Sila log masuk terlebih dahulu.

PRU15: Sentimen kabur, juara samar
Artikel percuma

14 November 2022 07:35am | Masa membaca: 4 minit
PRU15 telah mencatatkan sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen.
PRU15 telah mencatatkan sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen.
A
A
A

AWAL pagi Sabtu sekitar jam 6 pagi ketika sedang bersiap sedia untuk ke Angkasapuri, jiran saya yang jarang berbicara mengenai politik berkongsi satu pandangan.

“Ini pilihan raya sukar untuk kita baca siapa akan menang,” kata penjawat awam itu. Ia antara pandangan jutaan rakyat sehingga ke hari ini.

Hari ini, kita berada di peringkat awal fasa kedua pecutan persaingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sejak awal-awal lagi kita sedia maklum PRU15 mempunyai keunikan dan kelainan tersendiri.

Dalam artikel sebelum ini saya telah menghuraikan sekitar 10 keunikan dan kelainan berbanding pilihan raya sebelum ini.

Meskipun ramai melabelkan PRU15 sebagai ‘ibu segala pilihan raya’, malah ada yang menamakannya sebagai ‘ibu segala pilihan raya 2.0’, jawapan yang dinanti-nantikan hanyalah satu: ‘Siapa juara PRU15’.

Tetapi jawapan masih samar. Situasi ini sememangnya mengejutkan.

Ia satu persoalan besar yang bermain dalam minda setiap pihak yang mengikuti dengan dekat PRU15.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Sudah pasti ia jawapan yang akan ditunggu dengan penuh debaran, cemas dan harapan sehingga lewat Sabtu ini - bakal pemenang.

Ketua Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan angka beliau. PH yakin ia akan mendapat majoriti mudah.

Pemimpin-pemimpin BN termasuk Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah menyatakan kedudukan mereka.

Begitu juga bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai gabungannya buat julung kali dalam pilihan raya umum juga tidak ketinggalan daripada mengetengahkan keyakinan untuk kembali menjadi perdana menteri.

Begitu juga gabungan-gabungan utama di Sabah dan Sarawak. Mereka percaya akan menjadi king maker atau kuasa penentu kepada pihak yang bakal menjadi peneraju tampuk Putrajaya.

PRU15 telah mencatatkan sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen, teramai dalam sejarah PRU peringkat Pusat manakala 441 calon lagi bersaing untuk merebut 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang, Perlis dan kerusi pilihan raya kecil Bugaya, Sabah.

Di peringkat Parlimen, PH mempertaruhkan calon paling ramai iaitu 206 orang, diikuti BN (178), PN (49) dan Pejuang (116).

Parti Warisan (Warisan) meletakkan 52 calon, Gabungan Parti Sarawak (31), Pas (22), Parti Rakyat Malaysia (16), Gabungan Rakyat Sabah (13), Parti Sarawak Bersatu (10), Parti Bumiputera Perkasa (Putra) (sembilan), DAP (lapan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tujuh), Muda (enam), Parti Bangsa Malaysia (lima) dan Parti Bangsa Dayak Sarawak (tiga). Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Sedar Rakyat Sarawak, Parti Sosialis Malaysia, Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Parti Bumi Kenyalang dan Parti Utama Rakyat pula masing-masing mempunyai seorang calon kerusi Parlimen.

PRU15 ini juga menyaksikan jumlah calon Bebas paling ramai bertanding iaitu 108 orang.

Dari segi negeri, Selangor merekodkan jumlah calon Parlimen paling ramai – 124 orang, Sabah (119), Perak (100), Johor (96), Sarawak (92), Kedah (68), Kelantan (63), Pulau Pinang (58), Pahang (55), Kuala Lumpur (52), Negeri Sembilan (35), Terengganu (33), Melaka (25) dan Perlis (13), manakala Putrajaya dan Labuan masing-masing mempunyai enam calon.

Jawapan kepada soalan pertama siapa bagi lebih 21 juta pengundi yang layak untuk membuat pemilihan iaitu parti atau gabungan yang harus dipilih untuk membentuk dan menerajui sebuah kerajaan baharu.

Kemungkinan mereka juga akan disokong oleh calon-calon Bebas yang mempunyai peluang untuk mengukir sejarah.

Sudah tentu di bawah undang-undang baharu, yang melarang perbuatan antilompat parti, calon Bebas atau wakil rakyat individu tidak boleh menyertai mana-mana parti atau gabungan selepas PRU15.

Pun begitu mereka masih boleh memberikan sokongan atas nama ‘plus’.

PARAS SOKONGAN

Juga buat kali pertama banyak kajian tinjauan pendapat umum mengenai paras sokongan atau populariti bagi parti-parti di peringkat nasional dan negeri.

Sementara arah aliran sokongan masih belum menentu, ia hanya gambaran awal berhubung paras sokongan masing-masing.

Dan meskipun ketua-ketua parti dan gabungan yakin bahawa pihaknya akan kembali membentuk kerajaan, tetapi tempoh berbaki lima hari akan menjadi kayu ukuran aliran sokongan dan ketika semua mempunyai keyakinan sama rata, jawapan kepada persoalan parti yang bakal menentukan kerajaan masih samar.

Mengambil kira nombor dan angka yang dikeluarkan oleh parti dan gabungan utama yang bertanding, percaturan itu dengan sendirinya menunjukkan bahawa mereka belum yakin akan memperoleh majoriti dua pertiga, malah sukar juga untuk memperoleh majoriti tipis dengan mudah.

Majoriti mudah bermakna perlu ada 112 kerusi manakala 148 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan yang ada sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Dalam kedua-dua senario itu, setiap gabungan utama memerlukan sokongan parti atau gabungan lain termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk mengukir lembaran sejarah baharu pada pagi 20 November ini, hari Piala Dunia Fifa 2022 bermula.

Mengapa dikatakan membentuk kembali kerajaan kerana hampir kesemua parti dan gabungan yang bertanding pernah membentuk kerajaan susulan mandat pada 9 Mei 2018 ataupun ekoran Langkah Sheraton pada Februari 2020 dan juga ekoran penggulingan kali kedua pada Ogos 2021 yang membawa kepada pembentukan kerajaan kali ketiga dan perdana menteri kali ketiga.

Pengundi memperlihatkan mood untuk keluar mengundi, tetapi keinginan untuk mengikuti ceramah dan kempen calon masih rendah.

Keadaan ini dipercayai ada kaitan dengan isu yang didapati agak sama sejak PRU14.

Pengundi perlu membuat keputusan terbaik Sabtu ini. Pengundi perlu tampil untuk memberikan mandat yang jelas dalam menentukan calon yang terbaik dan parti atau gabungan yang boleh membentuk kerajaan.

Pemilihan bijak amat penting bagi mengelakkan ketidaktentuan dan ketidakstabilan daripada berulang.

Undi yang diberikan perlu membuka ruang kepada pembentukan kerajaan yang boleh merealisasikan harapan rakyat.

Keputusan akhir penuh PRU15 ini yang dijangka diketahui selepas tengah malam 19 November, kemungkinan masa yang lebih panjang dengan mengambil kira jumlah pengundi yang teramai, jumlah gabungan parti politik terbanyak dan jumlah calon teramai dalam rekod sejarah, akan membawa kepada kelewatan dalam mengetahui keputusan akhir rasmi.

Sementara menunggu ketidaktentuan hari besar pilihan raya, persoalan sama ada proses pengundian akan berterusan juga menjadi tanda tanya.

Musim tengkujuh dan hujan dalam keadaan agar ‘luar biasa’ sudah pun mula menggugat persekitaran yang kondusif untuk para pengundi keluar mengundi berbanding sebelum ini terutama ketika PRU 1999 yang turut diadakan penghujung bulan November.

Nampaknya, pengundi akan berhadapan dengan situasi terpaksa keluar mengundi dengan berbekalkan sebatang payung, yang akan turut mewarnai hari pengundian berbanding banyak PRU yang lalu.

Perkembangan 50 peratus kempen pertama menunjukkan persekitaran, sentimen dan mood yang jauh berbeza – jauh lebih rendah – daripada pelbagai segi, antaranya kuantiti poster yang rendah, mesej dan ceramah mega. Keadaan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuklah masalah dalaman sesetengah parti, elemen sabotaj, kurang dana, kedinamikan teknologi dan faktor cuaca yang tidak menentu.

Fokus semua bukan keputusan akhir PRU15 Sabtu ini. Sebaliknya, hari-hari pasca-PRU15 yang menyusul, yang akan menentukan pembentukan kerajaan – apakah bakal membawa kepada gabungan lebih besar?

* Dr G Manimaran penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan