Sila log masuk terlebih dahulu.

Jika PN-BN bergabung, PH akan hilang 28 kerusi

21 November 2022 07:39am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

KOALISI Pakatan Harapan (PH) akan kehilangan 28 kerusi daripada 82 kerusi dimenangi sekiranya lawan mereka, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) membentuk gabungan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Walaupun cadangan membentuk gabungan antara kedua koalisi terbabit pernah disuarakan sebelum ini dengan alasan penyatuan ummah, namun BN menolak penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lantas bergerak solo mengambil kira faktor kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Berdasarkan analisis Sinar Premium, berikut disenaraikan 28 kerusi Parlimen PH di Semenanjung yang boleh dimenangi PN-BN sekiranya kedua-dua koalisi pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bergabung.

Di Kedah, Parlimen Sungai Petani, satu-satunya kerusi dimenangi PH mampu berubah milik sekiranya PN-BN bergabung, dengan keputusan undi menyaksikan jumlah keseluruhan iaitu 76,856 undi, mengatasi Dr Mohammed Taufik Johari yang meraih 50,580 undi.

Di Pulau Pinang, PN-BN mampu menambah satu lagi koleksi kemenangan iaitu di Balik Pulau, di mana jika digabung undian, gabungan itu akan meraih 38,460 undi, meninggalkan calon PH yang mengumpul 24,564 undi.

Pengundi muda menunjukkan jari mereka yang dicelup dakwat kekal selepas menjalankan tanggungjawab mengundi bagi PRU15. - Foto: Bernama
Pengundi muda menunjukkan jari mereka yang dicelup dakwat kekal selepas menjalankan tanggungjawab mengundi bagi PRU15. - Foto: Bernama

Sementara di Perak, jika PN-BN bergabung, mereka boleh menang di tiga kerusi Parlimen iaitu Tanjong Malim, Sungai Siput dan Tambun.

Di Parlimen Tanjong Malim, PN mengumpul 21,599 undi, diikuti calon BN dengan 20,963 undi, dan jika digabungkan, koalisi baharu itu bakal merekodkan undian sebanyak 42,562, meninggalkan PH dengan 25,140 undi.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Kedua, kerusi Sungai Siput menyaksikan calon PH mendapat 21,637 undi sementara calon PN, 8,190 undi dan calon BN, 19,791 undi. Ini menjadikan jumlah keseluruhan undi untuk gabungan itu sebanyak 27,981 undi.

Ketiga, kerusi Tambun di mana calonnya iaitu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat 49,625 undi manakala calon PN diwakili Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memperoleh 45,889 undi manakala BN dengan 28,140 undi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan undi jika PN-BN bergabung adalah 74,029 undi.

Di Pahang, jika PN-BN bergabung, pakatan itu mampu menang di dua kubu kuat PH iaitu Parlimen Raub dan Bentong.

Di Raub, PH mendapat 21,613 undi manakala calon PN, 17,256 undi dan calon BN, 16,939 undi.

Jumlah keseluruhan undi untuk gabungan PN-BN sebanyak, 34,195.

Di Bentong, PH yang diwakili Young Shefura Othman meraih 25,075 undi manakala calon PN, 16,233 undi dan calon BN, 24,383 undi, menjadikan jumlah keseluruhan 40,616 undi untuk calon gabungan PN-BN.

Bagi Melaka, PN-BN juga boleh merampas kerusi Alor Gajah dan menghapuskan dominasi PH di Parlimen Hang Tuah Jaya.

Di Alor Gajah misalnya, calon PH iaitu Adly Zahari mendapat 28,178 undi sementara calon PN, 17,211 dan calon BN, 27,288 undi. Ini menjadikan jumlah keseluruhan undi jika PN-BN bergabung sebanyak 44,499 undi.

Untuk kerusi Hang Tuah Jaya, calon PH iaitu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli mendapat 39,418 undi diikuti calon PN, 23,549 undi dan calon BN memperoleh 30,780 undi, menjadikan jumlah keseluruhan undi untuk gabungan PN-BN sebanyak 54,329 undi.

Paling banyak di Johor

Sebanyak 10 kerusi Parlimen di Johor pula boleh bertukar tangan menjadi milik PN-BN iaitu di Segamat, Sekijang, Labis, Ledang, Sri Gading, Batu Pahat, Johor Bahru, Pasir Gudang, Tebrau dan Muar.

Di Segamat, PH meraih 23,437 undi; PN, 8,385 undi; BN, 17,768 dan andai PN-BN bergabung, 26,153 undi dapat dikumpul.

Begitu juga di Sekijang di mana calon PH mendapat 18,941 undi sementara calon PN, 11,612 undi dan calon BN, 17,207, menjadikan 28,819 undi untuk calon gabungan itu.

Untuk kerusi Labis pula, calon PH mendapat 16,133 undi. Calon PN pula 5,312 undi dan calon BN, 13,300 menjadikan jumlah keseluruhan gabungan sebanyak 18,612 undi.

Bagi kerusi Ledang, PN yang mengumpul 22,292 undi dan calon BN, 23,881 undi, bakal memenangi kerusi itu dengan 46,173 undi, meninggalkan PH yang memperoleh 33,650 undi.

Seterusnya Sri Gading, calon PH mendapat 23,242 undi sementara calon PN memperoleh 18,475 undi dan calon BN, 19,242 undi, yang menyaksikan keseluruhan undi untuk gabungan itu berjumlah 37,717 undi.

Di Batu Pahat, calon PH memperoleh 45,242 undi; calon PN, 29,270 undi; calon BN dengan 24,309 undi, menjadikan undi gabungan itu sebanyak 53,579 undi.

Untuk Johor Bahru, calon PH mendapat 43,252 undi, diikuti calon PN dengan 22,075 undi dan calon BN, 27,211 undi. Jumlah keseluruhan undi untuk calon gabungan adalah berjumlah 49,286 undi.

Pasir Gudang pula, calon PH mendapat 71,233 undi, manakala calon PN mendapat 39,675 undi dan calon BN, 37,369 undi. Ini menjadikan jumlah keseluruhan undi untuk gabungan PN-BN sebanyak 77,044.

Dan di Tebrau, kerusi itu bakal berubah tangan dengan PN mengumpul 53,239 undi; calon BN, 30,767 undi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 84,006 undi, meninggalkan PH yang meraih 83,959 undi.

Turut tidak ketinggalan kerusi milik Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dimenangi Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan 19,961 undi juga boleh dimenangi jika PN-BN bergabung.

Ini berikutan calon PN mendapat 18,616 undi manakala calon BN mendapat 14,581 undi, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan undi untuk calon gabungan itu sebanyak 33,197 undi.

Di WP Kuala Lumpur, kerusi Setiawangsa boleh dirampas oleh gabungan PN-BN dengan jumlah keseluruhan undian sebanyak 38,603 - PN (22,270), BN (16,333) - meninggalkan PH yang mengumpul 34,434 undi.

Di Lembah Pantai, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil yang mengumpul 35,359 undi mungkin gagal mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU14 lalu jika PN dan BN bergabung.

Ini kerana undi gabungan PN (19,098) dan BN (21,447) bakal menyaksikan pertambahan undi menjadi 40,545 undi

Berikutnya di Bandar Tun Razak di mana calon PH, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendapat 43,476 undi manakala calon PN, 33,659 undi dan calon BN dengan 15,886 undi. Gabungan jumlah undi calon gabungan PN-BN cukup untuk mengatasi calon PH.

Dan bagi negeri Selangor, jika PN-BN bergabung ia mampu menang di enam kerusi Parlimen.

Pertama, di Kuala Selangor yang menyaksikan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bakal kecundang sekiranya PN dan BN bergabung.

Dr Dzulkefly yang mempertahankan kerusi itu mengumpul 31,033 undi, diikuti calon PN dengan 23,639 undi dan calon BN dengan 30,031 undi.

Seterusnya, kerusi Sungai Buloh di mana calon PH mendapat 50,943 undi sementara calon PN memperoleh 29,060 undi dan calon BN, Khairy Jamaluddin mendapat 48,250 undi. Jika undian calon gabungan PN-BN dicampurkan, ia berjumlah 77,310 undi dan mampu merobohkan tembok besar PH di situ.

Diikuti pula kerusi Parlimen Shah Alam di mana calon PH mendapat 61,409 undi, diikuti calon PN, 43,314 undi dan calon BN, 28,266 undi. Jumlah keseluruhan undi untuk calon gabungan adalah sebanyak 71,580 undi.

Seterusnya jika PN-BN bergabung di Selangor mereka boleh menang di kerusi Sepang.

Calon PH mendapat, 56,264 undi, calon PN dengan 47,315 undi, sementara calon BN pula 31,097 undi. Jumlah undi gabungan PN-BN adalah jauh lebih tinggi iaitu sebanyak, 78,412 undi.

Berikutnya, kerusi Hulu Langat di mana calon PH memperoleh 58,382 undi, calon PN dengan 43,486 undi dan calon BN memperoleh 32,570 undi. Jumlah undi calon gabungan PN-BN adalah sebanyak 76,056 undi.

Dan akhir sekali, jika PN-BN bergabung, kerusi Gombak mungkin menyaksikan calon PH Datuk Seri Amirudin Shari tersungkur.

Amiruddin ketika ini menang selesa dengan 72,267 undi mengatasi calon PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan 59,538 undi, manakala BN mendapat 30,723 undi.

Jika dicampur jumlah undi, PN-BN akan mengatasi Amiruddin dengan jumlah keseluruhan 90,261 undi.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Menangani gejala murtad
  2. Tioman kayu ukur penting
  3. Kabinet Anwar punya banyak kelebihan: Penganalisis
  4. Saya tak jangka tewas seperti ini
  5. Bagaimana hebat perancangan manusia, hebat lagi perancangan Tuhan...