTube MOF sejak hujung tahun lalu.

Pada hari ini, saya ingin berkongsi kegigihan dan keazaman empat penerima manfaat yang mampu bertahan dalam menghadapi cabaran Covid-19 melalui pelbagai langkah di bawah lapan pakej bantuan dan rangsangan kerajaan.

Pertama, Mohammad Nasrun Saad yang berasal dari Perlis. Semasa perintah berkurung, beliau kehilangan mata pencarian sebagai pembekal peralatan teknologi.

Beliau menggunakan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk membeli dron bagi pembenihan sawah padi. Kini, Nasrun mempunyai enam orang pekerja dan telah mengembangkan perniagaannya untuk melatih orang lain melaksanakan pembenihan menggunakan dron. Tonton kisah beliau di https://www.youtube.com/watch?v=oVk8Yw2tWjE.

Penerima kedua ialah Azami Hamdani yang terlibat dalam industri pelancongan di Langkawi di mana hotelnya hampir gulung tikar semasa perintah berkurung.

Beliau berusaha gigih untuk memastikan resort tiga bintangnya terus beroperasi kerana bersimpati terhadap kakitangannya terutama mereka yang berkeluarga. Semasa PKP, beliau berjaya meneruskan perniagaannya melalui Program Pembangunan Modal Insan, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Dengan disiplin dan penjimatan, Azami telah mengembalikan dua pertiga daripada geran RM157,000 yang diterima kerana dia merasakan bahawa dia telah menerima bantuan yang mencukupi.

Kini, setelah sempadan antarabangsa dibuka semula, Azami baru-baru ini telah membeli beberapa bidang tanah untuk mengembangkan perniagaannya! Ini kisah beliau di https://www.youtube.co /watch?v=l9HMhH0wmDY.

Bagi Jasni Amir yang berasal dari Banting, Selangor, agensi umrah dan hajinya terjejas teruk apabila sempadan ditutup. Apa yang menarik dalam wawancara beliau (https://www.youtube.com/watch?v=VmI3qKxDPCg&t=145s) ialah bagaimana beliau beralih kepada menjual pakaian Muslimah dan makanan hasil daripada manfaat moratorium pembiayaan bank dan subsidi upah yang diterima. Kini, Jasni telah membuka cawangan baharu menjual barangan keperluan haji di Shah Alam.

Shakrani Ishak (https://www.youtube.com/watch?v=G05O8vC3TeU&t=17) pula kehilangan pekerjaan di sebuah kilang semasa PKP. Semasa di rumah, beliau menumpukan perhatian kepada perniagaan kosmetik dan memutuskan untuk memohon GKP. Sebahagian GKP telah digunakan untuk pemasaran dalam talian. Selepas PKP, beliau telah kembali bekerja, namun oleh kerana perniagaan telah berkembang pesat, suaminya telah berhenti kerja untuk memberi fokus kepada perniagaan.

Ini semua kisah-kisah perjuangan sebenar rakyat Malaysia yang mencerminkan kesungguhan dan keazaman untuk mengharungi cabaran. Terdapat berjuta-juta lagi kisah ketabahan rakyat Malaysia yang telah mendapat bantuan daripada kerajaan bagi menempa kejayaan mengharungi cabaran hidup.

Bagi MOF, apa yang paling penting adalah kesesuaian langkah dan pelaksanaan yang tepat pada waktunya. Kami juga sedar dengan pelbagai kekangan bagi membendung Covid-19, pendigitalan merupakan satu pilihan.

Tetapi tidak semua pekerjaan boleh memanfaatkan pendigitalan. Contohnya, pekerja di salon rambut, salon kecantikan dan pusat kesihatan tidak mungkin boleh menawarkan khidmat mereka secara maya, kecuali untuk tempahan dalam talian.

Dengan beberapa bantuan daripada kerajaan, ramai telah pun beralih kepada perniagaan yang boleh dipasarkan secara dalam talian untuk mencari rezeki. Sebagai contoh melalui program pendigitalan PKS, beribu-ribu perniagaan mikro dan kecil telah dilatih untuk berdagang di dalam platform pemasaran digital. Mereka yang dahulunya membuat perniagaan fizikal kini sudah berjaya mengadaptasikan perniagaan secara dalam talian.

Di MOF, kisah-kisah inilah yang membuatkan semua usaha dan keringat kami berbaloi apabila bantuan membuahkan hasil untuk rakyat kita, bukan sahaja dari segi mampu bertahan akibat impak Covid-19, malah mampu bangkit semula dan berdaya maju selepas pandemik, Alhamdulillah.

* Tengku Zafrul ialah Menteri Kewangan Malaysia

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan