Sila log masuk terlebih dahulu.

Tumpuan membangun negara
Artikel percuma

20 November 2022 07:35am | Masa membaca: 4 minit
Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PRU15 sudahpun berlalu semalam. Artikel kali ini tidak mahu mencari siapakah pemenangnya tetapi lebih kepada pandangan saya kepada kerajaan yang ditubuhkan bagi melaksana agenda penting.

Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem politik dan undang-undang di Malaysia. Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, memperakui status institusi Islam dan memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Kerajaan yang dipilih ini hendaklah mempertegaskan kesucian Islam dan menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Dari aspek pendidikan dan dakwah pula, kerajaan perlu melaksanakan proses pembentukan peribadi dan jati diri Muslim yang baik melalui sistem pendidikan yang mementingkan pendidikan Islam dan penerapan nilai-nilai Islam. Justeru, adalah menjadi aspirasi umat Islam agar kerajaan baharu:

• Memperkasakan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan nasional. Ini termasuklah dengan mempergiatkan pengajaran tasawwur Islam dan fardu ain di sekolah dan melipatgandakan usaha penyelidikan ilmu Islam di institusi pengajian tinggi awam.

• Selaras dengan tanggungjawab menyuruh yang baik dan mencegah yang mungkar, kerajaan yang majoritinya beragama Islam perlu memperkasakan usaha dakwah Islamiah, terutamanya kerjasama erat dengan pertubuhan Islam.

• Mengembalikan bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR).

• Memperbaiki dasar media dalam negara terutama dengan membuka lebih banyak peluang kepada penyiaran program berunsur Islam, memperbanyakkan waktu siaran program yang mempunyai nilai mulia dan membina serta mengawasi program yang memberi kesan negatif dan manolak nilai murni sejagat serta mempromosi hedonisme Barat.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

• Memperbanyakkan program-program berunsur pendidikan Islam dan moral di stesen televisyen. Ini termasuklah program-program hiburan realiti yang semakin mendapat tempat di stesen televisyen tempatan.

Pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan pengagihan yang adil merupakan asas utama kemajuan negara, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. Ekonomi yang lembab dan pengagihan yang pincang akan membantutkan proses kemajuan negara dan mewujudkan kesenjangan sosial yang parah. Oleh yang demikian, kerajaan perlu memastikan:

• Ekonomi negara dipacu untuk mencapai tahap pertumbuhan ekonomi yang mapan.

• Daya saing ekonomi negara dipertingkatkan tanpa menjejaskan usaha-usaha pengagihan ekonomi yang adil.

• Prinsip keadilan sosial yang mementingkan pengagihan ekonomi yang adil kepada segenap lapisan masyarakat perlu dilaksanakan melalui dasar tindakan afirmatif untuk membela golongan miskin dan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.

• Memastikan masyarakat bumiputera di negara ini terus mendapat pembelaan ekonomi yang adil.

Sistem politik dan tadbir urus yang baik merupakan syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara. Kebajikan rakyat akan terbela dengan kewujudan sistem politik yang adil, tadbir urus yang baik dan sistem penyampaian yang cekap. Usaha-usaha mewujudkan sistem politik dan tadbir urus yang baik perlu dipergiatkan melalui tindakan berikut:

• Menjadikan pentadbiran awam cekap, telus dan tulus.

• Menolak rasuah dan salah guna kuasa di kalangan penjawat awam.

• Melantik penjawat awam dan pemimpin kanan kerajaan yang terbukti bersih daripada rasuah, salah guna kuasa dan salah laku moral.

Negara demokrasi yang stabil wujud apabila kerajaan dibentuk hasil daripada mandat rakyat dan institusi-institusi masyarakat sivil mempunyai ruang yang luas untuk berperanan aktif dalam memperkasakan masyarakat dan membangunkan negara. Keabsahan politik pemerintah bergantung kepada keterbukaan ruang demokrasi, kesediaan pemerintah untuk bersikap responsif terhadap keluhan rakyat dan kemampuan pemerintah menjamin keselamatan dan keamanan dalam negara. Upaya pemerkasaan demokrasi dan masyarakat sivil perlu dilaksanakan dengan tindakan-tindakan berikut:

• Melantik eksekutif dan penjawat awam yang berintegriti, berkemampuan dan berpekerti mulia.

• Memastikan pemerintah melaksanakan kuasa berdasarkan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

• Membuka ruang yang luas kepada institusi-institusi masyarakat sivil untuk berperanan aktif dalam proses pemerkasaan masyarakat dan pembangunan negara.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan