Sila log masuk terlebih dahulu.

Dari Putrajaya ke Kajang, Najib PM pertama ke tirai besi

23 Ogos 2022 06:47pm | Masa membaca: 4 minit
Najib kini menjadi Perdana Menteri pertama yang dipenjarakan dalam sejarah negara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengenepikan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini berhubung penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.
Najib kini menjadi Perdana Menteri pertama yang dipenjarakan dalam sejarah negara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengenepikan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini berhubung penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini sah menjadi Perdana Menteri pertama yang dipenjarakan dalam sejarah negara ini.

Hal ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengenepikan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini berhubung penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Berikutan keputusan sebulat suara lima panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat itu, Najib, 69, menjadi bekas pemimpin tinggi kerajaan yang kedua selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal dalam rayuan akhir dan terpaksa menghabiskan waktu tertentu di sebalik tirai besi.

Selain Najib dan Anwar, antara pemimpin tinggi kerajaan yang lain yang pernah disabitkan kesalahan penjara adalah dua bekas Menteri Besar Selangor iaitu Allahyarham Datuk Seri Harun Idris (Penjara Pudu pada tahun 1978) dan Dr Mohamad Khir Toyo (Penjara Kajang pada tahun 2007).

Selain itu pada 6 Mac 1983, bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taha Talib.

Hukuman itu kemudian diubah kepada penjara seumur hidup setelah Mokhtar mendapat pengampunan diraja

Berbalik kepada kes Najib, keputusan penghakiman pada Selasa yang dibacakan Tengku Maimun menjelaskan pihaknya mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan tuduhan berkenaan.

Susulan keputusan itu, Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bermula hari ini (Selasa).

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Najib pada 28 Julai 2020 didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International, menyusuli perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang berlangsung sejak empat tahun lalu.

Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 pula mengekalkan hukuman dan sabitan ke atas Najib itu.

Secara ringkas, perjalanan empat tahun Najib melalui proses perbicaraan kes SRC International bukan sahaja rumit, tetapi memakan masa amat panjang.

Bagi Najib, segala usaha telah dilakukan bagi membela diri, malah dalam pecutan terakhir beliau juga sempat melafazkan sumpah mubahalah atau sumpah laknat menafikan penglibatan beliau dalam kes terbabit.

Lebih menarik, perjalanan prosiding rayuan akhir kes beliau di Mahkamah Persekutuan turut dikejutkan dengan drama pertukaran dan pengguguran peguambela Najib pada saat akhir, di samping timbul perang persepsi untuk mewujudkan keraguan terhadap integriti Istana Kehakiman.

Berikutan keputusan terkini berkenaan, karier politik Najib juga boleh dianggap sudah hampir terkubur, walaupun populariti beliau pada saat ini boleh dianggap paling memuncak.

Hal ini kerana Najib secara automatik hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen di samping tidak layak menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu berdasarkan peruntukan Artikel 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan di mana seseorang itu tidak layak menjadi calon sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah artikel sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.

Sementara itu, pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpandangan bukan mudah untuk Najib menerima pengampunan diraja daripada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan diketuai Yang di-Pertuan Agong sendiri, sekiranya terdapat permohonan ke arah itu.

Hal ini kerana lembaga khas itu perlu melalui proses yang panjang untuk menilai dan mengenal pasti kerelevanan permohonan itu diperkenankan oleh panel diketuai Seri Paduka Baginda sendiri, walaupun kes duluan perkara itu sudah ada, merujuk proses pengampunan diraja diterima Anwar selepas PRU14.

"Perkara 42 yang memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan-kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Tentera dan kesalahan-kesalahan di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

"Walaupun asalnya kuasa pengampunan ini ialah kuasa budi bicara institusi beraja, Perkara 42(4)(a), Perlembagaan Persekutuan meletakkan syarat bahawa kuasa pengampunan itu hendaklah dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.

"Lagipun Perlembagaan Persekutuan tidak menyediakan secara jelas mengenai prosedur dan tempoh masa proses permohonan pengampunan diputuskan. Namun, saya percaya satu proses masa panjang diperlukan Lembaga Pengampunan untuk menilainya susulan ia melibatkan soal integriti institusi diraja itu sendiri," tegas Nik Ahmad Kamal.

Selain rayuan akhir kes SRC International, Najib turut berdepan dengan satu lagi kes penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika ini.

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. 'Menanam tebu di tepi bibir'
  2. Mencari keberanian penjawat awam
  3. Ulama rasai denyut nadi masyarakat
  4. Menyusun semula Malaysia
  5. Antara fenomena Menu Rahmah dan mercun 'ramah'