Sila log masuk terlebih dahulu.

PM bentang sendiri RUU Anti Lompat Parti

24 Julai 2022 02:40pm | Masa membaca: 4 minit
Gambar kecil: Wan Junaidi menjawab soalan ketika sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Isnin.
Gambar kecil: Wan Junaidi menjawab soalan ketika sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Biarpun sibuk dengan tugasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka meluangkan masa untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Perlembagaan (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti di Parlimen pada Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau yakin RUU berkenaan akan mendapat sokongan semua ahli Parlimen sama ada dari blok pembangkang, penyokong kerajaan mahu pun Bebas.

Wan Junaidi berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan komitmen dan maklum balas positif diterima daripada majoriti ahli Parlimen termasuk dari Pakatan Harapan (PH) dan penyokong kerajaan semasa sesi libat urus dengan wakil rakyat sebelum ini.

Tambahan pula, beliau berkata, kerajaan juga sudah membuat persiapan rapi dan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen serta pihak berkepentingan sejak Oktober tahun lalu bagi membolehkan proses penggubalan RUU berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.

"Walaupun sejarah Parlimen kita sudah bermula hampir 70 tahun sejak Malaysia dan mencapai kemerdekaan pada 1957, namun tiada seorang Menteri pun pernah membuat persiapan begitu lama untuk melaksanakan penerangan kepada semua wakil rakyat seperti dilakukan saya, sejak Oktober tahun lalu.

"Malah, biarpun, semua pihak sudah jelas dan tahu mengenai intipati RUU berkenaan, namun saya tetap akan mengadakan sesi taklimat dan libat urus bersama semua ahli Parlimen dari blok pembangkang dan penyokong kerajaan serta Bebas, pada esok dan Selasa ini bagi menerangkan sekali lagi berhubung perkara itu," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, tujuan utama sesi libat urus itu diadakan adalah untuk menjelaskan kepada semua ahli Parlimen mengenai proses penggubalan sesuatu RUU dan kenapa tiada pembentangannya pada 18 Julai lalu (Isnin) seperti dibangkitkan Ahli Dewan Rakyat baru-baru ini.

Malah, Wan Junaidi berkata, beliau gembira kerana secara umumnya, semua ahli Parlimen yang ditemuinya menyokong penuh pembentangan RUU berkenaan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

"Walaupun kita menghadapi sedikit masalah seperti yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, namun segalanya berjaya diselesaikan dengan baik selepas penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dipengerusikan oleh saya sendiri, wakil pihak kerajaan dan parti pembangkang baru-baru ini.

"Malah, Mesyuarat Sesi 'Pre-Council' sebelum sidang Parlimen baru-baru ini mencadangkan supaya Perdana Menteri sendiri membentangkan bacaan kedua kedua-dua RUU berkenaan selepas selesai sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada 27 Julai ini," katanya.

Beliau berkata, selepas selesai sesi pembentangan RUU berkenaan, maka Speaker Dewan Rakyat dijangka mengarahkan usul berkenaan dibahaskan oleh ahli Parlimen selama dua hari iaitu pada Rabu dan Khamis ini.

"Soal berapa ramai dan tempoh masa diperuntukkan kepada setiap ahli Parlimen untuk membahaskan RUU berkenaan saya serahkan kepada Speaker untuk menentukannya.

"Namun, saya akan menggulung dan menjawab segala pertanyaan dibangkitkan oleh semua ahli Parlimen pada sesi perbahasan mengenai RUU berkenaan mulai jam 2.30 petang dan berharap ia dapat diselesaikan kira-kira jam 5 petang, Khamis nanti," katanya.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Sabtu penentu pendirian muktamad Pas?
  2. Parti politik perlu ‘zon bebas ego’
  3. Kit Siang, Wan Azizah mungkin berehat?
  4. Syarat Puteri Gunung Ledang
  5. Utamakan sekuriti makanan dalam Bajet 2023