Sila log masuk terlebih dahulu.

Fahami perubahan budaya politik

20 Ogos 2022 08:40am | Masa membaca: 4 minit
Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SETELAH melakukan perubahan bersejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), landskap politik Malaysia tidak banyak berubah.

Umum menjangkakan perubahan tersebut membawa angin baharu dalam politik negara. Malangnya, selepas empat tahun berlalu, keadaannya masih sama.

Antara perubahan yang diharapkan adalah kemunculan budaya politik baharu. Selama 60 tahun di bawah hegemoni pemerintahan tunggal parti Barisan Nasional (BN) menyaksikan budaya politik negara menjadi terlalu parokial yang berakar kuat menerusi ikatan primordial.

Ikatan primordial menerusi unsur kaum, agama dan budaya menjadi garis pemisah dalam setiap tindakan politik, yang akhirnya membentuk pola orientasi serta sikap masyarakat dalam berpolitik.

Lebih parah, terselit ‘kesedaran palsu’ elit politik yang menyukarkan pembudayaan politik konstruktif dan partisipatif sesuai dengan acuan masyarakat kita yang rencam.

Umumnya, budaya politik parokial membentuk masyarakat yang pasif berjiwa kaula (hamba).

Dalam situasi sebegini, akan wujud sebuah masyarakat yang politiknya mundur walaupun negara itu pesat membangun dan mencapai kemajuan menerusi bidang-bidang lain.

Maka, tidak hairan teori pemodenan klasik Saintis Politik Universiti Stanford, Seymour Martin Lipset (1959) yang mengatakan demokrasi sesebuah negara akan menjadi lebih baik jika ekonominya semakin maju dan moden tidak begitu kena dengan konteks di Malaysia.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Kemunduran itu bukan kerana tiada ilmu, kefahaman atau minat politik tetapi disebabkan masyarakatnya memilih untuk pasrah menerima apa yang berlaku disebabkan kesedaran palsu gagal dipecahkan.

Sudahnya, ruang lingkup pemikiran masyarakat hanya terbentuk berdasarkan hegemoni elit yang membentuk keseluruhan sistem dan budaya politik tersebut.

Budaya politik dan sistem politik adalah unik serta berbeza. Sesebuah negara boleh mengamalkan sistem politik serupa.

Sebagai contoh, amalan demokrasi berparlimen di United Kingdom serupa dengan Malaysia, namun budaya politiknya berbeza disebabkan faktor sejarah, sosioekonomi dan demografi yang berlainan.

Bagaimanapun, budaya politik tetap dikaitkan dengan tingkah laku, sikap dan penerimaan masyarakat terhadap sistem politik sesebuah negara.

Ringkasnya, apa juga tindakan atau keputusan politik yang mempengaruhi sikap, persepsi dan orientasi masyarakat terhadapnya, lazimnya akan membentuk suatu budaya politik yang melatari sistem berpolitiknya.

Dinamik

Sebab itu, budaya politik sesuatu masyarakat bersifat dinamik dan tidak statik. Perubahan politik akan turut memberikan perubahan budaya politik. Isunya cepat atau lambat, sikit atau banyak yang menjadi persoalan.

Faktor pengalaman dan pengajaran daripada sesuatu perubahan akan mempengaruhi impaknya terhadap sikap serta penerimaan masyarakat.

Dalam konteks pasca PRU14, perubahan budaya politik masih berlaku walaupun tidak bersifat pragmatik sehingga mengubah keseluruhan struktur dan membawa perilaku budaya baharu.

Sistem nilai dan kepercayaan masyarakat yang berbeza-beza turut menyumbang kepada perubahan tersebut. Tidak semua kelompok masyarakat mampu menjadi begitu kondusif dengan sebarang perubahan, apatah lagi yang menyentuh struktur nilai dan kepercayaan yang abstrak sifatnya dalam konteks masyarakat konservatif serta transaksional.

Sejauh mana pun dambaan terhadap sesuatu perubahan, biarpun baik impaknya masih belum cukup untuk meruntuhkan kerangka politik masyarakat yang sudah terbiasa dengan budaya politik sedia ada.

Justeru, mengharapkan perubahan budaya selepas perubahan rejim yang julung kali berlaku boleh dianggap terlalu idealis dan tidak realistik.

Tetapi sekurang-kurangnya kita sudah berjaya melakukan perubahan. Paling tidak, kita sudah boleh menilai sendiri impak perubahan tersebut secara peribadi kalaupun tidak seluruhnya.

Kita merasai dan belajar daripada perubahan tersebut, bagaimana perubahan itu mampu membawa kita kepada perubahan-perubahan yang lebih positif dan substantif.

Perubahan adalah sesuatu yang bersifat evolusi dan progresif. Yang penting adalah bagaimana kita boleh berkembang selepas melakukan perubahan tersebut, apatah lagi membentuk sesuatu yang baharu daripadanya.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. 'Hadi terkhilaf tuduh saya ahli Freemason, tapi tidak minta maaf' - Anwar
  2. Anwar mahu bertanding kerusi pengkhianat PKR
  3. 'Recycle' pemimpin pencen, tanduskah pemimpin muda?
  4. Tidak mustahil Setiausaha Agung wanita daripada DAP
  5. 'Kaji mengapa sekolah vernakular lebih menjadi pilihan'