Sila log masuk terlebih dahulu.

PRU15: Lima faktor mempengaruhi undi Gen Z
Artikel percuma

18 November 2022 08:13pm | Masa membaca: 4 minit
Lebih 6 juta pengundi berusia lingkungan 18 hingga 29 tahun layak mengundi untuk PRU15 ini.
Lebih 6 juta pengundi berusia lingkungan 18 hingga 29 tahun layak mengundi untuk PRU15 ini.
A
A
A

TAHUKAH anda bahawa individu yang berumur 18 hingga 29 tahun atau lebih dikenali sebagai generasi Z merangkumi lebih 6 juta pengundi layak mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini?

Menurut beberapa penganalisis politik, 6.58 peratus daripada 21.2 juta jumlah pengundi berdaftar dalam kategori pengundi muda itu bakal mengundi buat kali pertama pada Sabtu ini.

Susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2019 dan Undi18, Malaysia buat pertama kalinya berdiri setaraf dengan negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Denmark yang mendahului had pengundi berusia 18 tahun.

Tentu sahaja angka yang besar ini membuatkan golongan Undi18 menjadi penentu parti mana yang bakal menguasai dan membentuk kerajaan.

Namun, menjadi ‘kingmaker’ dalam menentukan siapa yang bakal mentadbir negara bukanlah perkara yang mudah, lebih-lebih lagi tanpa pengalaman dan pengetahuan yang cukup untuk membuat keputusan. Mampukah mereka membuat pilihan?

Berbeza dengan generasi yang berumur 30 tahun ke atas, mereka sudah jelas dengan pilihan masing-masing.

Kebanyakannya akan menunjukkan kesetiaan pada parti yang mereka rasakan cukup berbakti di kawasan masing-masing tanpa mengira siapa calon itu.

Biarpun nampak mudah, persoalan itu yang membuatkan rata-rata pengundi muda menjadi pengundi atas pagar dan sukar untuk membuat pilihan walhal mereka merupakan penentu masa depan negara.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PENGUNDI MUDA

Oleh itu, mari kita selami pemikiran anak muda ini dan melihat apa faktor-faktor yang mungkin boleh mempengaruhi mereka untuk mengundi esok.

1. Calon yang bersih

Antara faktor yang menentukan pemilihan pengundi muda adalah calon itu sendiri. Penulis yakin bahawa mereka merupakan generasi yang gemar memerhati dan memilih individu yang mempunyai prestasi yang bersih berbanding calon yang sudah lama dengan parti tertentu.

Berbeza dengan generasi terdahulu, pengundi muda tidak lagi mudah terpedaya dengan propaganda calon yang datang rumah ke rumah untuk memberi bantuan atau menabur janji-janji lapuk yang hanya akan ditunaikan pada musim PRU sahaja.

Mereka lebih cenderung memilih calon yang bertindak cepat dengan isu-isu semasa yang dekat dengan situasi mereka seperti isu pendidikan, sukan dan kemasyarakatan serta bebas daripada kes-kes rasuah dan kontroversi.

2. Usia main peranan

Tentu sahaja usia memainkan peranan yang penting kerana pengundi muda sudah muak dengan pemimpin yang memerintah tanpa ada perubahan dan mempunyai cara pemikiran yang kolot.

3. Strategi zaman kini

Strategi calon untuk menggunakan media sosial sebagai platform berkempen juga sangat berkesan di hati pengundi muda kerana itu merupakan sumber utama mereka mencari maklumat dan mengenali calon dengan lebih interaktif.

4. Emosi pengundi

Tidak mustahil ada anak muda yang kecewa atau marah dengan apa yang pernah dilaluinya secara peribadi.

Contohnya, isu gaji minimum dan elaun yang sedikit, kesukaran untuk mendapat kerja biarpun mempunyai kelayakan yang tinggi dan kos sara hidup meningkat menyebabkan pengundi muda berasa terbeban.

Tidak mustahil ramai pengundi yang berasa kecewa dengan cara pimpinan terdahulu mengendali pandemik Covid-19 di negara ini terutamanya mereka yang kehilangan ahli keluarga pada masa itu.

Sebaliknya, ada juga pengundi muda yang mengundi parti atau calon tersebut kerana berasa terhutang budi dan berterima kasih kepada mereka yang banyak membantu dari segi kewangan dan kecepatan kerajaan memberi vaksin kepada mereka yang memerlukan.

5. Pengaruh orang sekeliling

Tidak dinafikan, anak muda berumur 18 tahun atau mereka yang baru menjejakkan kaki ke universiti mungkin tidak minat atau mengambil tahu tentang persada politik di negara ini.

Bagi mereka, politik merupakan sesuatu perkara yang berat dan sukar difahami sehingga ada yang memilih untuk tidak turun mengundi.

Oleh itu, orang di sekeliling mereka memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi pilihan pengundi muda ini.

Mereka mungkin akan mengikut jejak rakan-rakan serumah kerana mendengar ideologi politik mereka setiap hari.

Kepada anak-anak muda yang mempunyai keluarga berlatarbelakangkan politik yang kuat, mereka semestinya akan cenderung memilih parti yang sama.

Secara keseluruhannya, faktor-faktor yang mempengaruhi undi mereka dan sejauh mana kematangan bertindak untuk memilih parti dan calon amat penting untuk menentukan masa depan negara pada PRU15 akan datang.

Siapa pun pilihan pengundi muda, mereka amat disarankan untuk turun mengundi. Ingat, jika tidak mengundi, jangan pula menyesal di kemudian hari.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan