Sila log masuk terlebih dahulu.

Cabaran ekonomi pasca PRU
Artikel percuma

20 November 2022 06:20am | Masa membaca: 4 minit
Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TIDAK lama selepas Mohd Najib Abdul Razak, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, diberikan tugas tambahan sebagai Menteri Kewangan pada tahun 2008, saya mengambil inisiatif mengumpulkan pengarang dan wartawan kanan Melayu untuk menemui beliau.

Tujuannya adalah bagi memahami hala tuju dasar ekonomi kerajaan dan memberi maklum balas serta cadangan kepada beliau.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri yang dikatakan lebih berpengetahuan berbanding Perdana Menteri waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mohd Najib diberikan bidang tugas yang luas seperti pengawasan ke atas Felda, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam bidang ekonomi dan kewangan, beliau menjadi jurucakap bagi mempertahankan langkah kerajaan yang tidak popular seperti penarikan balik secara berperingkat subsidi petrol.

Kebimbangan saya waktu itu adalah kesan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih rendah sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98 ke atas rakyat berpendapatan rendah yang sebahagian besarnya bumiputera.

Hatta pada ketika ekonomi berkembang rancak sejak pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 hingga berlaku krisis 1997/98 pun, bumiputera masih tertinggal berbanding kaum Cina dan India.

Hasil pertemuan dengan Mohd Najib itu tidaklah menggalakkan sangat. Boleh jadi beliau beranggapan apalah sangat maklum balas dan cadangan daripada beberapa orang pengarang dan wartawan yang bukan pakar ekonomi.

Walaupun pelbagai dasar dan pendekatan telah menggantikan DEB dan sedikit sebanyak berjaya merangsang semula pertumbuhan ekonomi dan membasmi kemiskinan, namun jurang pendapatan antara bumiputera dan bukan bumiputera kekal, malah melebar semula.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Jadi tidak hairanlah apabila berlaku pandemik Covid-19 dan penutupan ekonomi selama dua tahun, bumiputera adalah yang paling teruk terjejas. Banyak isi rumah bumiputera (dan bukan bumiputera juga) dalam kategori M40 jatuh kepada kategori miskin B40.

Kerajaan sendiri menganggarkan 580,000 isi rumah M40 jatuh menjadi B40 akibat pandemik Covid-19. Ini adalah antara manifestasi kerapuhan ekonomi bumiputera.

Banyak ahli ekonomi serta penyelidik yang pakar dalam hal pembahagian kekayaan bimbang yang ketidakseimbangan ini boleh menyebabkan Malaysia menjadi negara berkelas dan berkasta. Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.

Terbaharu, Emir Research yang diketuai oleh Dr Rais Hussin berkata, walaupun ketidakseimbangan pendapatan antara kaum dikurangkan dengan banyak antara 1970-an dan 2020, namun jurang sebenar adalah lebih luas sekarang daripada 50 tahun lalu.

Memetik kajian Bank Dunia, Dr Rais berkata, pada tahun 2004, nisbah kemiskinan di kalangan bumiputera adalah 49.1 peratus berbanding 17.7 peratus Cina dan 33.4 peratus India.

Menjelang 2016, nisbah kemiskinan bumiputera turun kepada 13.1 peratus (pengurangan 73 peratus), Cina 2.4 peratus (pengurangan 86 peratus) dan India 7.3 peratus (pengurangan 78 peratus). Ertinya bumiputera terus ketinggalan.

Kita tidak menafikan kejayaan ini tetapi apa yang perlu dibimbangkan adalah keadaan sebenar ekonomi bumiputera di sebalik pelbagai retorik politik yang kononnya kebajikan bumiputera adalah pertimbangan utama semua parti politik Melayu dan bumiputera.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik membuktikan secara sahih kerapuhan ekonomi rakyat bawahan, khususnya bumiputera, dan sekali gus kehambaran retorik politik Melayu-Islam.

Malah, kalau dilihat daripada aspek semasa yang paling sempit sekali pun adalah sangat jelas yang kerajaan telah gagal. Hendak menjamin bekalan serta harga ayam dan telur pun tidak mampu.

Kesimpulannya, apa pun bentuk kerajaan dan siapa pun ketuanya selepas PRU semalam adalah angin dan angan-angan kosong kalau hasrat dan keperluan asas rakyat jelata gagal dipenuhi.

Ahli ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid dan saya pernah mencipta dan memperkenalkan ‘Indeks Kangkung’ pada tahun 2014. Mungkin ada pakar yang boleh mencipta dan mempopularkan ‘Indeks Telur’ bagi mengukur kerajaan baharu ini. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan