Sila log masuk terlebih dahulu.

'Kepembangkangan' bentuk baharu

24 September 2022 07:50am | Masa membaca: 4 minit
Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MINGGU lalu kita telah membincangkan perlu atau tidak Pakatan Harapan (PH) menerima Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai komponen terbaharu mereka.

Dalam perbincangan itu, penyertaan Muda ke dalam PH banyak menyentuh aspek kompromi terutama PKR dan elemen pengajaran buat PH selepas apa yang berlaku ketika memerintah bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Untuk berlaku adil, keputusan Muda menyertai PH timbul berdasarkan dua perkara. Pertama, Muda diperhatikan semakin serius untuk bersaing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah berhasil ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor.

Bagi meluaskan pengaruh dan momentumnya, menyertai pakatan besar serta stabil lebih menguntungkan Muda, berbanding bergerak sendiri. Kedua, Muda juga sedar realiti politik Malaysia semakin bergerak ke arah pluralisme kepartian dalam kerangka persaingan dua parti.

Justeru, jika Muda memilih mengabaikan realiti tersebut, maka jangka hayat parti itu mungkin tidak lama. Dengan trend penerimaan pengundi semakin baik terhadap parti-parti politik yang progresif berasaskan ideologi dan prinsip, Muda akan lebih diyakini jika bergerak secara kelompok.

Ia disebabkan kecenderungan pengundi lebih meyakini gabungan yang stabil berbanding parti tunggal. Hakikatnya, perubahan politik yang berlaku ketika ini menunjukkan bagaimana transisi daripada rejim hibrid semi-autoritarian masih tidak mengikis sifat persaingan yang ada.

Gerakan ‘kepembangkangan’ masih lagi bersaing di atas paksi dan DNA serupa sejak Era Reformasi 1998 memangkin pembentukan dan evolusi ‘kepembangkangan’ yang lebih kemas serta tersusun.

Pertentangan dalam kerangka dua parti itu menonjolkan saingan antara prestasi (kerajaan) dan ideologi (pembangkang). Walaupun begitu, kekuatan penyandang yang utuh gagal disaingi pembangkang disebabkan parti kerajaan bergerak dalam kerangka gabungan besar (grand coalition) pelbagai kaum yang kuat dan dominan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Justeru, keperluan untuk pembangkang bergabung adalah sangat kritikal. Sebelumnya, pembentukan pakatan pembangkang lebih bersifat strategik bagi menghadapi BN dalam setiap pilihan raya.

Mengambil kira politik pilihan raya yang dinamik dan cair (fluid) sifatnya, pembentukan kerjasama strategik adalah normal.

Formula itu menjadi asas politik pilihan raya negara dalam konteks pengundian berdasarkan kaum menyukarkan parti-parti bersifat ideologi memberikan tentangan secara bersendirian.

Keputusan pilihan raya pembangkang selepas itu adalah hasil berdekad mempamerkan penentangan ideologi dalam konteks rejim semi-autoritarian yang mematangkan mereka dari sudut pengoperasian politik ‘kepembangkangan’.

Pakatan pembangkang mula membina momentum dalam beberapa siri pilihan raya umum. Walaupun sering tewas tetapi sokongan di peringkat akar umbi semakin bertambah dan mula bertapak sehingga kukuh. Inilah membawa kepada perubahan rejim ketika PRU14.

Mungkin Muda sebagai sebuah parti baharu tidak merasai detik tersebut. Lagipun Muda lahir ketika negara sedang meniti transisi politik semi-autoritarian yang sebelumnya banyak menyusahkan gerakan pembangkang.

Jadi, Muda beruntung tidak rasa kesukaran dikekang dengan pelbagai tekanan dalam perjuangan politik mereka sebagaimana parti-parti pembangkang yang lain.

Cuma menghairankan, ketika persaingan semakin terbuka ditambah dengan pengundi yang dinamik, rasional dan kritikal, gerakan pembangkang seperti kembali longgar serta kelam-kabut.

Benar perubahan itu memerlukan setiap parti cepat beradaptasi, namun keterikatan ideologi dan semangat ‘kepembangkangan’ dalam DNAnya yang sebenar sepatutnya menjadi lebih kemas dan terkini.

Apakah kerana pembangkang masih bergerak dalam kerangka ‘mahu menjatuhkan BN’ – sesuatu yang sudah pun berjaya dicapai walaupun pramatang – maka gerakan pembangkang tidak berjaya melakukan suatu yang baharu di sebalik perubahan yang sepatutnya berkelebihan untuk mereka?

Apakah barangkali pembangkang sudah perlu untuk menukar pimpinan sedia ada dengan mereka lebih muda dan segar agar ‘kepembangkangan’ itu juga menjadi sedemikian?

Ketika persaingan semakin mengecil akibat kemunculan parti politik yang pelbagai, aspek ‘kepembangkangan’ nampaknya tergelincir ke arah kekakuan merisaukan.

Walaupun dari aspek persaingan pilihan raya, ia kelihatan bagus, namun dari aspek pendemokrasian, ia membunuh kualiti persaingan itu secara perlahan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Cadang Pemuda UMNO tolak lantikan kabinet, GLC
  2. BN wajar dapat kuota lebih dalam kabinet
  3. Teknologi kawal subsidi bersasar
  4. Rakyat Malaysia melancong ke Israel bukan suatu isu
  5. Bahasa di mulut pemimpin