Sila log masuk terlebih dahulu.

Pemergian Sidek Baba kehilangan besar buat negara
Artikel percuma

27 November 2022 08:15am | Masa membaca: 4 minit
Dr Sidek Baba
Dr Sidek Baba
A
A
A

Profesor Datuk Dr Sidek Baba merupakan nama yang begitu dekat dengan dunia pendidikan di dalam negara.

Anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini telah menabur bakti dalam sektor pendidikan negara sejak daripada awal kerjayanya sebagai guru selama 18 tahun sebelum memasuki dunia akademik.

Lahir pada tanggal 12 Jun 1946, beliau yang lebih mesra dipanggil sebagai ‘Cikgu Sidek Baba’ memulakan langkahnya dalam bidang pendidikan dengan memperoleh sijil perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Sidek kemudiannya berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM) dan Diploma Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bagi memastikan dirinya terus maju seiring dengan keperluan pendidikan semasa, beliau turut melengkapkan pengajian Sarjana Pendidikan Universiti Indiana, Bloomington, Amerika Syarikat (AS) dan ijazah doktor falsafah (PhD) Pendidikan di Universiti Northern Illinois, AS.

Selain pernah menjadi pensyarah di Institut Aminuddin Baki selama lima tahun, perjalanan Sidek dalam dunia akademik negara selepas itu menyaksikan beliau memegang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Antara jawatan yang disandangnya ialah Dekan Pusat Matrikulasi UIAM dari tahun 1992 hingga 1994 dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Disiplin UIAM (1994 hingga 2002).

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Sidek sebagai tokoh pendidikan yang begitu komited dalam memperjuangkan falsafah pendidikan negara.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Sehubungan itu, beliau yang juga pakar kewangan Islam berkata, pemergian Allahyarham pada Jumaat ketika berusia 76 tahun itu dilihat sebagai satu kehilangan besar buat negara.

“Sebelum ini ketika masih sihat, beliau sentiasa tidak lekang di rumah kerana hampir setiap hari bergerak ke seluruh Malaysia bertemu dengan warga pendidik, pelbagai kelompok pelajar mahasiswa termasuk guru-guru sekolah.

“Ini kerana beliau adalah antara orang yang sentiasa meletakkan asas dan teras bahawa pendidikan atau ilmu ini merupakan sandaran penting untuk kita membina negara dan bangsa yang bertamadun.

“Maka, jasa beliau dalam memperincikan dan juga memperkasakan falsafah pendidikan negara sebagai asas kepada kekuatan pembangunan anak bangsa itu sebenarnya adalah satu perkara yang mempunyai kesan luar biasa kepada negara kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Sumbangan Sidek terhadap pendidikan negara turut menyaksikan beliau menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun 2009 selain turut dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan pada tahun 2010.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi anggota Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Ahli Lembaga Pengarah Darul Quran Malaysia dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS).

SIDEK BUKA IDEALISME, PEMIKIRAN GENERASI PELAJAR

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi yang pernah menjadi pelajar di UIAM ketika Sidek memegang jawatan sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Disiplin turut menganggap tokoh itu sebagai guru utama yang membentuk pemikirannya dan mahasiswa generasinya.

Asyraf Wajdi (kanan) bersama Cikgu Sidek Baba.  Sumber foto: FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi (kanan) bersama Cikgu Sidek Baba. Sumber foto: FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki

“Walaupun beliau pada waktu itu sudah menjawat jawatan yang tinggi sebagai Timbalan Rektor, tapi beliau menunjukkan sifat kebapaan dengan mengadakan usrah saban minggu bersama pelajar yang saya juga merupakan antara peserta ketika tahun pertama di kampus tersebut.

“Saya merasakan jasanya cukup besar dalam membina orientasi pemikiran dan idealisme dalam perjuangan saya pada hari ini.

“Kebanyakan kepimpinan mahasiswa ketika itu juga mendapat sentuhan secara peribadi daripada beliau daripada segi ilmu dan pemikiran,” ujarnya yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO.

Dalam pada itu, tidak dilupakan juga adalah penglibatan aktivisme Sidek bersama rakan generasinya termasuk yang kini merupakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi gerakan dakwah Islam yang diperjuangkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sidek pernah menjadi Naib Presiden Presiden ABIM Pusat dan merupakan antara anggota Jawatankuasa Tetap Kurikulum Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) ABIM pada 1981, yang ditubuhkan untuk menggubal dan menyusun kurikulum pusat pendidikan awal berkenaan.

Hubungan rapat beliau bersama Anwar juga menyaksikan beliau turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika peristiwa gerakan reformasi di dalam negara pada tahun 1998.

Sementara itu, sepanjang hayatnya, Sidek juga telah menghasilkan puluhan karya penulisan dalam bentuk buku, artikel, kertas kerja dan termasuk penulisan di akhbar arus perdana.Antara tajuk buku tulisan beliau adalah Pendidikan Rabbani: Mengenal ALLAH Melalui Ilmu Dunia; Melayu Perkasa; Wahai Remaja: Kembaramu Bermula Di Sini; Acuan Minda dan Remaja Islam: Kembali Pada Pemikiran Al-Quran & Sunnah.

Beliau juga pernah menyumbangkan beberapa tulisannya di Sinar Harian, antaranya bertajuk Kita dan Dunia Barat Berbeza; Memartabatkan Bahasa Melayu; Membina Idealisme, Memahami Realiti dan Meletakkan Wehdah Sebagai Yang Utama.

Kecemerlangan Sidek dalam menghasilkan pelbagai bentuk penulisan juga sehinggakan beliau dinobatkan sebagai Tokoh Persatuan Penulis Negeri Melaka (Penama) pada tahun 2020.

Profil Dr Sidek Baba:

Nama: Profesor Datuk Dr Sidek Baba

Tempat lahir: Masjid Tanah, Melaka

Tarikh lahir: 12 Jun 1946

Keluarga: Seorang isteri dan 8 orang anak

Pendidikan:

Ijazah doktor falsafah (PhD) Pendidikan dari Universiti Northern Illinois, AS

Sarjana Pendidikan dari Universiti Indiana, Bloomington, AS

Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM)

Diploma Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sijil Perguruan dari Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak

Jawatan:

Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (tahun 2010)

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Disiplin UIAM (tahun 1994 hingga 2002)

Dekan Pusat Matrikulasi UIAM ( tahun 1992 hingga 1994)

Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Ahli Lembaga Pengarah Darul Quran Malaysia

Ahli Lembaga Pengarah Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS)

Pencapaian:

Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun 2009

Tokoh Persatuan Penulis Negeri Melaka (Penama) tahun 2020

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan