Sila log masuk terlebih dahulu.

SUNGAI RAMBAI SUNGAI PALING TERCEMAR DI MALAYSIA

15 September 2022 | Laporan Khas



Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi satu-satunya sungai di Malaysia, menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 juga meletakkan sembilan lagi sungai tercemar berada pada Kelas Empat antaranya lima di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Selangor/Kuala Lumpur.

Sejumlah 24 lagi sungai berdasarkan laporan itu berada di Kelas Tiga iaitu sederhana tercemar, merangkumi sungai di tujuh negeri di Pantai Barat Semenanjung iaitu Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Selangor/Kuala Lumpur.

Pengarah Bahagian Air dan Marin, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Mustafa berkata, punca utama pencemaran sungai ini adalah daripada pelepasan kumbahan atau buangan daripada kawasan penternakan atau penempatan penduduk di sekitar kawasan berhampiran sungai.

Airnya hitam! Busuk! Ada bangkai haiwan! Jadi tempat buangan sisa najis dan boleh mendatangkan penyakit! Itulah gambaran sebenar Sungai Rambai.

Malah ketika tinjauan dilakukan di lokasi, penduduk di Tanah Merah Site A mendakwa kawasan itu dijaga gengster selain terdapat aktiviti penyembelihan babi secara haram.

Apa yang bermula sebagai tinjauan mengenai sungai paling tercemar di Malaysia, wartawan kami membongkar lebih banyak misteri di Sungai Rambai ini.

Wartawan kami menemui air merah yang mengalir terus ke dalam Sungai Rambai, kereta wartawan dikejar dan dihimpit kenderaan lain dipercayai 'penjaga' kawasan di situ.

Hasil ujian makmal membongkar misteri kandungan air merah itu di mana ia dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Tahap pencemaran sungai itu juga sangat tinggi di mana koliform najis di dalam sungai adalah sebanyak 6.4 juta colony forming unit (cfu)/100 mililiter (ml) iaitu nilai mengatasi Kelas Lima, Standard Kualiti Air Kebangsaan.

Nilai Bakteria Escherichia Coli (E. Coli) juga menjangkau 1.8 juta cfu/100ml dan langsung tidak sesuai untuk sentuhan manusia kerana nilai bakteria sangat tinggi dan boleh mendatangkan risiko patogenik kepada manusia.

Dan adakah ini punca sebenarnya pencemaran yang teruk dialami Sungai Rambai? Semuanya terjawab dalam dokumentari khas ini.