Sila log masuk terlebih dahulu.

Manifesto PN mesra anak muda

27 September 2022 07:00am | Masa membaca: 4 minit
Manifesto PN turut fokus kepada aspek ‘mesra anak muda’.
Manifesto PN turut fokus kepada aspek ‘mesra anak muda’.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), manifesto menjadi antara isu panas apabila beberapa janji kerajaan dikatakan gagal ditunaikan.

Pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam, penghapusan tol secara berperingkat dan gaji minimum RM1,500, antara manifesto yang ditagih pengundi.

Ia juga menyaksikan tiba-tiba timbul frasa popular 'manifesto bukan kitab suci'.

Yang pasti, menjelang PRU15 yang makin hampir parti-parti kini sedang mempersiapkan manifesto masing-masing untuk menawan hati rakyat.

Persoalannya, adakah manifesto ini mampu ditunaikan atau ia sekadar janji bulan bintang untuk membeli jiwa rakyat.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, manifesto Perikatan Nasional (PN) yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bersifat lebih praktikal selain mesra anak muda.

Menurutnya, manifesto tersebut sedang dirangka mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat di lapangan.

Ujar beliau, penekanan aspek praktikal itu bermaksud ia boleh dilaksanakan dengan kemampuan kewangan kerajaan yang ada pada hari ini.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Apa yang pasti, PN akan menekankan isu integriti yang mengakibatkan ketirisan berpuluh juta ringgit setiap tahun, penjimatan hasil daripada ketirisan yang dikawal ini boleh dibelanjakan untuk tujuan subsidi dan merangsangan perbelanjaan serta ekonomi golongan B40 dan M40,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ketua Pemuda Pas itu berkata, manifesto tersebut turut fokus pada aspek ‘mesra anak muda’ yang memberi keutamaan ke arah pelaksanaan bantuan serta inisiatif terhadap generasi muda di negara ini.

“Aspek ini akan menumpukan kepada isu-isu sekitar perbelanjaan pengajian di peringkat ijazah pertama, pembelian rumah pertama dan kenderaan pertama.“Apapun apabila sampai masanya, PN akan mengeluarkan manifestonya,” ujarnya.

Jangan jadikan manifesto sekadar alat kempen

Parti-parti politik harus menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu sebagai pengajaran dan jangan menjadikan manifesto sekadar alat kempen untuk memenangi emosi serta mengurus persepsi dalam kalangan pengundi.

Profesor Dr Sivamurugan Pandian
Profesor Dr Sivamurugan Pandian

Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, apa yang berlaku dalam pilihan raya yang lepas adalah ada janji yang ‘ditaburkan’ sukar dilaksanakan sedangkan manifesto yang ditawarkan haruslah bersifat realistik dan mampu dipenuhi.

Namun, pada masa yang sama, beliau mengingatkan agar pengundi juga harus bersikap realistik dan tidak boleh mengharapkan parti politik memberikan janji-janji yang sukar dipenuhi.

“Kedua-dua pihak memainkan peranan penting. Bukan sahaja parti politik tetapi pengundi juga harus bersikap rasional supaya tidak menyatakan mereka tertipu atau terpedaya kemudiannya.

“Pengundi harus mempunyai literasi politik yang sudah berubah agar mereka tahu, manakah parti politik yang sebenarnya mampu untuk melaksanakan apa yang cuba disampaikan oleh mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau yang juga Pensyarah Sosiologi Politik di Universiti Sains Malaysia berkata, ada pelbagai perkara yang akan diteliti oleh pengundi seperti ketokohan calon, kewibawaan parti dan isu yang dibawa parti.

Dari situ katanya, parti akan mendokumenkan manifesto untuk disampaikan kepada pengundi.

“Manifesto ini harus bersifat menyeluruh, komprehensif dan menjadi alat penghubung antara pengundi, parti dan calon. Bermakna, setiap kumpulan sasar pengundi itu harus dirangkumkan dalam manifesto tersebut.

“Maksudnya, kepentingan wanita harus diberikan keutamaan, golongan muda apatah lagi dengan ramainya pengundi berusia 18 tahun dan jangan dilupa pengundi warga emas. Setiap kelompok itu mengikut umur, perlu diberikan keutamaan.

“Begitu juga dari segi jantina, pendidikan, pekerjaan, kemudahan dan infrastruktur. Kesemua itu diambil kira dan penting untuk dimasukkan dalam manifesto. Mengambil kira situasi sekarang, saya rasakan parti-parti perlu memerihalkan perkara-perkara yang harus diutamakan contohnya berkaitan dengan kos sara hidup,” jelasnya.

Tambah Sivamurugan, manifesto adalah salah satu alat penting biarpun bukan satu-satunya tetapi diperlukan dan menjadi dokumen yang penting dalam pilihan raya.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Cari penyelesaian atasi peningkatan kos sara hidup
  2. Adakah kejutan dalam kabinet Anwar?
  3. [VIDEO] 'Masih ada tempat tiada telur'
  4. Nak dapat sepapan telur pun susah
  5. Berhentilah menjadi tukang karut