Sila log masuk terlebih dahulu.

PRU15: Misi Isham Jalil tawan Shah Alam
Artikel percuma

14 November 2022 08:45am | Masa membaca: 4 minit
Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SETELAH mendengar kempen calon Perikatan Nasional (PN), Dr Afif Bahardin pada malam sebelumnya, malam tadi saya sempat mendengar kempen calon BN, Hizatul Isham Abdul Jalil di Shah Alam, anjuran veteran UMNO Bahagian Shah Alam.

Dalam kalangan mereka yang hadir pada majlis Wacana Intelektual pada malam 12 November itu, mereka tidak ragu-ragu lagi bahawa selepas hari pengundian pada 19 November 2022, calon yang ditampilkan oleh BN bagi menawan kerusi P108, itu akan bergelar Yang Berhormat.

Malah pengerusi majlis tersebut beberapa kali tersasul memanggil Isham dengan gelaran YB.

“Ini tanda calon kita akan menang ni. Sebelum ini saya memanggil beliau YC untuk Yang Dicalonkan,” ujar beliau sambil disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Isham yang berucap sebagai ahli panel pertama, sebaik sahaja tiba pada jam 10 malam, menceritakan detik-detik bersejarah beliau dipilih oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadi calon Parlimen Shah Alam yang tiga penggal berada dalam tangan pembangkang.

Beliau memberitahu: “Presiden memanggil saya meminta saya menandatangani beberapa dokumen, kemudian menyatakan untuk Shah Alam only you can do it.”

Isham kemudian bercakap tentang pendekatan yang beliau ingin cadangkan untuk mengembangkan ekonomi negara yang menurut beliau masih belum kembali ke tahap sebelum Covid-19 menyerang negara ini walaupun Perdana Menteri mengatakan sebaliknya di Bera pada hari yang sama.

Untuk Shah Alam, tumpuan diberikan kepada keadaan infrastruktur yang masih belum mantap akibat kegagalan kerajaan PH, menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk orang muda dan beberapa yang lain.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Beliau menyentuh soal air dan banjir yang tidak kunjung padam di Shah Alam.

Bagi beliau kerajaan negeri telah mengutip cukai yang tinggi sehingga RM3 bilion setahun, tetapi tidak menggunakan hasil kutipan untuk menyediakan infrastruktur yang baik kepada penduduk.

Selepas menyampaikan pembentangannya, Isham terpaksa meninggalkan majlis kerana ada janji temu untuk acara lain.

Tetapi sebelum itu, beliau bersedia melayan satu soalan sahaja. Seorang veteran Wanita UMNO yang dipanggil Datin bertanya beliau apakah jawatan yang diidamkannya selepas menjadi Yang Berhormat.

“Saya tidak memikirkan soal itu. Tumpuan saya sekarang hanya untuk memenangi Shah Alam,” ujarnya.

Wanita itu kemudian mencadangkan beliau turut bertanding kerusi DUN untuk menjadi Menteri Besar. Beliau memberitahu itu juga tiada dalam fikirannya pada waktu ini

Tentunya untuk menawan Shah Alam, tugas Isham adalah untuk meyakinkan pengundi bukan ahli UMNO untuk memangkah beliau.

Hal ini penting kerana pada PRU 14, calon BN waktu itu, Haji Azhari Shaari hanya memperoleh 22,100 undi berbanding jumlah undi yang diterima oleh calon PKR, Khalid Abd Samad sebanyak 55,849 undi.

Bagi PRU15, terdapat lebih 164,000 pemilih berdaftar bagi Kawasan Parlimen Shah Alam. Mereka akan menentukan sama ada Isham akan bergelar YB atau sebaliknya.

* Datuk Dr Chamil merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan