Sila log masuk terlebih dahulu.

95 individu Islam ditahan minum arak di kelab malam

05 September 2022 09:15am | Masa membaca: 4 minit
Seramai 36 orang individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan syariah dalam operasi bersepadu bersama agensi lain pada 19 Ogos lalu. Foto: FB DBKL
Seramai 36 orang individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan syariah dalam operasi bersepadu bersama agensi lain pada 19 Ogos lalu. Foto: FB DBKL
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah menahan seramai 95 individu beragama Islam berumur 25 hingga 40 tahun atas kesalahan minum arak di premis hiburan sekitar Kuala Lumpur sepanjang Ogos lalu.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, kesemua mereka ditahan dalam tiga operasi bersepadu bersama beberapa agensi lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Suspek atau orang yang disyaki (OYDS) ditahan di bawah Seksyen 19 Akta 559 (Minuman yang memabukkan), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

"Setakat ini, Surat Perintah Hadir (SPH) telah dikeluarkan kepada 206 orang bagi tujuan khidmat nasihat. OYDS yang diberikan SPH diarah untuk menghadiri Kursus Pemantapan Akidah (KPA) dikendalikan Bahagian Penguatkuasaan Jawi.

“Kursus ini memberi penerangan tentang undang-undang kesalahan jenayah syariah yang sedang berkuat kuasa, di samping sesi kaunseling supaya mereka tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Datuk Mohd Ajib Ismail
Datuk Mohd Ajib Ismail

Ujar Mohd Ajib, individu yang ditahan dan didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mengikut peruntukan di bawah Seksyen 19 Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

Bagi negeri Selangor, Seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor memperuntukkan hukuman denda sebanyak sebRM3,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan orang Islam minum minuman memabukkan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Peruntukan dan hukuman sama juga termaktub dalam Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor berkata, umat Islam wajib membenci kelab malam dan tidak menjejakkan kaki ke tempat sedemikian walaupun dengan alasan sekadar mahu berhibur atau menenangkan fikiran.

Katanya, kelab malam tidak mampu menyelesaikan masalah hidup sebaliknya menambah kekusutan dan mendedahkan diri kepada kemurkaan ALLAH SWT.

Operasi Bersepadu Premis Hiburan (Kelab Malam) Siri 7/2022 di sekitar Solaris Dutamas, Desa Parkcity, Jalan Ipoh dan Jalan Kemunting, Kuala Lumpur pada 19 Ogos lalu bermula jam 10 malam hingga 5.30 pagi. Foto: FB DBKL
Operasi Bersepadu Premis Hiburan (Kelab Malam) Siri 7/2022 di sekitar Solaris Dutamas, Desa Parkcity, Jalan Ipoh dan Jalan Kemunting, Kuala Lumpur pada 19 Ogos lalu bermula jam 10 malam hingga 5.30 pagi. Foto: FB DBKL

“Tempat seperti ini pada kelazimannya disertai dengan pelbagai elemen yang boleh menjurus kepada maksiat, antaranya minuman keras, judi, tarian yang mendedahkan aurat, percampuran bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram dan sebagainya.

“Walaupun pada permulaannya mungkin seseorang itu tidak ikut melakukan perbuatan terlarang dalam Islam, namun dibimbangi sedikit demi sedikit akan terseret ke jurang maksiat.

“Tiada siapa yang terjamin daripada terjebak dalam kemaksiatan, apatah lagi ketika sering melihat orang di sekelilingnya melakukan perkara tersebut. Sudah menjadi lumrah dan tabiat manusia yang mudah terpengaruh,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Salim berkata, seorang Muslim sejati tidak akan tergamak berkunjung ke kelab malam kerana ia boleh merosakkan agama dan akhlak.

Menurutnya, seorang Muslim perlu membiasakan diri dengan menghadiri program berbentuk ibadat dan mendengar kuliah atau ceramah di masjid berdekatan.

“Carilah hiburan dan ketengan jiwa dengan sering membaca al-Quran, mendirikan solat sunat dan zikrullah,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Perubahan itu indah
  2. Uniknya penulis bertemu penulis
  3. Anwar serius banteras amalan rasuah penjawat awam
  4. Apa Haji Hadi mahu?
  5. 5 implikasi negatif projek tanpa tender