Sila log masuk terlebih dahulu.

Strategi STAW dalam politik

17 Ogos 2022 08:50am | Masa membaca: 4 minit
Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SUN Tzu Art of War (STAW) adalah satu kumpulan titik kata mengenai susunan tindakan berstrategi yang amat terkenal, disusun Sun Tzu sekitar 2,500 tahun lalu. Saya tidak mahu bincang di sini tentang kontroversi tarikh dan siapa Sun Tzu sebenar.

STAW banyak dipelajari dan digunakan ramai pakar strategi dalam pelbagai bidang seperti kancah peperangan, perniagaan atau politik.

STAW fokus kepada strategi memenangi perlawanan khususnya peperangan. Ia sering digunakan pakar strategi. Kalau tidak pun, golongan yang mahu menang dalam apa-apa perlawanan atau membantu orang lain yang terlibat sama ada kawan, ketua atau mungkin klien.

Apabila ada modus operandi melibatkan mencari kemenangan dalam perlawanan, STAW adalah pilihan utama walaupun selalunya digabungkan dengan teori atau metode lain. Mereka yang berlawan dalam bidang perniagaan atau dalam perebutan kuasa politik melalui pilihan raya, ramai menggunakan STAW.

Sekiranya ditukar istilah ‘perlawanan’ kepada ‘persaingan’, kita faham konteks istilah-istilah ini daripada perspektif berbeza.

Dalam peperangan tidak ada persaingan atau perlumbaan, cuma menang atau kalah. Persaingan atau perlumbaan dalam konteks peperangan hanya wujud sebelum berlakunya perang, seperti persaingan menyediakan senjata atau bala tentera.

Sebaliknya, persaingan wujud dalam ‘perlumbaan’ memenangi lumba lari, lumba basikal dan seumpamanya. Siapa sampai dahulu di garis penamat akan dikira menang. Begitu juga perlumbaan memenangi emosi pelanggan dalam perniagaan.

Mana-mana syarikat niaga yang dapat memenangi minda dan emosi lebih ramai pelanggan dikira menguasai pasaran dan dikira sebagai pemenang.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Sejak tahun 1980-an, perniagaan semakin beralih mengikut strategi perang ala STAW dan memberi tumpuan kepada pemasaran.

Syarikat niaga semakin mengurangkan fokus memburukkan pesaing, kerana itu juga dikira memberi iklan percuma kepada pesaing.

Sewaktu Toyota mula memasuki pasaran kereta mewah sekitar tahun 1989 melalui jenama Lexus, ia membawa moto 'Kemewahan Pada Harga Mampu Bayar' dan berjaya memikat emosi pelanggan yang meletak ‘mampu bayar’ sebagai ciri utama. Pasaran melihat Mercedes boleh dikalahkan.

Namun kemudian Mercedes hadir dengan model lebih hebat, menaikkan harga dan kempen dengan moto ‘Beli Mercedes, Anda Dapat Prestij’. Mercedes menang dalam persaingan itu walaupun harga semakin mahal.

Fokusnya untuk memikat minda dan emosi pelanggan. Kemenangan di sini lebih bermaksud mengatasi atau mendahului.

Dalam kancah perebutan kuasa politik melalui pilihan raya, istilah ‘perlawanan’ boleh mengalih tumpuan minda daripada strategi lebih ampuh.

Mereka yang dapat undi sedikit masih boleh berfungsi dalam masyarakat. Mereka tidak kalah seperti tewasnya tentera dalam peperangan.

Malah, tidak mustahil dalam kancah politik, orang yang dapat undi tercorot boleh diangkat menjadi menteri.

Dengan minda ‘perlawanan’ dalam pilihan raya, tumpuan adalah kepada dua perkara utama iaitu kalahkan lawan dan kita diisytihar menang. Sedangkan ia hanyalah satu iaitu kita mendahului atau ‘pesaing’ kita yang mendahului.

Strategi minda ‘perlawanan’ tidak sama dengan strategi minda ‘persaingan’.

Minda ‘perlawanan’ dalam proses pilihan raya banyak merugikan tenaga, kewangan dan masa mereka yang terlibat. Ada kalanya menguntungkan lawan kerana memberi iklan percuma kepadanya, membangkitkan lawan yang sedang tidur, membuka ruang simpati percuma kepada lawan atau boleh dikenakan tindakan undang-undang jika terlajak seperti merosakkan poster lawan sewaktu pilihan raya.

Ia juga boleh merugikan negara terutama apabila dalam usaha memburukkan lawan, ada kalanya kita buka rahsia dan kelemahan negara.

Sekiranya kita ubah minda ‘perlawanan’ kepada minda ‘persaingan’ sebagaimana berlaku antara Toyota dan Mercedes, dan mengubah rujukan strategi daripada STAW kepada Pemasaran Politik, ia adalah strategi yang lebih ampuh untuk zaman ini. Obama dan Justin Trudeau sudah buktikan.

Saya percaya, jika kita ubah cara berfikir dan bertindak dalam usaha memenangi persaingan politik, negara akan lebih aman dan stabil.

* Dr Mohd Fauzi Shaffie ialah mantan pensyarah pemasaran di Universiti Multimedia.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Cadang Pemuda UMNO tolak lantikan kabinet, GLC
  2. BN wajar dapat kuota lebih dalam kabinet
  3. Teknologi kawal subsidi bersasar
  4. Rakyat Malaysia melancong ke Israel bukan suatu isu
  5. Bahasa di mulut pemimpin