PEMBENTANGAN Bajet 2023 di Parlimen pada Oktober nanti akan memberi tumpuan kepada pembaharuan dan memperkukuhkan daya tahan negara bagi menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.
Penyediaan Bajet 2023 turut mengambil kira kesejahteraan semua golongan rakyat termasuk golongan M40 yang kini merupakan antara penerima manfaat terbesar subsidi menyeluruh meliputi bahan api, air dan elektrik.
Berdasarkan unjuran terkini untuk subsidi RON95 sahaja, golongan M40 dianggarkan mendapat manfaat bernilai RM7 bilion berbanding hanya RM3 bilion untuk golongan B40 bagi tahun 2022.
Ikuti wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai situasi ekonomi negara dan pelaksanaan subsidi menyeluruh ketika ini.
Terdapat pihak yang meramalkan situasi ekonomi pada tahun depan lebih mencabar. Apakah ramalan tersebut berasas? Boleh Datuk Seri jelaskan?
TENGKU ZAFRUL: Tahun 2022 merupakan tahun pemulihan ekonomi pasca krisis Covid-19 hasil daripada langkah kerajaan untuk membuka sepenuhnya aktiviti ekonomi serta sempadan antarabangsa kepada pelancong, dengan momentum pemulihan ekonomi disokong dasar fiskal mengembang dan dasar monetari yang akomodatif.
Ekonomi negara telah mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan pada 5 peratus suku pertama 2022, dan momentum itu nampaknya bakal menghasilkan pertumbuhan suku kedua yang lebih kukuh.
Sehubungan itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia untuk tahun 2022 dijangka dapat mencapai unjuran rasmi di antara 5.3 dan 6.3 peratus, insya-ALLAH.
Pemulihan ekonomi jelas bukan sahaja dari segi KDNK tetapi juga bagi pasaran kerja, di mana kadar pengangguran telah menurun dari tahap tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 3.9 peratus pada Mei 2022.
Pada tahap di bawah 4 peratus, bermakna Malaysia kembali mencapai tahap guna tenaga penuh (full employment).
Data penggunaan swasta juga kukuh, berdasarkan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) Kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang meningkat kepada 108.9 mata pada suku pertama 2022 (S4 2021: 97.2 mata).
Namun demikian, persekitaran ekonomi global semakin mencabar. Konflik Ukraine-Rusia terus mengganggu rantaian bekalan global dan menyumbang kepada harga komoditi dan makanan global yang tinggi seterusnya meningkatkan kadar inflasi sedunia.
Dengan kadar inflasi dunia, contohnya di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) mencecah 9 peratus, ia mendorong beberapa bank pusat untuk memperketat dasar monetary masing-masing. Ini bakal menyederhanakan pertumbuhan ekonomi dunia.
Baru-baru ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global kepada 3.2 peratus bagi 2022 dan 2.9 peratus bagi 2023. IMF juga menyatakan ada kemungkinan kadar pertumbuhan 2023 adalah lebih rendah daripada unjuran rasmi.
Malaysia sebagai negara perdagangan yang terbuka tidak akan terkecuali daripada perkembangan ekonomi dunia, tetapi mungkin terlalu awal untuk kita meramal apa yang benar-benar akan beraku pada tahun hadapan.
Namun yakinlah bahawa kerajaan, bersama agensi-agensinya tetap akan sentiasa memantau rapat persekitaran ekonomi global dan domestik untuk bersedia mengambil langkah proaktif bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi Malaysia sebaik mungkin.
Selaras dengan situasi global, adalah dijangka kadar pertumbuhan ekonomi akan menyederhana pada tahun 2023 berbanding dengan 2022. Unjuran IMF terkini untuk pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun 2023 adalah 4.7 peratus. Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan KDNK, Bajet 2023 akan terus tertumpu kepada penjanaan peluang pekerjaan dan pendapatan bagi rakyat dan ekonomi.
Bagaimana dengan kadar unjuran inflasi negara pada masa akan datang? Apakah langkah-langkah yang sedang dilaksanakan untuk memastikan inflasi dalam keadaan terkawal?
Unjuran inflasi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2022 adalah pada kadar 2.2 hingga 3.2 peratus. Mengambil kira prestasi kadar inflasi sebenar untuk tempoh Januari hingga Jun 2022 pada 2.5 peratus, adalah dijangka inflasi pada 2022 akan selaras dengan unjuran rasmi.
Kadar inflasi di Malaysia jauh lebih rendah dan terkawal jika dibandingkan dengan negara lain, khususnya negara maju seperti di UK dan AS yang mencecah sebanyak 9 peratus ataupun negara jiran seperti Singapura, Filipina dan Thailand melebihi 6 peratus. Ini adalah ekoran langkah kerajaan meneruskan serta menambah tanggungan subsidi danbantuan untuk rakyat Malaysia pada 2022.
Peruntukan bantuan dan subsidi menerusi Bajet 2022 adalah RM31 bilion tetapi bil subsidi sebenar diunjurkan hampir RM80 bilion. Peningkatan subsidi adalah kerana kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95, diesel serta gas petroleum cecair (LPG) pada harga kurang daripada 50 peratus harga pasaran tanpa subsidi.
Kerajaan terus membantu melindungi isi rumah daripada kesan sepenuhnya peningkatan harga komoditi dan makanan dunia. Dasar kerajaan serta sebarang pembaharuan bantuan dan dasar subsidi akan dilaksanakan secara berperingkat serta terkawal bagi mengelakkan kenaikan harga secara mendadak agar tidak melonjakkan kadar inflasi.
Bagaimana rakyat boleh membantu negara pada ketika ini?
Salah satu cara rakyat boleh membantu ialah dari segi berkongsi maklumat dengan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai aktiviti penyeludupan minyak masak, diesel dan sebagainya.
Ketirisan ketara yang berlaku ini adalah berpunca daripada subsidi menyeluruh. Bagi golongan T20 dan mereka yang mampu, saya berharap mereka semua menggunakan minyak RON97, dan bukan RON95 yang disubsidi.
Apakah gambaran yang dapat Datuk Seri jelaskan tentang belanjawan negara yang akan dibentangkan pada Oktober nanti?
Jika tumpuan utama Bajet 2022 adalah kepada pemulihan ekonomi pasca krisis Covid-19, tumpuan bagi Bajet 2023 adalah lebih kepada pembaharuan dan memperkukuhkan daya tahan negara.
Kerajaan akan terus memastikan Bajet 2023 menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara dan terus menjana peluang pekerjaan serta pendapatan untuk rakyat.
Bajet 2023 juga akan memberi penekanan kepada agenda pembangunan negara supaya lebih terangkum dan mampan.
Antara bidang pembaharuan untuk ditekankan adalah berkaitan dengan memperkukuhkan sistem perlindungan sosial, ekoran daripada pengalaman semasa krisis Covid-19 di mana golongan rentan dan pekerja informal lebih terjejas.
Selain itu, pembaharuan dasar ekonomi juga akan menyentuh kepada menggalakkan pertumbuhan lestari.
Kerajaan juga akan terus melaksanakan pembaharuan fiskal antara lain untuk memperkukuhkan daya tahan negara dalam menghadapi sebarang krisis pada masa depan.
Bagaimana belanjawan itu nanti akan membantu negara dalam menghadapi cabaran masa depan?
Susulan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan cabaran perubahan iklim yang serius, kita perlu membina daya tahan negara sebaik mungkin.
Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca Covid-19, usaha pembaharuan dan penstrukturan semula ekonomi juga akan diutamakan bagi memastikan pertumbuhan yang mampan serta meningkatkan daya saing perniagaan dan rantaian nilai.
Kumpulan M40 berpandangan mereka sewajarnya menerima manfaat lebih baik dalam setiap belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan.
