Sila log masuk terlebih dahulu.

Tun Mahathir legasi 97 Tahun

30 Julai 2022 07:45am | Masa membaca: 4 minit
Pada usia 97 tahun, Tun Mahathir masih gagah berjuang demi bangsa, agama dan negara.
Pada usia 97 tahun, Tun Mahathir masih gagah berjuang demi bangsa, agama dan negara.
A
A
A

RABU, 20 Julai 2022 seawal jam 7.30 pagi, penulis bersama beberapa rakan setugas sudah berada di hadapan bangunan Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur untuk sesi wawancara eksklusif bersama figura politik tersohor negara, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Rasa teruja dan gementar silih berganti memikirkan penulis bakal bertentang mata dengan mantan Perdana Menteri Malaysia yang menjadi idola bukan sahaja dalam negara bahkan turut disegani ramai pemimpin dunia.

Dilahirkan pada tahun 1925 dan kini menjangkau usia 97 tahun, tidak keterlaluan jika anak jati Alor Setar, Kedah itu dianggap sebagai legenda hidup yang banyak menyaksikan jatuh bangun Malaysia sejak zaman sebelum merdeka hinggalah ke hari ini.

Mula berjinak-jinak dalam dunia politik sejak usia belasan tahun sehinggalah pertama kali menjadi wakil rakyat pada tahun 1964 ketika berusia 50 tahun, perjalanan karier politik beliau membawa kepada pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia bukan sekali tetapi dua kali!

Menariknya, pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh berlaku selepas koalisi Pakatan Harapan (PH) yang diketuai beliau pada ketika itu buat julung kalinya berjaya menumpaskan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Waktu itu beliau berumur 93 tahun sekali gus menjadikannya Perdana Menteri tertua di dunia.

Tun Mahathir bersama isteri tercinta, Tun Siti Hasmah.
Tun Mahathir bersama isteri tercinta, Tun Siti Hasmah.

Kembali kepada sesi wawancara yang dijadual bermula jam 9.30 pagi, kru teknikal sibuk menyiapkan kamera demi merakam momen bersama Dr Mahathir sementara penulis pula berkesempatan berbual dengan salah seorang kakitangan yang berkhidmat untuk mantan Perdana Menteri itu.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Menurut kakitangan itu, Dr Mahathir akan tiba sekitar jam 8.30 pagi setiap hari ditemani anggota pengiring, sebaik memasuki ruang pejabat, beliau mengambil tempat di meja utama dan mula membaca pelbagai dokumen penting untuk hari tersebut.

Beliau kemudian dihidangkan sarapan ringan kebiasaannya air kopi, air putih dan sepinggan kecil kuih sebelum memulakan tugas harian. Sememangnya Dr Mahathir dikenali amat mengawal pemakanan.

Penulis pernah terbaca artikel mengatakan beliau mengelak makan terlalu banyak dan berat badannya tidak mencecah lebih 62 kilogram selama lebih 30 tahun.

Sejujurnya, melihat tubuh kurus Dr Mahathir, terdetik dalam hati penulis, orang seusia beliau sepatutnya sudah berehat dan menghabiskan masa santai bersama keluarga di rumah, namun memilih untuk terus bekerja adakala sehingga waktu malam sekiranya keadaan memerlukan.

Tepat waktu dijanjikan, wawancara pun dimulakan setelah masing-masing mengambil tempat. Satu-persatu soalan berkisar isu semasa negara dilontarkan namun semua berjaya dijawab lancar dan penuh bersahaja oleh Dr Mahathir sambil sesekali melirik senyuman ke arah lensa kamera.

Malah bila tiba giliran soalan panas berkaitan politik, Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu tetap tenang dan tidak cepat ‘melompat’ sebaliknya jawapan diberi penuh ketegasan dan keyakinan.

Langsung ditanya mengapa beliau membuat pusingan U dan menawarkan diri untuk kembali bertanding pada PRU15 kelak, Dr Mahathir menyatakan keputusan tersebut diambil atas permintaan parti dan soal menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga tidak timbul.

