PENANTIAN penuh debar drama menawan Putrajaya pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencatatkan detik penting buat negara apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri ke-10, mengakhiri penantiannya selama 24 tahun sejak digugurkan dari Kabinet dan UMNO pada 1998.
Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu amat signfikan dalam menoktahkan kemelut Parlimen tergantung yang berlarutan selama lima hari, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.
Sepanjang Parlimen tergantung, emosi rakyat turut terkesan umpama menaiki roller coaster berikutan keterujaan mahu mengetahui siapa pemimpin yang bakal menerajui pemerintahan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Segalanya bermula dengan keputusan PRU15 apabila tiada parti mendapat majoriti mudah 112 bagi membentuk Kerajaan Persekutuan baharu sekali gus telah mencetuskan pertembungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk jawatan PM ke-10.
PH diketuai Anwar memperoleh 82 kerusi manakala PN diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin meraih 73 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) 30 kerusi; Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi; Parti Warisan, tiga kerusi dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.
Dilema berhubung dakwaan PH dan PN masing-masing mempunyai cukup sokongan bagi membentuk kerajaan menjadi semakin kusut hingga akhirnya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terpaksa campur tangan.
Seri Paduka Baginda menitahkan 30 ahli Parlimen BN yang pada awalnya mahu kekal sebagai pembangkang supaya mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan sebagai usaha merungkai kemelut politik negara yang dilihat tenat.
Dan bertitik tolak daripada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada Khamis, menyaksikan waiting game pemilihan Perdana Menteri ke-10 berakhir dengan Anwar muncul 'pemenang' mengatasi Muhyiddin.
Kejayaan Anwar menggapai takhta Putrajaya sekali gus turut mengakhiri ‘sumpahan, 24 tahun beliau yang mengimpikan untuk bergelar pemimpin nombor satu negara sejak sekian lama.
Dari penjara ke Putrajaya
Mengimbau perjalanan panjang Anwar bergelar Perdana Menteri ke-10, tidak dapat dinafikan namanya telah membawa impak cukup besar dalam arena politik negara.
Walaupun pernah terpalit pelbagai kontroversi menggemparkan negara yang menyaksikan dirinya keluar masuk penjara, Anwar tetap menjadi antara figura politik yang disegani terutama dalam kalangan pengikut setianya.
Kali pertama Anwar dipenjarakan adalah pada tahun 1974 di Kamunting, Perak selama 20 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengetuai demonstrasi pelajar terhadap kemiskinan dan kelaparan di kawasan luar bandar.
Kembali kepada politik, Anwar sebenarnya aktif sejak zaman universiti dan dikenali mempunyai kelebihan berbicara dan berucap di khalayak ramai, antara pencapaian awal Anwar termasuklah menjadi salah seorang pengasas organisasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
Beliau kemudian menyertai UMNO yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad sejak tahun 1981 dan di situlah bermula hubungan akrab ‘bapa dan anak’ antara mereka berdua.
Kerjaya politik Anwar juga semakin berkembang apabila dilantik Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983. Pada tahun berikutnya, Anwar mengetuai Kementerian Pertanian Malaysia sebelum menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986.
Anwar pernah berada di puncak kerjaya politiknya semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad namun ketika berada di puncak itu juga, episod paling hitam menghantui dirinya dan keluarga.
Tanggal 2 September 1998 menjadi lipatan dalam sejarah Malaysia di mana beliau dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri dan turut dilucutkan jawatan sebagai Menteri Kewangan selepas 16 tahun empat bulan berada dalam kabinet Dr Mahathir.
Tidak berakhir di situ, malah Anwar turut dipenjarakan sehingga menyaksikan kebangkitan suara reformasi di jalanan menuntut keadilan buat dirinya.
Anwar walaupun dalam penjara tetapi pengaruhnya menembusi jeriji besi dan tembok batu penjara. Malah, menyebut nama Anwar bermakna menyebut keadilan buat dirinya.
Rentetan pemecatan dan pemenjaraan Anwar itu juga telah mencetuskan gelombang Gerakan Reformasi 1998 yang menyaksikan ribuan penyokongnya berhimpun memenuhi segenap pelusuk jalan raya Kuala Lumpur bagi menuntut keadilan untuk pemimpin kesayangan mereka.
Walaupun jasadnya terpenjara namun pengaruh Anwar sebagai figura politik tetap utuh malah Gerakan Reformasi 1998 itu turut mencetuskan penubuhan Parti Keadilan Nasional (kini dikenali Parti Keadilan Rakyat atau PKR) sekali gus mengubah landskap politik negara.
Bagaimanapun, pada tahun 2004, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah menggugurkan sabitan kesalahan salah laku seksual itu dan Anwar dibebaskan pada 2 September kerana pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti kukuh tanpa sebarang keraguan bahawa perbuatan meliwat tersebut telah berlaku.
Pada 2008, Anwar kembali ke Dewan Rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh atas tiket PKR apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding.
Beliau seterusnya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu pada PRU13 pada 2013. Terdahulu, Anwar pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak tahun 1982 hingga 1999 atas tiket BN.
Namun panas yang disangka hingga ke petang akhirnya hujan di tengah hari. Anwar sekali lagi didakwa atas kesalahan seksual pada tahun 2008, bagaimanapun tuduhan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2012 kerana hakim memutuskan bukti DNA dalam kes itu diragui kesahihannya.
Pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan sekali lagi Anwar kembali didakwa sehingga menyaksikan beliau dijatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 2015 di Penjara Sungai Buloh.
Anwar kemudiannya mendapat peluang keemasan sebaik PH yang turut mendapat kerjasama dari Dr Mahathir yang ketika itu mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menang besar pada PRU14, menamatkan kuasa BN mentadbir negara sejak merdeka.
Beliau seterusnya diberi pengampunan diraja dari Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan dibebaskan pada 16 Mei 2018, sebelum diberi ruang bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dan menang besar dengan majoriti 23,560 undi.
Berdasarkan perjanjian yang disepakati koalisi PH ketika itu, Anwar bakal diangkat sebagai Perdana Menteri ke lapan, menggantikan Dr Mahathir namun badi penantian terus menghantuinya.
Ini kerana, PH digugurkan selepas 22 bulan memerintah ekoran berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan Bersatu dan 11 ahli Parlimen dari PKR diketuai bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar dari koalisi itu.
Bagaimanapun kini semuanya telah berakhir selepas Anwar, individu yang berdepan pelbagai rintangan dan liku-liku berduri dalam politik, diangkat secara rasmi sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri akan berlangsung pada jam 5 petang ini di Istana Negara.
PROFIL
Nama: Datuk Seri Anwar Ibrahim
Tarikh lahir: 10 Ogos 1947
Umur: 75 tahun
Tempat lahir: Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Isteri: Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Anak: Nurul Izzah, Nurul Hana, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Ilham
Jawatan disandang
- Pengasas ABIM (1974-1982)
- Presiden Majlis Belia Malaysia (1972 - 1976)
- Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983-1984)
- Menteri Pertanian (1984 - 1986)-
- Menteri Pendidikan (1986-1991)
- Menteri Kewangan (1991-1998)
- Timbalan Presiden UMNO (1993-1998)
- Timbalan Perdana Menteri (1993-1998)