Bagaimana dengan belanjawan kali ini, lebih-lebih lagi mereka juga terkesan dengan situasi ekonomi semasa?
Sebenarnya, golongan M40 tidak dilupakan dalam penyediaan setiap belanjawan dan turut menerima manfaat sama ada dari segi subsidi, bantuan tunai dan insentif cukai.
Bajet 2023 turut akan disediakan dengan mengambil kira kesejahteraan semua golongan rakyat, termasuk golongan M40 dalam membantu menghadapi cabaran kos sara hidup.
Golongan M40 adalah antara penerima manfaat terbesar bagi subsidi menyeluruh yang meliputi petrol, diesel, air dan elektrik.
Sebagai contoh, dianggarkan golongan M40 mengguna lebih dua kali ganda petrol RON95 bersubsidi jika dibandingkan dengan golongan B40.
Berdasarkan unjuran terkini untuk subsidi RON95 sahaja, golongan M40 dianggarkan mendapat manfaat bernilai RM7 bilion berbanding hanya RM3 bilion untuk golongan B40 bagi 2022.
Selain itu, untuk Bantuan Keluarga Malaysia, peningkatan had kelayakan pendapatan isi rumah kepada RM5,000 berbanding RM4,000 bagi tahun-tahun sebelum ini bermakna lebih kurang separuh daripada golongan M40 juga mendapat manfaat bantuan tunai langsung daripada kerajaan.
Lebih ramai rakyat Malaysia layak untuk menerima bantuan termasuk 4 juta isi rumah dan dengan itu memanfaatkan 12.6 juta individu, iaitu sekitar 60 peratus daripada rakyat dewasa Malaysia.
Selain itu, golongan M40 juga mendapat manfaat dari segi pelbagai pelepasan cukai bagi pembelian barangan dan perkhidmatan yang bersifat lifestyle, contohnya seperti komputer riba mahupun caruman bagi perlindungan insurans dan skim-skim seperti Private Retirement Scheme yang bakal memanfaatkan mereka sendiri di masa hadapan.
Datuk Seri sering menyebut bahawa kaedah pemberian subsidi yang diamalkan oleh kerajaan pada ketika ini tidak baik untuk negara, boleh jelaskan mengapa?
Bukan saya kata ia tidak baik. Saya kata subsidi menyeluruh adalah satu dasar yang tidak mampan untuk kesejahteraan fiskal negara. Kita juga perlu tahu bahawa dari segi pengurusan kewangan Persekutuan, subsidi adalah satu bentuk Perbelanjaan Mengurus (OE). Oleh itu, mengikut undang-undang, ia tidak boleh dibiayai melalui pinjaman dan mesti dibiayai melalui kutipan hasil.
Jumlah pinjaman kasar kerajaan Persekutuan hanya dibenarkan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan. Pengecualian dibuat semasa pandemik, melalui Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 yang membenarkan langkah mitigasi krisis dibiayai melalui pinjaman, tetapi ini akan tamat pada Disember 2022.
Selain tuntutan perundangan, tidak berhutang untuk OE atau subsidi juga adalah satu disiplin fiskal yang baik. Dari segi prinsip pengurusan kewangan yang berhemat, kita tidak boleh meminjam untuk perbelanjaan mengurus atau subsidi, dan hanya boleh meminjam bagi aset jangka panjang atau pembangunan, kerana ianya membantu membina kapasiti negara, menjana ekonomi dan menyumbang kepada pertumbuhan masa depan. Ini seterusnya akan membantu menjana hasil yang lebih tinggi untuk membayar balik pinjaman pada masa depan.
Sebaliknya, pembayaran subsidi hari ini tidak akan menjana pendapatan untuk esok bagi membayar balik pinjaman.
Apakah kesan kepada rakyat jika pelaksanaan subsidi tidak dilakukan secara bersasar?
Saya pernah berkongsi bahawa unjuran bantuan dan subsidi bakal mencecah RM80 bilion pada tahun 2022. Ini sebenarnya akan melebihi jumlah perbelanjaan pembangunan 2022 dengan peruntukan sebanyak RM76 bilion.
Sebab itulah amat penting untuk kerajaan merangka mekanisme subsidi yang lebih bersasar untuk memberi manfaat kepada kumpulan yang paling terkesan.
Banyak yang boleh dijimatkan dengan pendekatan subsidi bersasar. Sekiranya peruntukan tidak perlu disalurkan untuk menampung kos subsidi menyeluruh yang bakal mencecah RM80 bilion tahun ini, penjimatan tersebut boleh digunakan untuk rancangan pembangunan bagi menjana ekonomi di masa depan, contohnya bagi sektor pendidikan, kesihatan danpengangkutan awam. Bukankah ini lebih baik?
Terdapat banyak faktor yang telah dipertimbangkan oleh kerajaan dalam hal ini. Subsidi bahan api menyeluruh yang dilaksanakan sekarang adalah tidak mampan dalam jangka masa panjang dan mengakibatkan ketirisan yang ketara.
RON95 kini dijual pada harga RM2.05 seliter dan diesel pada harga RM2.15 seliter. Bagi bulan Jun, harga purata tanpa subsidi ialah RM4.70 seliter untuk RON95 dan RM5.40 seliter untuk diesel. Perbezaan ini mewujudkan insentif yang besar untuk aktiviti penyeludupan, selain memanfaatkan juga golongan kaya serta perniagaan.
Ketirisan sumber negara ini amat dikesali memandangkan ia boleh digunakan untuk pelbagai pelan pembangunan dan penambahbaikan perkhidmatan awam.
Bagaimana dengan pengujian mekanisme pemberian subsidi petrol secara bersasar kerana difahamkan sebelum ini ia masih di peringkat awal. Adakah ada satu tarikh pengujian di lakukan secara rasmi?
Ujian mekanisme subsidi petrol secara bersasar telahpun dimulakan secara rasmi dan kerajaan memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan sebelum benar-benar bersedia melaksanakan pemberian subsidi petrol secara bersasar.
Pengujian awal subsidi petrol secara bersasar akan disusuli dengan pengujian lebih meluas dari segi beberapa kaedah lain dan menguji kebolehlaksanaan mekanisme tersebut bukan sahaja di kawasan bandar tetapi di luar bandar.
Kerajaan merancang pelaksanaan ini secara berfasa bagi memastikan ia tidak mengakibatkan inflasi secara mendadak atau menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi.
Harga petroleum tidak akan dinaikkan terus pada harga pasaran tanpa subsidi memandangkan impaknya kepada inflasi, walaupun harga RON95 adalah 50 peratus daripada harga kos sebenar atau kos tanpa subsidi.
Ada pihak mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan pengkelasan isi rumah susulan peningkatan kos sara hidup khususnya dalam soal perbelanjaan melibatkan keperluan harian seperti makanan agar kerajaan dapat melihat situasi sebenar rakyat pada ketika ini. Apa pandangan Datuk Seri?
Pengkelasan isi rumah B40 (bawah RM4,850 sebulan), M40 (antara RM4,850 dan RM10,960 sebulan) dan T20 (lebih RM10,960) pada masa ini masih merujuk kepada Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2019 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
HIES dilaksanakan dua kali setiap lima tahun dan dengan itu, nilai ambang golongan isi rumah akan dikemas kini melalui HIES 2022 yang dijangka diterbitkan pada 2023.
Kajian semula pengkelasan isi rumah perlu juga dilaksanakan mengambil kira penemuan DOSM semasa krisis Covid-19 bahawa lebih daripada 500,000 isi rumah telah mengalami pengurangan pendapatan yang ketara.
Namun begitu, tahun 2022 telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi dari segi pertumbuhan KDNK kukuh serta penurunan kadar pengangguran yang akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah, insya-ALLAH.