OTAI MASIH BERBISA

Usia hanya sekadar nombor dan beliau berulang-kali membuktikan dirinya masih relevan dan signifikan dalam arena politik negara apabila pengaruhnya dilihat masih mampu menjadi magnet memancing undi.

Untuk rekod, Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri keempat dari 16 Julai 1981 hingga 30 Oktober 2003 (UMNO) diikuti dari 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020 selaku Perdana Menteri ketujuh (PH).

Sama ada bergelar Perdana Menteri 22 tahun atau 22 bulan, harus diakui di sebalik usia emasnya, beliau merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman luas dan tajam pemikiran.Beliau juga dikenali dengan karakter langsung tidak gentar mengutarakan pandangan berkaitan sesuatu isu terutama yang melibatkan kepentingan negara.

Contoh, ketika diminta mengulas isu waris Kesultanan Sulu yang menuntut pampasan berjumlah RM62.59 bilion berikutan negara tidak membayar wang pemisahan sejak tahun 2013 susulan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Dr Mahathir tidak teragak-agak menyalahkan mantan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, Perjanjian 1878 itu sudah diwarisi kerajaan sekian lama dan tindakan Najib membatalkan perjanjian secara ex-parte tanpa rundingan dengan pewaris Kesultanan Sulu menjadi punca utama isu tersebut dibawa ke mahkamah arbitrasi antarabangsa.

Sikap tegas dipamer Dr Mahathir itu menjadi kelebihan yang digeruni kawan dan lawan, malah dalam isu-isu tertentu beliau juga lantang bersuara di pentas dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malah bukan sekali dua beliau menempelak dan membidas kuasa Barat seperti Amerika Syarikat yang selalu menjadi tulang belakang kemaraan Israel di bumi Palestin.

Tidak hairanlah karisma dan keberanian pemimpin veteran itu menjadikan beliau amat dihormati dan sering diundang memberi ucapan dan menghadiri majlis penting di luar negara.

Dr Mahathir (dua dari kiri) melihat kereta pertama Malaysia, Proton Saga. - Sumber internet
Dr Mahathir (dua dari kiri) melihat kereta pertama Malaysia, Proton Saga. - Sumber internet

KISAH DARI IJN

Namun di sebalik 1,001 kisah kegemilangan sepanjang lebih dua dekad mendedikasikan diri dalam kancah politik dan urusan mentadbir negara, terselit juga momen yang mencemaskan.

Umum pasti tahu, Dr Mahathir pernah beberapa kali dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) berikutan komplikasi jantung, terkini adalah pada bulan Januari lalu di mana beliau ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU).

Mengimbas detik hitam itu, beliau secara peribadi mengakui tidak menyangka akan mampu melepasi situasi getir tersebut dan berasa nyawanya akan berakhir di situ.

“Saya sendiri fikir mungkin sudah sampai masa, dan saya terpaksa terima tidak akan pulih semula,” katanya sambil menambah ketika proses rawatan ada masanya beliau sedar dan tidak.

Ketika itu beliau kekurangan darah (merah) yang berfungsi menyerap oksigen ke seluruh tubuh dan pakar di IJN terpaksa melakukan transfusi sekali gus dapat memulihkan pernafasan beliau.

Dengan izin ALLAH SWT dan kepakaran para petugas IJN serta rawatan komprehensif, akhirnya Dr Mahathir kembali sihat dan dibenarkan pulang.

“Kita mempunyai pakar-pakar di IJN yang cekap belaka. Setiap hari mereka berbincang bagaimana untuk memulihkan saya dan mereka berjaya.

“Mereka cekap dalam bidang pemulihan, kesemua (enam, tujuh doktor) berunding sesama mereka apa yang patut dan tidak patut dilakukan.

“Saya pun terkejut daripada tidak boleh berjalan dan makan akhirnya saya pulih dan dibenarkan pulang,” ujarnya lagi.

Kini walaupun tidak 100 peratus sihat namun Dr Mahathir masih tetap aktif dan mampu menjalani rutin harian seperti bekerja, berjalan, melakukan aktiviti fizikal, boleh berfikir, boleh mengingat, menulis dan membaca seperti biasa.

