Sila log masuk terlebih dahulu.

PH paling ramai pertaruh calon wanita
Artikel percuma

06 November 2022 04:24pm | Masa membaca: 4 minit
Statistik keseluruhan calon PRU15. Gambar kecil dari kiri: Wan Azizah, Hannah Yeoh, Zahida, Azalina Othman, Siti Rahayu
Statistik keseluruhan calon PRU15. Gambar kecil dari kiri: Wan Azizah, Hannah Yeoh, Zahida, Azalina Othman, Siti Rahayu
A
A
A

SELESAINYA proses penamaan calon pada Sabtu sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebanyak 127 calon wanita dari pelbagai parti termasuk Bebas mengambil tempat, turut sama bersaing merebut kerusi Parlimen.

Pakatan Harapan (PH) menampilkan calon wanita paling ramai iaitu 38 calon keseluruhan dan daripada tiga gabungan utama koalisi itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai wakil tertinggi, seramai 16 orang.

Di Pulau Pinang, PKR yang bertanding empat daripada 13 kerusi Parlimen di negeri itu mempertaruhkan calon popular Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar di Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek di Parlimen Nibong Tebal.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipertaruhkan di Parlimen Bandar Tun Razak.

Dr Wan Azizah akan berdepan dua saingan lelaki iaitu penyandang kerusi itu, Datuk Kamarudin Jaffar dari Perikatan nasional (PN) dan wakil Barisan Nasional (BN), Datuk Chew Yin Keen.

Selain Bandar Tun Razak, PH turut mempertaruhkan calon berjiwa besar, pensyarah dari Universiti Malaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz bagi berdepan saingan enam penjuru antaranya melibatkan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN) dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN).

Bekas Ketua Wanita PKR yang juga penyandang Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh terus menjadi taruhan untuk mempertahankan kerusi itu.

Sementara itu, di Johor, PKR meletakkan calon wanita di Parlimen Sekijang dan Tenggara serta Sabah iaitu di Parlimen Tawau dan Kalabakan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

DAP pula meletakkan kepercayaan kepada 14 orang calon dengan Sabah mencatatkan bilangan calon wanita paling ramai iaitu empat orang di Parlimen Keningau, Tenom, Batu Sapi dan Sandakan.

Antara calon heavyweight DAP yang menjadi pertaruhan adalah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh di Parlimen Segambut dan bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Kim (Seputeh).

Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pula diletakkan di Parlimen Puchong, manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dipertaruhkan di Parlimen Bentong.

Bagi Parti Amanah Negara (Amanah), mereka menempatkan tujuh calon wanita di Parlimen Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Sik, Jempol, Parit, Tanjung Manis dan Sepang.

Sementara itu, gabungan terbaru PH, Parti Ikatan Demokratik (Muda) meletakkan satu-satunya calon tunggal wanita mereka di Parlimen Tanjong Karang iaitu Siti Rahayu Bahrin atau lebih dikenali sebagai Cikgu Rahayu.

PH sebelum ini meletakkan 85 calon wanita daripada 660 calon yang bertanding pada PRU14.

21 CALON WANITA WAKILI BN

Dalam pada itu, BN kali ini tampil mempertaruhkan seramai 21 calon wanita iaitu 19 calon di Semenanjung dan dua di Sabah.

Daripada 21 nama itu, lima calon mereka merupakan calon heavyweight iaitu Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan, Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting.

Noraini dan Azalina ditugaskan untuk mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Parlimen Parit Sulong dan Pengerang; Zahida (Padang Besar); Mohana (Kuala Langat) dan Nicole Wong (Tebrau).

Kedah pula antara negeri yang menerima ramai calon wanita daripada BN iaitu melibatkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang ditampilkan semula oleh UMNO untuk bertanding di Parlimen Kuala Kedah.

Lain-lain calon di negeri itu adalah ADUN Sungai Tiang merangkap Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob (Pendang); Ketua Wanita UMNO Bahagian Sik, Maizatulakmam Othman (Sik) dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusoff.

Di Kelantan, Ketua Puteri UMNO negeri itu, Marzuani Ardila Ariffin menjadi taruhan di Parlimen Ketereh setelah penyandangnya yang juga 'otai' UMNO, Tan Sri Annuar Musa digugurkan daripada senarai calon BN sebelum ini.

BN pada PRU14 menampilkan 92 calon wanita manakala pada PRU13 dengan 40 calon.

PN TAMPIL 16 CALON WANITA

Perikatan Nasional (PN) juga tidak ketinggalan menampilkan seramai 16 calon wanita daripada 171 kerusi Parlimen yang koalisi itu tandingi.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai lapan calon wanita, diikuti oleh Pas (7) dan seorang daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Calon yang menarik tumpuan semestinya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang bertanding di kerusi panas lapan penjuru, Parlimen Sepang antaranya melibatkan Anuar Basiran (BN), Raj Muni Aiman Athirah (Amanah) dan Datuk Seri Nageswaran Ravi mewakili Parti Rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan lain, di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan lima calon wanita daripada 31 calon keseluruhan parti itu.

Tiga calon mewakili PBB adalah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri (Santubong), Datuk Rubiah Haji Wang (Kota Samarahan), Rodiyah Sapiee (Batang Sadong).

Manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) diwakili Ketua Pergerakan PRS, Datuk Seri Doris Sophia Brodi (Sri Aman) dan Datuk Hanifah Hajar Taib (Mukah).

Parti baharu iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM) pula antaranya mempertaruhkan Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ampang dalam saingan sembilan penjuru.

Lain-lain parti yang mempertaruhkan calon wanita adalah koalisi Gerakan Tanah Air (GTA) iaitu dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dengan 14 calon serta dua calon dari Gagasan Bangsa.

Pada PRU14 lepas, seramai 251 wanita dicalonkan untuk bertanding kerusi Parlimen atau DUN.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan