SHAH ALAM - Setiap negara seharusnya beri fokus bina lebih banyak bangunan-bangunan hospital berbanding penganjuran konsert-konsert di stadium.
Doktor Aktivis, Dr Malar atau nama sebenarnya Dr Malar Santhi Santherasegapan berkata, ia bertujuan bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan di negara ini lebih kuat, stabil dan bersiap sedia mendepani penularan penyakit berjangkit pada bila-bila masa.
Ujar beliau, negara perlu mengambil pengajaran selepas melihat penularan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan besar kepada negara dalam tempoh dua tahun.
“Setiap lima atau 10 tahun sebenarnya memang akan ada wabak (outbreak) cumanya sebelum ini ramai tak ramai boleh melancong.
“Sekarang, semua orang boleh melancong, lebih cepat ia boleh menular,” katanya ketika dalam program Bersama Johan Jaaffar berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Ulas Dr Malar, penularan penyakit berjangkit pada masa kini semakin membimbangkan dan kerajaan perlu memastikan supaya strategi atau langkah persediaan menghadapi wabak penyakit berjangkit pada masa akan datang telah dilakukan.
“Saya kira sebenarnya Covid-19 atau kita panggil sindrom pernafasan akut kritikal coronavirus-2 (SARS-CoV-2) wujud pada 2019.
“SARS-CoV-1, Sindrom Pernafasan Timur Tengah coronavirus (MERS-CoV) dan sebagainya sudah wujud pada 2013, 2016 dan kemudiannya lagi ada pada 2019.
“Jadi memang kita kena bersiap sedia. Penyakit berjangkit lah yang akan memusnahkan ekonomi pentadbiran dan macam-macam lagi,” ujarnya.