Sila log masuk terlebih dahulu.

Tidak mustahil Agong tolak

03 Oktober 2022 08:40am | Masa membaca: 4 minit
PRU15 tidak sesuai dilaksanakan pada musim tengkujuh. - Gambar hiasan
PRU15 tidak sesuai dilaksanakan pada musim tengkujuh. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pakar perlembagaan berpandangan nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat tidak mustahil ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan lima perkara.

Pakar perlembagaan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, perkara pertama ialah tidak seperti sebelum ini, Perdana Menteri kini tidak mewakili sesebuah parti atau gabungan parti secara kukuh.

“Sebelum ini, nasihat Perdana Menteri secara individu dianggap mewakili kabinet tanpa perlu dipersoalkan. Namun kini, jika Ismail Sabri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen, ia belum mewakili keseluruhan anggota Jemaah Menteri yang mewakili kerajaan.

“Maka, nasihat Perdana Menteri mungkin ditolak atas alasan ia tidak dibuat secara kolektif sedangkan Perlembagaan memberikan penekanan kepada konsep tanggungjawab bersama mengikut Perkara 43(3),” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Perkara kedua, kata Muhammad Fathi ialah sebagaimana keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat pengisytiharan darurat berteraskan kepentingan awam, maka tidak mustahil nasihat Perdana Menteri untuk pembubaran Parlimen juga ditolak berasaskan kepentingan awam.

Jelasnya, kepentingan awam boleh merujuk kepada beberapa faktor termasuklah ketidaksesuaian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan pada musim tengkujuh dan pembaziran jika PRU di peringkat Parlimen tidak berjalan serentak dengan beberapa negeri.

“Ketiga, tindakan Yang di-Pertuan Agong yang mungkin tidak membubarkan Parlimen serta-merta walaupun selepas dinasihati Perdana Menteri tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah seperti termaktub dalam Perkara 32,” katanya.

Perkara keempat diberikan oleh Muhammad Fathi ialah pembubaran Parlimen yang menyebabkan rakyat terpaksa mengundi sewaktu musim tengkujuh dan PRU sebelum urusan bajet tidak disempurnakan dengan baik oleh kerajaan.

“Serta risiko pembaziran akibat pilihan raya yang tidak serentak adalah satu langkah yang tidak popular dan bertentangan dengan sentimen umum rakyat. Sebarang tindakan Yang di-Pertuan Agong yang selari dengan kehendak rakyat sukar dipersoalkan walaupun ia kelihatan luar biasa.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Perkara kelima, mutakhir ini muncul beberapa pandangan yang cenderung untuk melihat Perlembagaan Persekutuan ditafsir secara lebih dinamik khususnya berkaitan dengan konsep nasihat, dengan mengambil kira kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong yang bersifat budi bicara, kuasa asal dan seumpamanya.

“Maka, atas lima faktor di atas, saya menjangkakan tidak mustahil nasihat pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri akan ditolak, jika ia benar-benar berlaku,” jelasnya.

Beliau berkata, waktu yang baik untuk mengadakan pilihan raya ialah selepas selesai musim tengkujuh dan selepas bajet dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan.

“Dalam situasi pelbagai parti menguasai kerajaan-kerajaan negeri, maka langkah yang paling tepat ialah mewujudkan persefahaman dengan parti-parti berbeza berkaitan waktu pembubaran Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri,” katanya.

Dalam masa sama, orang ramai boleh mengikuti pandangan kolumnis Sinar Harian, Profesor Wong Chin Huat mengenai penjimatan kos PRU15 jika Dewan Rakyat dan sembilan DUN dibenarkan menghabiskan penggal mereka di https://premium.sinarharian.com.my/article/213089/mediasi-kritis/cetusan/paling-murah-jika-genap-penggal.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Menangani gejala murtad
  2. Tioman kayu ukur penting
  3. Kabinet Anwar punya banyak kelebihan: Penganalisis
  4. Saya tak jangka tewas seperti ini
  5. Bagaimana hebat perancangan manusia, hebat lagi perancangan Tuhan...