Ditanya adakah masih meneruskan hobi menunggang kuda, Dr Mahathir menjawab hobinya itu terpaksa dilupakan seketika, sebaliknya beliau memilih untuk berbasikal.

PESAN UNTUK ANAK MUDA

Asyik mendengar Dr Mahathir memberi satu demi satu komentar, tidak sedar rupanya wawancara sudah berlangsung hampir satu jam.

Ikutkan hati masih belum puas dan masih banyak soalan mahu kami ajukan tetapi apakan daya waktu amat mencemburui.

Namun di penghujung bicara, Dr Mahathir yang ada ketikanya digelar Tun M sempat menitipkan pesan kepada anak muda yang bakal menjadi pewaris negara di masa depan.

“Untuk lebih berjaya dan dipandang serius oleh masyarakat, anak muda kini harus belajar mempersiapkan diri (establish) dengan ilmu dan pelbagai kemahiran serta kelayakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga menggalakkan lebih ramai anak muda dan orang Melayu menceburi bidang perusahaan serta perniagaan dan tidak mengharapkan kerja makan gaji semata-mata.

“Orang makan gaji mungkin boleh kaya, tetapi kalau kita menceburi bidang perusahaan dan perniagaan kita boleh jadi kaya tanpa had, sampai boleh jadi bilionair. Tengok Bill Gates misalnya, wangnya bercambah-cambah, kalau dia makan gaji, berapa dia boleh dapat?” soal beliau.

Titipan nasihat Dr Mahathir menyimpul pertemuan bersejarah pada hari itu dan sebelum beredar kami berpeluang berswafoto dengan beliau dan masing-masing senyum lebar sampai ke telinga!

Kru Sinar Harian bergambar bersama Dr Mahathir selepas sesi wawancara eksklusif itu.
Kru Sinar Harian bergambar bersama Dr Mahathir selepas sesi wawancara eksklusif itu.

APA PROJEK, KEJAYAAN PALING DIBANGGAKAN? INI JAWAPAN TUN!

Selain dikenali sebagai pemimpin yang bersikap tegas dan lantang bersuara, Dr Mahathir juga telah banyak meninggalkan legasi kejayaan tidak kira dari segi ekonomi mahupun pembangunan infrastruktur.

Beliau merupakan insan yang bertanggungjawab menyelamatkan negara daripada krisis kewangan pada tahun 1998 selain mengilhamkan Menara Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang sehingga kini menjadi mercu tanda kebanggaan Malaysia.

“Saya bernasib baik selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, sedikit sebanyak mampu menyumbang kepada pembangunan negara secara fizikal,” katanya.

Ditanya kejayaan manakah yang paling dibanggakan, Bapa Pemodenan itu secara peribadi menyebut Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang serta projek kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton).

“Sebenarnya banyak benda yang kita buat, tetapi saya berpuas hati dapat membuat Lebuhraya PLUS, Jambatan Pulau Pinang dan juga Proton.

“Kita buat Proton bukan sekadar mahu buat kereta tetapi juga untuk belajar kejuruteraan. Dan hari ini kita boleh buat kereta tanpa bantuan orang lain melainkan enjin tetapi yang itu kita boleh belajar dan sekarang ini pun enjin kita pasang sendiri.

“Apabila kita perkenalkan Proton, kita perkenalkan industri kejuruteraan. Ia satu industri yang cukup besar dan macam-macam kita boleh lakukan tetapi perlu kepada dorongan oleh kerajaan.

“Kerajaan mesti adakan persekitaran yang sesuai dengan perniagaan. Kalau asyik yang ini tidak boleh, yang ini tunggu dulu, kadang-kadang sampai lima tahun tiada keputusan dan menteri tidak mahu berjumpa pelabur. Pelabur penting, tanpa pelabur tidak jadi bisnes,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Sabtu penentu pendirian muktamad Pas?
  2. Parti politik perlu ‘zon bebas ego’
  3. Kit Siang, Wan Azizah mungkin berehat?
  4. Syarat Puteri Gunung Ledang
  5. Utamakan sekuriti makanan dalam Bajet 2023