Sila log masuk terlebih dahulu.

'Boleh terima pemberian calon'
Artikel percuma

Namun ada syarat yang perlu dipatuhi penerima menjelang kempen PRU15 nanti

19 Oktober 2022 07:55am | Masa membaca: 4 minit
Ahli Pasukan Teras Rasuah Busters, Anas Zubedy
Ahli Pasukan Teras Rasuah Busters, Anas Zubedy
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian berupa barangan keperluan atau wang tunai daripada calon semasa tempoh berkempen boleh diambil namun ada syarat yang perlu dipatuhi sepenuhnya.

Ahli Pasukan Teras Rasuah Busters, Anas Zubedy berkata, syarat berkenaan ialah calon yang memberi sumbangan harus ikhlas dan penerimanya pula perlu bertanya adakah pemberian tersebut berupa sedekah.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd berkata, menjelang pilihan raya atau tempoh berkempen, pemberian berupa peket-peket bantuan atau hadiah kewangan sering diberikan oleh calon kepada orang ramai sebagai tujuan meraih undi.

Namun begitu katanya, orang ramai perlu melihat amalan dan situasi tersebut di beberapa peringkat memandangkan ia menjadi amalan yang sering dilakukan oleh calon bertanding.

Sebagai contoh di pedalaman Sabah jelasnya, amalan pemberian menjelang pilihan raya adalah seumpama satu lebaran atau sebagai sambutan hari raya buat orang-orang miskin apabila mendapat bonus daripada kumpulan pemimpin yang bertanding.

“Mungkin kita di bandar merasakan pemberian wang tunai sebanyak RM50 tidak besar sangat nilainya, namun bagi masyarakat di kampung ia satu jumlah besar untuk dibelanjakan dengan ahli keluarga.

“Oleh sebab itu, saya merasakan ia boleh diambil oleh orang ramai yang memerlukan. Namun mereka kena bertanya kembali kepada pemberi, adakah ia sedekah? Apabila ia dikatakan sebagai sedekah, ia tidak mempunyai apa-apa kaitan antara kita dengan pemberi.

“Kita juga tidak bersalah untuk tidak mengundi si pemberi hadiah kerana ia adalah sedekah yang ikhlas diberikan. Maka kita sendiri tidak terpaksa mengundi beliau dan sekadar mengambil apa yang diberikan,” katanya.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran dan sidang media #SatuJari sempena PRU15 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Sementara itu Anas berkata, orang ramai yang akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti dinasihatkan untuk mengundi berdasarkan kredibiliti calon dan bukannya atas kapasiti parti.

“Rakyat terlebih dahulu perlu tahu dan mengenal sebaik-baiknya calon yang ditawarkan pada hari pengundian nanti. Pastikan mereka adalah individu bersih, amanah, cekap, bijak serta tidak makan suap,” katanya.

Menurutnya, calon yang bijak dan bersih berupaya untuk mengubah parti dipimpin menjadi lebih baik serta sepenuhnya berkhidmat untuk rakyat.

“Saya selalu nasihat kepada ummi supaya memilih calon yang mempunyai sifat dan nilai-nilai murni dalam diri. Begitu juga nasihat saya kepada orang ramai untuk memilih pemimpin yang penuh integriti dan beramanah.

“Memang tidak salah untuk kita pilih mana-mana calon berdasarkan elemen kepartian sebelum ini. Namun pada PRU15 kali ini, kita hendak terbalikkannya iaitu memilih calon berdasarkan keperibadian dan bukan berdasarkan parti.

“Apabila kita sebagai pengundi pada kali ini memilih calon berdasarkan keperibadian walau apa pun parti yang diwakilinya, maka pihak parti pastinya akan meletakkan calon bersih kerana mahu ahli mereka mencatat kemenangan,” katanya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan