Sila log masuk terlebih dahulu.

Isu jalan sesak atasi politik PRU15
Artikel percuma

28 Oktober 2022 08:10am | Masa membaca: 4 minit
Kesesakan menjadi lebih teruk apabila terdapat kenderaan rosak di laluan satu lorong menghala ke Puncak Alam.
Kesesakan menjadi lebih teruk apabila terdapat kenderaan rosak di laluan satu lorong menghala ke Puncak Alam.
A
A
A

SETELAH sekian lama menanti, akhirnya Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) dibuka kepada orang ramai bermula pada 14 Oktober lalu.

Lebuh raya bertingkat sepanjang 20.1 kilometer itu melibatkan kos RM4.2 bilion mempunyai 13 persimpangan bermula dari Puncak Perdana, Shah Alam ke Penchala.

Saya yang mengikuti proses pembinaan lebuh raya berkenaan dari awal hingga akhir kagum dengan keupayaan syarikat tempatan menyiapkan lebuh raya yang bersimpang-siur di atas kepala kita.

Bagi saya, semua yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya DASH tidak kiralah sama ada jurutera, arkitek, pegawai yang meluluskan projek hinggalah kepada tukang angkat bendera hijau, merah – wajar berbangga apabila lebuh raya itu siap.

Penghargaan juga kepada pengendali lebuh raya DASH iaitu Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) yang bertungkus-lumus bagi memastikan kemudahan yang mula dibina pada 2016 berjaya disiapkan walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti Covid-19.

Selain DASH, Prolintas adalah pengendali Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) dan Lebuhraya Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

Selain kagum dengan pembinaan DASH, saya tidak nafikan yang lebuh raya itu memang menjimatkan masa perjalanan.

Misalnya perjalanan ke Subang Bestari dari Alam Budiman hanya 15 minit pada waktu puncak berbanding 45 minit menggunakan jalan biasa.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Begitu juga ke Mutiara Damansara jika sebelum ini perjalanan melebihi sejam, anggaran hanya separuh masa diperlukan dengan pemanduan yang santai.

Tetapi, di sebalik semua kelancaran itu, ada satu isu yang akui menjadi topik paling hangat diperkatakan oleh penduduk yang melalui Persiaran Mokhtar Dahari iaitu ‘bottleneck’ selepas tasik berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam.

Boleh dikatakan penduduk sering membincangkan isu berkenaan melebihi kehangatan kempen politik Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia diperkatakan dan diperdebatkan di grup WhatsApp Lorong, Khairat Kematian, Zumba, Gim hinggalah kepada grup Kucing Mana Buat Onar Arini.

Tidak cukup dengan keluhan secara maya, ia juga menjadi topik utama perbincangan di restoran mamak, kedai makanan Jawa dan juga tempat jiran tetangga berkumpul.

Semuanya terseksa dengan masalah kesesakan jalan satu lorong menghala ke Puncak Alam yang menimbulkan 1,001 persoalan mengenai perancangan pembangunan jalan di kawasan berkenaan.

Bagaimana laluan tiga lorong boleh disatukan kepada satu lorong dengan keadaan perlu mendaki bukit.

Sebelum Lebuhraya DASH dibuka, penduduk yang rata-ratanya bukan pakar dalam kejuruteraan pembinaan jalan sudah dapat mengagak yang ‘bottleneck’ itu akan sesak teruk selepas ini.

Dan telahan itu benar belaka apabila trafik dari Shah Alam melalui Persiaran Mokhtar Dahari dan Lebuhraya DASH bercantum di ‘bottleneck’ itu menyebabkan kesesakan yang dahsyat.

Oleh kerana satu lorong, jika ada lori rosak ataupun kemalangan di laluan berkenaan, maka kesesakan akan menjadi amat-amat dahsyat.

Jadi, penduduk tertanya-tanya kenapa ‘bottleneck’ sepanjang 1.4 kilometer itu tidak dimasukkan ke dalam projek DASH?

Kenapa setelah menyediakan pemanduan penuh lancar di sepanjang lebuh raya, apabila keluar sahaja pengguna terseksa dan perlu berdepan kesesakan di ‘bottleneck’ itu dalam tempoh yang lama.

Kasihan juga kepada pemandu yang sudah tertekan dengan kesesakan di ibu kota terpaksa hadap dengan kesesakan berganda-ganda di kawasan yang sudah hampir dengan kediaman masing-masing.

Begitu juga dengan pelajar sekolah sesi petang yang lewat tiba di rumah disebabkan kesesakan yang sebenarnya boleh dikurangkan jika perancangan pembangunan jalan tersebut dilakukan dengan lebih berhemah.

Selain mempersoalkan kenapa pelebaran 'bottleneck' itu tidak dimasukkan dalam projek DASH, penduduk turut mempersoalkan peranan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan negeri dalam menangani isu tersebut dari awal.

Ramai yang berpandangan, sepatutnya kawasan itu dilibatkan sekali semasa projek naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari dan apabila Lebuhraya DASH dibuka, tiada lagi isu ‘bottleneck’ di laluan tersebut.

Kita tidak dapat nak undur masa ke belakang, maka harapan kini tertumpu kepada Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim yang memaklumkan bahawa JKR akan menambah tiga lorong baharu kenderaan bagi mengatasi kesesakan teruk di kawasan itu.

Seperti dilaporkan media, Izham berkata, dua fasa pelebaran jalan sedia ada itu dijangka melibatkan kos berjumlah RM35 juta dan fasa satu akan bermula pada tahun depan.

Katanya, kos peruntukan projek itu bakal diajukan pihaknya kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

Oleh itu, sementara menunggu kelulusan peruntukan dan pelbagai prosedur lain, saya dan juga ratusan ribu pengguna jalan itu amat mengharapkan penyelesaian jangka pendek kerana sudah tidak terdaya untuk mengharungi kesesakan luar biasa itu. Gunakanlah apa cara sekalipun asalkan tidak menyusahkan rakyat.

Semoga semua pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan infrastruktur ini dapat bertindak segera dan kembalikan semula imej kita yang tercalar setelah dikategorikan dalam senarai antara 59 negara di dunia memiliki jalan raya terburuk.

* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan