Sila log masuk terlebih dahulu.

[KEMASKINI] 'Hadi terkhilaf tuduh saya ahli Freemason, tapi tidak minta maaf' - Anwar

28 September 2022 11:02pm | Masa membaca: 4 minit
ANWAR
ANWAR
A
A
A

[KEMASKINI] PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah terkhilaf apabila menuduh beliau pro Yahudi dan ahli kumpulan sulit Freemason melalui satu surat terbuka kepada ulama dunia sebelum ini.

Bagaimanapun, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kesal apabila duta khas bertaraf menteri itu enggan memohon maaf kepada beliau sehingga kini.

Jelas Anwar, apabila pertuduhan berat itu dikemukakan Abdul Hadi melalui satu surat terbuka kepada Pertubuhan Ulama Dunia pada tahun 2020, pihaknya membuat siasatan dan mendapati individu bernama 'Anwar Ibrahim' yang dikaitkan sebagai ahli kumpulan Freemason sebenarnya merupakan warganegara Kanada.

"Bila saya dituduh sebagai ahli Freemason, saya siasat dan dapati memang ada individu bernama 'Anwar Ibrahim' berasal dari Kanada dan merupakan ahli kumpulan itu.

"Jadi saya anggap Tuan Guru Abdul Hadi terkhilaf kerana mungkin dia tersalah anggap individu dituduh adalah saya.

"Apabila wajah individu bernama Anwar Ibrahim itu ditunjukkan kepadanya (Abdul Hadi), saya kira Abdul Hadi akan mohon maaf, namun hingga kini beliau langsung tidak pernah berbuat demikian.

"Sebagai seorang tokoh ulama, sepatutnya apabila terbukti mereka terkhilaf, mereka akan segera memohon maaf. Namun saya kesal perkara itu tidak berlaku," katanya dalam program Sembang Kencang bersama Anwar Ibrahim anjuran Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menyorot kembali dakwaan Abdul Hadi melalui sepucuk surat bertarikh 22 Mac 2020 dengan tajuk 'Gerakan Islah Secara Aman, Bukan Rampasan Kuasa dan Revolusi' yang ditulis dalam bahasa Arab itu dikesan tersebar di media sosial sejak 4 April 2020.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Surat dikatakan ditulis Abdul Hadi kepada pemimpin gerakan Islam seluruh dunia itu mengundang kritikan kerana mengandungi pelbagai dakwaan terhadap Pakatan Harapan (PH) serta memburukkan Anwar.

Antara dakwaan dikemukakan Abdul Hadi terhadap Anwar adalah usaha menaikkan Ahli Parlimen Port Dickson sebagai Perdana Menteri telah disokong oleh Amerika Syarikat, sekutunya termasuk Singapura dan Zionist Israel selain beliau turut dituduh sebagai ahli Freemason.

Anwar kemudiannya menyifatkan dakwaan Abdul Hadi itu fitnah susulan pendedahan laman 'Civil Service Lodge No.143' yang dikaitkan dengan kumpulan Freemasion, mendapati seorang kakitangan mempunyai nama sama dengannya, 'w.bro Anwar Ibrahim.'

Gambar tersebut menunjukkan seorang lelaki warga asing berbadan gempal, berpakain sut hitam bersama tiga orang rakannya, pada tahun 2006, dipercayai merujuk kepada individu bernama Anwar Ibrahim sebagaimana didakwa Abdul Hadi.

Demi membersihkan namanya, Anwar kemudiannya menghantar satu surat balas kepada pemimpin dunia Islam sebagai menjawab dakwaan Hadi.

Mengulas lanjut, Anwar turut mendedahkan bekas Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Allahyarham Profesor Dr Sheikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi meluahkan perasaan marah kepada Abdul Hadi di atas tindakan pemimpin utama Pas itu menyebarkan surat terbuka memburuk-burukkan beliau.

Hal ini kerana beliau mendedahkan Yusuf al-Qaradawi yang baru meninggal dunia minggu lalu, sendiri pernah menyebarkan satu surat terbuka kepada pemimpin ulama dunia, termasuk ulama di Malaysia bagi menyokong usaha mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

"Individu bertanggungjawab menyebarkan surat terbuka diutus Allahyarham Sheikh Yusuf al-Qaradawi kepada rakyat negara ini tidak lain tidak bukan adalah (bekas Mursyidul Am Pas) Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri.

"Isi kandungan surat itu menyatakan semua umat Islam 'sebaik mungkin bantulah Anwar dan sokonglah Anwar menjadi Perdana Menteri'.

"Tetapi isi kandungan surat sedaya upaya cuba dipadamkan oleh pemimpin Pas," tegas Anwar lagi.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Menangani gejala murtad
  2. Tioman kayu ukur penting
  3. Kabinet Anwar punya banyak kelebihan: Penganalisis
  4. Saya tak jangka tewas seperti ini
  5. Bagaimana hebat perancangan manusia, hebat lagi perancangan Tuhan...