Sila log masuk terlebih dahulu.

Sampah angkasa dan mata-mata di langit

12 Ogos 2022 08:45am | Masa membaca: 4 minit
Mysa mengesahkan objek bercahaya melintasi ruang udara di Sarawak pada 31 Julai 2022  ialah serpihan roket Long March 5B milik China. - Foto Twitter
Mysa mengesahkan objek bercahaya melintasi ruang udara di Sarawak pada 31 Julai 2022 ialah serpihan roket Long March 5B milik China. - Foto Twitter
A
A
A

SEKITAR jam 12.50 tengah malam 31 Julai 2022, ramai penduduk di Sarawak yang terjaga kerana mendengar bunyi yang sangat kuat seperti guruh berpanjangan.

Mereka ternampak objek bercahaya terang terbang melintasi langit malam. Ada yang menyangka ia adalah meteor yang jatuh ke Bumi, ada pula yang berlucu Optimus Prime daripada filem Transformers sudah datang!

Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) kemudian mengesahkan objek tersebut ialah serpihan roket Long March 5B milik China. Serpihan itu sudah mengorbit Bumi beberapa kali dan terbakar ketika memasuk semula atmosfera sebelum terhempas di Laut Sulu.

Kebimbangan orang ramai terhadap ancaman sampah angkasa ini bukanlah tidak berasas. Bayangkan jika roket yang melintasi Sarawak itu menerobos atmosfera lebih awal seperti di sekitar Sumatera, tidakkah kebarangkalian sangat tinggi untuk ia menghentam Kuching atau Bintulu ketika orang sedang tidur?

Serpihan roket China itu bukanlah satu-satunya ancaman. Rangkaian Pengawasan Angkasa Amerika Syarikat (SSN) melaporkan sehingga Januari 2021, terdapat sebanyak 21,901 objek buatan berada dalam orbit Bumi, termasuk hampir 5,000 satelit yang masih operasi.

Bagaimanapun, itu hanyalah objek yang cukup besar untuk dijejaki. Lebih 128 juta keping lagi adalah serpihan yang lebih kecil daripada 1 sentimeter, kira-kira 900,000 keping serpihan 1-10sm, dan sekitar 34,000 keping lebih besar daripada 10sm.

Dalam satu insiden pada tahun 2002, seorang budak lelaki berusia enam tahun, Wu Jie menjadi orang pertama yang cedera akibat kesan langsung daripada serpihan angkasa lepas.

Dia mengalami keretakan jari kaki dan bengkak dahi selepas bongkah aluminium daripada kulit luar satelit berukuran 80smx50sm dan seberat 10 kilogram terkena dirinya ketika dia sedang duduk di bawah pokok pisang kaki di wilayah Shaanxi, China.

Pakar Astrofizik Universiti Harvard, Jonathan McDowell bagaimanapun berkata, kebarangkalian roket mengenai seseorang selepas ia jatuh ke Bumi hanyalah satu daripada beberapa bilion.

Sebagai perbandingan, semasa hujan meteor kira-kira 1,000 hingga 20,000 meteorit jatuh ke Bumi setiap jam, dan kebarangkalian orang terkena meteorit yang melebihi 200 gram adalah 1 dalam 700 juta; kebarangkalian orang disambar petir dalam hidupnya pula ialah 1 dalam 12,000.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Sekalipun wujud ancaman dari langit, banyak negara terus berlumba-lumba membangunkan teknologi angkasa lepas.

Malah, pengasas Tesla dan SpaceX, Elon Musk baru-baru ini mendedahkan dia kini sedang merancang untuk membina 1,000 kapal angkasa yang bakal menjadi pengangkutan utama manusia dan kehidupan lain ke Marikh.

Menurut beliau, kehidupan di berbilang planet bakal membantu memulihkan ekosistem di Bumi.

Merujuk kepada cerita Nabi Nuh yang membina sebuah bahtera dengan tujuan untuk menyelamatkan umat manusia daripada banjir besar, Musk berkata model kapal angkasanya pula bakal menjadi 'Bahtera Nuh Moden' yang mampu menyelamatkan manusia daripada segala malapetaka yang akan berlaku di Bumi.

Namun begitu, perlumbaan sebenar angkasa lepas bukanlah tentang memenuhi ego orang kaya seperti Elon Musk, sebaliknya mengenai penguasaan Big Data atau Data Raya yang diperoleh melalui satelit.

Satelit kini digunakan untuk pelbagai tujuan daripada penyiaran, pertanian dan meteorologi sehinggalah keselamatan dan pengintipan.

Teknologi pengimejan juga semakin canggih sehingga digelar sebagai 'mata di langit'. Satelit WorldView-3 Maxar misalnya boleh membezakan antara tompok gelap dan terang, serta warna yang berbeza, cukup untuk mengenal pasti individu dan objek kecil di bandar raya Kuala Lumpur.

Menurut Statista.com, daripada 4,852 satelit buatan aktif yang mengorbit Bumi pada 1 Januari 2022, 2,944 adalah milik Amerika Syarikat. Pesaing terdekatnya, China, hanya ada 499 buah. Malaysia pula baru melancarkan satelit ke-10, Measat-3D pada 23 Jun lalu.

Malangnya ketika dunia luar berlumba-lumba menguasai angkasa lepas, kita di Malaysia masih bergelut dengan isu kapal laut yang tidak siap-siap. Tak tahu bagaimana ributnya kalau kita cuba membina kapal angkasa pula.

*Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. MBS galas tanggungjawab berat PM Arab Saudi
  2. Drama tikam lidah sidang akhbar
  3. Paling murah jika genap penggal
  4. Jika salah, heret sahaja saya ke mahkamah: Siti Nur Atiqah
  5. Kenal pasti keadaan kewangan sebelum buat tabungan