SHAH ALAM - Menyedari hakikat pentingnya setiap satu undi, rakyat Malaysia yang layak mengundi hari ini perlu menunaikan tanggungjawab secara bijak bagi memilih wakil rakyat masing-masing.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, setiap undi adalah penting kerana ia penentu masa depan negara.
Justeru, katanya, pengundi dinasihatkan untuk mematuhi semua arahan dan langkah yang ditetapkan suruhanjaya itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang kesilapan yang mengakibatkan kertas undi rosak.
“Tanda di satu pilihan sahaja, kemudian masukkan kertas undi tersebut di dalam kotak undi. Ingat kesalahan kecil pada kertas undi boleh merisikokan kertas itu ditolak,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Selain itu, jelas beliau, semua pengundi juga perlu memastikan mereka sudah mempunyai maklumat mengenai pusat mengundi, membawa kad pengenalan diri dan sihat tubuh badan.
“Individu yang dibenarkan masuk ke saluran mengundi dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi adalah orang yang namanya telah didaftarkan dalam daftar pemilih semasa," katanya.
Menurutnya, daftar pemilih adalah dokumen yang dianggap sah dan menjadi keterangan ‘prima facie’ untuk membolehkan seseorang itu mengundi, manakala kad pengenalan atau Mykad merupakan dokumen utama diperlukan setiap pengundi.
“Adalah menjadi kesalahan besar bagi seseorang itu mengundi dalam pilihan raya sedangkan beliau tidak berhak untuk mengundi.
"Oleh itu, adalah amat mustahak akuan pengenalan pengundi disediakan dengan baik supaya pengundi yang berhak boleh menunaikan tanggungjawab mereka.
“Selain dokumen pengenalan diri dan mengetahui dengan jelas pusat mengundi serta saluran, aspek kesihatan juga perlu diberi perhatian memandangkan kita masih berdepan dengan jangkitan kes Covid-19," katanya.
Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata, bagi mereka yang mungkin mempunyai masalah kesihatan seperti demam dan sebagainya, mereka dinasihatkan membuat ujian kendiri dan jika didapati negatif sekali pun tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga.
10 langkah mengundi untuk PRU15
1. Sila masuk apabila dibenarkan oleh anggota polis yang mengawal selia pintu masuk.
2. Serahkan Mykad/dokumen pengenalan diri dan slip semakan (sekiranya ada) kepada kerani pengundian pertama. Tunjukkan kedua-dua belah tangan untuk diperiksa.
3. Kerani pengundian pertama akan memberikan Mykad/dokumen pengenalan diri kepada kerani pengundian kedua untuk pengesahan.
Pastikan nombor kad pengenalan dan nama anda yang diteriakkan oleh kerani pengundian pertama adalah tepat.
4. Bergerak ke hadapan kerani pengundian kedua. Celupkan jari telunjuk tangan kiri ke dalam botol dakwat pilihan raya apabila diminta oleh kerani pengundian kedua.
(Kerani pengundian pertama akan membuat penandaan nama anda dalam buku daftar pemilih pilihan raya apabila jari anda dicelupkan ke dalam botol dakwat pilihan raya).
5. Terima kertas undi daripada kerani pengundian ketiga.
6. Bergerak ke meja ketua tempat mengundi (KTM) untuk meninggalkan telefon bimbit. (Semua proses pengundian dijalankan dalam kehadiran ejen-ejen tempat mengundi yang bertugas).
7. Maju ke petak undi dan tandakan ‘X’ pada ruang kosong bersebelahan dengan nama dan simbol calon dalam kertas undi menggunakan pen. Pilih satu calon sahaja.
8. Masukkan kertas undi dalam peti undi yang betul.
9. Bergerak ke meja KTM sekali lagi untuk mengambil telefon bimbit.
10. Segera tinggalkan tempat mengundi setelah selesai mengundi.
Sumber: SPR
INFO: Dokumen yang perlu dibawa semasa pergi mengundi
1. Kad pengenalan atau
2. Passport atau
3. Lesen memandu atau
4. Dokumen pengenalan sementara atau
5. Resit laporan kehilangan kad pengenalan
INFO: Undi rosak dan undi ditolak
Undi rosak
- Banyak terpakai kepada kertas undi yang tidak dimasukkan dalam tempoh pengundian.
- Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
- Contoh: Kertas undi terkoyak secara tidak sengaja, itu istilahnya kertas undi rosak dan ia tidak dimasukkan dalam peti undi. Ketika itu, pengundi boleh memohon kertas undi baharu daripada ketua tempat mengundi.
Undi ditolak
- Berlaku semasa proses pengiraan kertas undi.
- Peraturan 25 (6)(7) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
- Ketua tempat mengundi atau orang yang diberikan kuasa olehnya hendaklah mengira kertas undi mengikut undian oleh pemilih bagi setiap calon dan mencatatkan perkataan ‘ditolak’ pada mana-mana kertas undi ditolak sebagai tidak sah.
- Ketua tempat mengundi hendaklah menolak sebagai tidak sah mana-mana kertas undi yang tidak dicapkan dengan tanda rasmi, undi diberi lebih daripada satu calon, menulis perkataan pada kertas undi, kertas undi yang tidak bertanda dan tidak menanda di dalam kotak atau pengundi tidak menunjukkan tujuan yang jelas pada kertas undi.